Jumaat, 30 Julai 2021

Waktu Disunatkan Bersiwak

1 - Bersiwak adalah dianjurkan pada bila-bila masa sahaja melainkan selepas masuk waktu zohor bagi orang yang berpuasa. Imam Abu Syuja’ berkata: “Bersiwak itu disunatkan pada setiap keadaan melainkan setelah gelincir matahari bagi orang yang berpuasa.”

2 - Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ.

“Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Bau mulut tersebut kebiasaannya tidak berlaku kepada orang yang berpuasa melainkan setelah masuk waktu zohor. Bersiwak akan menghilangkan bau tersebut. Oleh itu, makruh bersugi setelah masuk waktu zohor bagi orang yang berpuasa.

Tidak dimakruhkan bersiwak jika belum masuk waktu zohor kerana perubahan bau mulutnya ketika itu adalah disebabkan oleh tidurnya atau makanan yang dimakannya pada waktu malam, bukan kerana kesan daripada puasa.

Begitu juga sekiranya bau mulut tersebut terjadi setelah zohor kerana dia tidur atau makan secara terlupa, maka tidak makruh juga untuk dia bersiwak kerana bau mulut tersebut terjadi bukan kerana kesan daripada berpuasa. Misalannya ada seseorang yang berpuasa lalu dia tidur setelah solat zohor dan bangun ketika solat asar. Dia mendapati bau mulutnya berubah disebabkan tidurnya, pada ketika itu disunatkan baginya untuk bersugi dan tidak makruh.

Dapat disimpulkan bahawa setiap perubahan bau mulut disebabkan oleh puasa maka makruh menghilangkannya dan setiap perubahan bau mulut yang berlaku kerana sebab selain puasa maka tidak makruh menghilangkannya bagi orang yang berpuasa.

3 - Antara waktu yang sangat dituntut untuk bersiwak adalah:

(i) Ketika bau mulut berubah disebabkan lama berdiam diri atau lama tidak makan atau selainnya seperti setelah makan makanan yang kuat baunya seperti bawang putih.

(2) Setelah bangun dari tidur. Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ، يَشُوصُ فَاهُ بِالسِّوَاكِ.

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam apabila bangun pada waktu malam (untuk solat tahajud) baginda akan membersihkan mulutnya dengan bersiwak.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis yang lain Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَرْقُدُ مِنْ لَيْلٍ وَلَا نَهَارٍ، فَيَسْتَيْقِظُ إِلَّا تَسَوَّكَ قَبْلَ أَنْ يَتَوَضَّأَ.

“Sesungguhnya Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak tidur pada malam mahupun siang hari lalu baginda bangun melainkan baginda akan bersiwak dahulu sebelum berwuduk.”

Riwayat Abu Daud.

(3) Ketika hendak solat. Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ.

“Kalaulah tidak kerana bimbang akan menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak setiap kali solat.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

(4) Ketika hendak berwuduk. Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ وُضُوءٍ.

“Kalaulah tidak kerana bimbang akan menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak setiap kali berwuduk.”

Riwayat Ahmad.

5 - Ketika hendak membaca al-Quran. Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam bersabda:

إِنَّ أَفْوَاهَكُمْ طُرُقٌ لِلْقُرْآنِ، فَطَيِّبُوهَا بِالسِّوَاكِ.

“Sesungguhnya mulut-mulut kamu itu adalah jalan bagi al-Quran, maka perelokkanlah ia dengan bersiwak.”

Riwayat Ibnu Majah dengan sanad yang daif.

6 - Setelah masuk ke dalam rumah. Daripada Syuraih bin Hani’, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Aisyah, apakah yang Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mula-mula buat apabila masuk ke dalam rumah? Aisyah menjawab: “Bersiwak.”

Riwayat Muslim.

Rujukan:

1 - Durus Fi Syarah Matan al-Ghayah Wa al-Taqrib karangan Syeikh Abu Mustofa al-Baghdadi

2 - Hashiyah al-Tarmasi 'ala Syarah Ibnu Hajar 'ala Muqaddimah al-Hadramiyyah.

3 - Hashiyyah al-Bajuri ‘ala Syarah Ibnu Qasim ‘ala Matan Abi Syuja’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan