Riwayat daripada Saiyidina Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma daripada Nabi Muhammad sallhu ‘alaihi wasallam bersabda:
اللهم اغفر للمعلمين وبارك لهم في أبدانهم وأطل في
أعمارهم.
“Wahai
Tuhanku. Ampun olehMu bagi segala orang yang mengajar. Dan beri berkat pada
bada mereka itu. Dan panjangkan olehMu pada umur mereka itu.”
Ulasan:
Hadis ini
diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibnu al-Jauzi
dalam al-Maudhu’at daripada hadis Ibnu ‘Abbas dengan lafaz:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ
لِلْمُعَلِّمِينَ ثَلاثًا وَأَطِلْ أَعْمَارَهُمْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِي كَسْبِهِمْ.
“Ya Allah, ampunkanlah bagi orang yang mengajar (baginda
menyebutkannya tiga kali). Panjangkanlah umur mereka dan berkatilah pada usaha
mereka.”
Hadis ini dihukum sebagai palsu oleh Ibnu al-Jauzi
dalam al-Maudhu’at dan hukum beliau tersebut diterima oleh para ulama
selepas beliau seperti al-Zahabi dalam Talkhis al-Maudhu’at, al-Sayuthi
dalam al-Laali al-Masnu’ah, Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah
al-Marfu’ah, Mulla Ali al-Qari dalam al-Masnu’ dan al-Asrar al-Marfu’ah,
al-Syaukani dalam al-Fawaid al-Majmu’ah dan lain-lain.
Dalam sanadnya ada perawi Asram bin Hausyab dan Nahsyal
bin Sa’id, yang dituduh berdusta dan memalsukan hadis. Selain itu ada perawi
bernama Muhammad bin Ali, seorang perawi yang majhul dan hadis-hadisnya
mungkar. Tambahan lagi perawinya bernama al-Dhahhak tidak bertemu dengan Ibnu ‘Abbas.
Al-Khatib al-Baghdadi dan Ibnu al-Jauzi juga
meriwayatkan sebuah hadis lagi dengan lafaz:
اللَّهُمَّ
اغْفِرْ لِلْمُعَلِّمِينَ وَأَطِلْ أَعْمَارَهُمْ وَأَظِلَّهُمْ تَحْتَ ظِلِّكَ
فَإِنَّهُمْ يَعْلَمُونَ كِتَابَكَ الْمُنَزَّلَ.
“Ya Allah, ampunkanlah bagi orang
yang mengajar, panjangkanlah umur mereka dan lindungilah mereka di bawah
lindunganmu kerana mereka mengajarkan kitabMu yang diturunkan.”
Hadis ini juga dihukum sebagai palsu
oleh Ibnu al-Jauzi dan diterima oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam al-Laali al-Masnu’ah.
Dalam sanadnya ada perawi Abu al-Tayyib Muhammad bin al-Furrukhan/al-Furrakhan/al-Farrakhan (ada tiga cara bacaan). Kata al-Khatib al-Baghdadi: “Tidak thiqah.” Kata Ibnu al-Najjar: “Dia dituduh memalsukan hadis.”
Saya ada menghimpunkan beberapa buah hadis berkenaan kelebihan mengajarkan ilmu, boleh baca di sini:
Hadis Kelebihan Mengajarkan Ilmu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan