Sabtu, 9 April 2016

Hadis Kelebihan Mengajar Ilmu


Hadis Pertama

لاَ حَسَد إلاَّ في اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللَّه مَالاً فَسلَّطهُ عَلى هلَكَتِهِ فِي الحَقِّ، ورَجُلٌ آتاهُ اللَّه الحِكْمَةَ فهُوَ يَقْضِي بِهَا، وَيُعَلِّمُهَا.

“Tidak boleh berhasad dengki kecuali dalam dua keadaan: Seseorang yang diberikan harta oleh Allah lalu dia menggunakan harta tersebut atas jalan yang benar dan terhadap seseorang yang diberikan hikmah (ilmu) oleh Allah lalu dia mengamalkannya dan mengajarkannya.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abdullah bin Mas’ud.

Huraian Hadis:

1 - Maksud hasad dengki dalam hadis ini ialah hasad dengki dari sudut positif atau dipanggil al-ghibtoh (الغبطة) dalam bahasa Arab. Ia bermaksud keinginan untuk mendapatkan nikmat dan kelebihan yang sama seperti orang lain tanpa disertai rasa ingin melihat nikmat itu ditarik daripada orang tersebut.

2 - Maksud ‘menggunakan harta tersebut atas jalan yang benar’ ialah membelanjakan harta tersebut atas tujuan yang baik dan mendekatkan diri kepada Allah seperti membayar zakat, bersedekah, memberi nafkah kepada orang di bawah tanggungannya dan lain-lain.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi galakan supaya menuntut ilmu agar dapat mengamalkannya lalu dapat mengajarkannya pula kepada orang lain. Begitu juga terdapat di dalam hadis ini seruan supaya mencari harta agar dapat menginfakkannya pada jalan kebaikan.

2 - Galakan untuk berlumba-lumba dalam melakukan perkara kebaikan dan ia adalah suatu sifat yang terpuji dalam Islam.

Hadis Kedua

فَوَاللهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ.

“Demi Allah, jika Allah memberi hidayah kepada seseorang disebabkan kamu itu lebih baik bagi kamu daripada unta merah.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Sahl bin Sa’ad.

Huraian Hadis:

1 - Unta merah ialah harta yang sangat berharga di sisi orang Arab. Ia dijadikan perumpamaan bagi sesuatu yang berharga dan bernilai.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini menunjukkan kelebihan yang dimiliki oleh orang yang berdakwah dan menyeru orang lain kepada Allah.

2 - Galakan berdakwah ke jalan kebenaran dan dia tidak dapat melakukan dakwah tersebut melainkan dengan ilmu.

Hadis Ketiga

إنَّ اللَّه لاَ يقْبِض العِلْم انْتِزَاعاً ينْتزِعُهُ مِنَ النَّاسِ، ولكِنْ يقْبِضُ العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَماءِ حتَّى إِذَا لمْ يُبْقِ عَالِماً، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤوساً جُهَّالاً فَسئِلُوا، فأفْتَوْا بغَيْرِ علمٍ، فَضَلُّوا وأَضَلُّوا.

“Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu (pada akhir zaman) secara sekaligus daripada manusia, tetapi Allah mengangkatnya dengan mematikan para ulama. Sehinggalah apabila tidak ada lagi ulama, manusia akan mengangkat orang jahil sebagai pemimpin. Mereka akan berfatwa tanpa landasan ilmu. Maka mereka itu sesat dan menyesatkan (orang lain).”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada hadis Abdullah bin Amru bin al-As.

Pengajaran Hadis:

1 - Berkurangannya pengetahuan ilmu agama merupakan tanda dekatnya kiamat.

2 - Kelebihan para ulama yang merupakan orang yang diamanahkan untuk menyampai ilmu kepada manusia.

3 - Galakan mendampingi para ulama untuk mendapatkan panduan hidup.

4 - Galakan menuntut ilmu agar dapat meramaikan ulama supaya dapat menjadi petunjuk kepada manusia dalam urusan kehidupan mereka.

5 - Hendaklah memilih pemimpin yang berilmu dan menjauhi melantik pemimpin yang jahil.

6 - Berhati-hati terhadap fatwa orang jahil yang disampaikan tanpa berpandukan ilmu yang benar.

Hadis Keempat

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Sesiapa yang menunjuk ke arah kebaikan maka baginya seperti pahala orang yang melakukan kebaikan tersebut.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Mas’ud al-Badri.

Pengajaran Hadis:

1 - Galakan melakukan kebaikan dan menjadi penunjuk ke arahnya kerana penujuk kebaikan akan mendapat ganjaran yang sama seperti pelaku kebaikan.

Hadis Kelima

مَنْ دَعَا إِلَى هُدىً كانَ لهُ مِنَ الأجْر مِثلُ أُجورِ منْ تَبِعهُ لاَ ينْقُصُ ذلكَ مِنْ أُجُورِهِم شَيْئاً.

“Sesiapa yang menyeru ke arah petunjuk maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikut petunjuk tersebut dan pahala mereka tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘menyeru ke arah petunjuk’ ialah mengajak ke arah melakukan perkara benar dan baik.

Pengajaran Hadis:

1 - Orang yang menjadi sebab kebaikan akan mendapat pahala seperti orang yang melakukan kebaikan.

2 - Gandaan pahala bagi orang yang mempelajari ilmu, mengajarkannya kepada orang ramai dan menyeru supaya orang mempelajarinya.

Hadis Keenam

إِذَا ماتَ ابْنُ آدَم انْقَطَع عَملُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدقَةٍ جَاريَةٍ، أوْ عِلمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أوْ وَلدٍ صالحٍ يدْعُو لَهُ.

“Apabila mati anak Adam itu maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim daripada hadis Abu Hurairah.

Huraian Hadis:

1 - Maksud ‘terputuslah amalannya’ ialah terputuslah pahala amalannya kerana pahala amalan seseorang tersebut terhenti disebabkan kematiannya melainkan tiga perkara tersebut yang pahalanya akan terus mengalir walaupun setelah kematiannya.

2 - Maksud ‘sedekah jariah’ ialah sedekah yang berterusan manfaatnya seperti mewawakafkan al-Quran, membina masjid, menggali telaga untuk manfaat umum dan lain-lain.

3 - Maksud ‘ilmu yang dimanfaatkan’ adalah seperti mengajarkan ilmu kepada orang lain atau menulis kitab yang mengandungi ilmu yang bermanfaat.

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan menuntut ilmu dan mengajarkannya supaya pahalanya berterusan selepas kematiannya.

2 - Kelebihan sedekah jariah yang berkekalan manfaatnya.

3 - Galakan untuk mendidik anak dengan didikan Islam yang baik supaya ibu bapa akan mendapat kebaikan amal soleh anaknya seperti permohonan ampun dan doa si anak kepadanya.

Hadis Ketujuh

فضْلُ الْعالِم عَلَى الْعابِدِ كَفَضْلي عَلَى أَدْنَاكُمْ. إِنَّ اللَّهَ سُبْحَانَهُ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ سَمَوَاتِهِ وَأَرْضِهِ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا حَتَّى الْحُوتَ فِي الْبَحْرِ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الخِيرَ.

“Kelebihan orang alim berbanding ahli ibadah adalah seperti kelebihanku berbanding orang yang paling rendah (kedudukannya) di kalangan kamu (umat Islam). Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk yang berada di langit dan bumi hatta semut yang berada di dalam sarangnya dan ikan di dalam laut berselawat ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abu Umamah. Kata beliau: “Hadis ini hasan gharib sahih.”

Huraian Hadis:

1 - Maksud orang alim ialah orang yang mengetahui ilmu-ilmu yang bermanfaat, menggunakan waktunya untuk mempelajarinya dan mengajarkannya setelah mana dia selesai melaksanakan ibadah-ibadah yang fardu.

2 - Ahli ibadah pula ialah orang yang menggunakan waktunya untuk beribadah setelah dia selesai mempelajari hukum-hakam yang wajib dia ketahui.

3 - Maksud selawat di sini bergantung dari siapa ia berasal. Jika disebutkan Allah berselawat maksudnya Allah menurunkan rahmat. Dari malaikat bermaksud istighfar (pemohonan ampun). Dari manusia dan haiwan bermaksud doa.

Pengajaran Hadis:

1 - Hadis ini mengandungi galakan melakukan kebaikan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelakunya malah pihak yang lain juga.

2 - Menuntut ilmu yang lebih dari kadar yang wajib (fardu air) itu lebih utama daripada  ibadat sunat kerana ibadat itu hanya bermanfaat kepada pelakunya sahaja manakala ilmu itu menyeluruh manfaatnya sama ada penuntut ilmu itu mahupun yang lainnya.

3 - Seruan supaya memuliakan ulama, penuntut ilmu dan mendoakan mereka.

Hadis Kelapan

نَضَّرَ اللَّه امْرءاً سمِع مِنا شَيْئاً، فبَلَّغَهُ كَمَا سَمعَهُ فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أوْعى مِنْ سَامِع.

“Semoga Allah mengelokkan rupa orang yang mendengar sesuatu (hadis) daripadaku, kemudian dia menyampaikannya sebagaimana yang dia dengar. Terkadang orang yang disampaikan hadis kepadanya itu lebih memahaminya daripada orang yang mendengar hadis itu secara langsung.”

Riwayat al-Termizi daripada hadis Abdullah bin Mas’ud. Kata al-Termizi: “Hadis ini hasan sahih.”

Pengajaran Hadis:

1 - Kelebihan mempelajari ilmu dan menyampaikannya.

2 - Kepentingan sikap amanah dalam menyampaikan ilmu dan berhati-hati dalam menghafaz dan memahaminya.

3 - Terkadang tabi’in lebih memahami hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam daripada sebahagian sahabat yang mendengarnya secara langsung daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Hadis Kesembilan

أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا، ثُمَّ يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ.

“Sebaik-baik sedekah itu ialah seorang muslim itu mempelajari ilmu kemudian dia mengajarkannya kepada saudara muslimnya.”

Riwayat Ibnu Majah daripada hadis Abu Hurairah dengan sanad yang daif.

Pengajaran Hadis:

1 - Mengajarkan ilmu turut dianggap sebagai sedekah di samping sedekah dalam bentuk harta.

2 - Mengajar ilmu merupakan sebaik-baik sedekah kerana manfaatnya yang lebih luas dan berkekalan berbanding sedekah harta.

Rujukan:

1 - Al-Targhib wa al-Tarhib karangan al-Hafiz al-Munziri.

2 - Dalil al-Falihin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Imam Ibnu ‘Allan al-Siddiqi.

3 - Faidh al-Qadir Syarah al-Jami’ al-Saghir karangan Imam al-Munawi.

4 - Nuzhah al-Muttaqin Syarah Riyadh al-Salihin karangan Dr Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Muhyiddin Misto, Ali al-Syirbaji dan Muhammad Amin Luthfi.

 5 - Riyadh al-Salihin karangan Imam al-Nawawi.

*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 26/7/2021. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat.

Baca juga:

Hadis Kelebihan Menuntut Ilmu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan