Isnin, 2 Ogos 2021

Imam Ibnu Ajurrum - Pengarang Matan al-Ajurrumiyyah


Nama dan Gelaran

Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Daud al-Sanhaji dan terkenal sebagai Ibnu Ajurrum. Kunyah beliau pula ialah Abu Abdillah.

Inilah nama beliau yang disebutkan dalam kebanyakan rujukan iaitu dengan dua Muhammad. Sebahagian pensyarah matan al-Ajurrumiyyah seperti al-Makudi, al-Ibyari, al-Rasyidi dan selain mereka menyebutkan namanya sebagai Muhammad bin Daud. Manakala menurut al-Lazaqi pula namanya ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Daud, iaitu dengan empat Muhammad.

Gelaran al-Sanhaji ialah nisbah kepada Sanhajah, nama sebuah kabilah di Maghribi. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Bajuri. Al-Ibyari pula mengatakan bahawa ia adalah nama sebuah tempat yang masyhur di Maghribi. Namun pendapat yang dinyatakan oleh al-Bajuri lebih masyhur.

Mengenai nama Ajurrum pula kebanyakan ulama yang menulis biodata beliau menyatakan ia adalah daripada bahasa Berber yang bermaksud ‘al-faqir al-sufi.’ Al-Rasyidi pula menambah beberapa lagi maknanya iaitu ‘al-faqir atau al-syeikh atau al-faqih al-sufi’. Namun sebahagian ulama seperti Ibnu ‘Anqa’ mengingkari perkara tersebut kerana beliau mendapati bahawa kaum Berber tidak mengetahui perkara tersebut. Tambahan beliau lagi, terdapat sebuah kabilah yang dinamakan Bani Ajurrum di kalangan kabilah Berber. Boleh jadi nama Ajurrum tersebut kerana beliau berasal dari kabilah tersebut.

Kabilah Berber adalah sebuah etnik yang mendiami utara Afrika terutamanya di Maghribi, Algeria, Tunisia, Libya, sebagaian kecil negara Mauritania, utara Mali dan utara Niger. Sebilangan kecil populasi etnik ini juga ditemui di Burkina Faso dan Siwa Oasis, Mesir.

Kelahiran

Ahli sejarah bersepakat bahawa beliau dilahirkan di Fes, Maghribi namun mereka berbeza pendapat tentang tahun kelahiran beliau. Ibnu al-Hajj menyebutkan bahawa beliau lahir pada tahun yang sama wafatnya Imam Ibnu Malik iaitu 672 Hijrah.  Begitu juga yang dinyatakan oleh al-Halawi dalam syarah beliau ke atas al-Ajurrumiyyah dan Muhammad Ja’far al-Kattani dalam Salwah al-Anfas. Inilah pendapat kebanyakan ahli sejarah.

Haji Khalifah dalam Kasyf al-Zunun pula berpendapat bahawa beliau dilahirkan pada tahun 682 Hijrah.

Guru-Guru

Para ulama yang mencatatkan sejarah hidup Imam Ibnu Ajurrum merekodkan bahawa beliau mempunyai beberapa orang guru, namun tidak dinyatakan nama guru-guru tersebut melainkan Abu Hayyan sahaja.

Disebutkan dalam kitab Dairah Ma’arif al-Islamiyyah:

“Beliau belajar di Fes kemudian di Mekah ketika menunaikan haji. Apabila beliau melalui Kaherah beliau belajar dengan ahli nahu dari Andalusia yang terkenal, Abu Hayyan Muhammad bin Yusuf al-Gharnathi yang meninggal di Kaherah pada tahun 745 Hijrah/1345 Masihi dan Abu Hayyan mengijazahkannya.”

Murid-Murid

Dengan keilmuan dan kesolehan yang dimiliki oleh beliau tidak syak lagi bahawa terdapat ramai murid yang ingin belajar dengan beliau lebih-lebih lagi penduduk Fes sendiri, ditambah lagi dengan adanya murid-murid yang sanggup mengembara untuk belajar dengan beliau. Antara murid beliau ialah:

1 - Anak beliau, Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad.

2 - Abu Abdillah Muhammad bin Ali bin Umar bin Yahya al-Ghassani al-Nahwi. Meninggal duniapada tahun 742 Hijrah.

3 - Al-Qadhi Abu Abdillah Muhammad bin Ibrahim al-Hadhrami.

4 - Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad Abdullah bin Umar al-Wanghili al-Dharir. Meninggal dunia pada tahun 779 Hijrah.

5 -  Abu al-‘Abbasi Ahmad bin Muhammad bin Hizbullah al-Khazraji. Meninggal dunia pada tahun 741 Hijrah.

6 - Abu al-‘Abbas Ahmad bin Muhammad bin Syu’aib al-Jazna’. Meninggal dunia di Tunisia pada tahun 749 Hijrah.

Pujian Ulama

1 - Al-Sayuthi berkata: “Para pensyarah Mukadimah beliau seperti al-Makudi, al-Ra’i dan selain mereka menyifatkan beliau sebagai imam dalam nahu, seorang yang berkat dan soleh dan disaksikan kesolehan beliau dengan meluasnya manfaat yang dapat diambil oleh orang yang baru belajar daripada Mukadimah beliau.”

2 - Al-Khatib al-Syirbini memuji beliau dengan katanya: “Al-syeikh, al-alim, al-allamah, al-imam al-fahhamah.”

3 - Tajuddin Ibnu Maktum al-Qaisi al-Hanafi berkata: “Beliau seorang ahli nahu (nahwi), ahli al-quran (muqri’) dan beliau mempunyai pengetahuan dalam ilmu faraid dan matematik serta mahir dalam ilmu sastera.”

4 - Ibnu al-Hajj berkata: “Beliau seorang imam yang agung, hafiz yang unggul, soleh dan bukti kesolehan beliau ialah Allah mentakdirkan penerimaan terhadap kitabnya. Perkara pertama yang dibaca oleh kebanyakkan orang setelah al-Quran ialah Mukadimah ini. Orang tersebut akan mendapat manfaatnya dalam masa yang singkat. Manakah tidak (orang tersebut mendapat manfaat sebegini), (ini kerana) beliau telah menulisnya di hadapan kaabah.”

Penulisan

Imam Ibnu Ajurrum menghabiskan usia beliau dengan ilmu sama ada mengajarkannya mahu pun menulisnya. Ibnu Maktub berkata: “Beliau mempunyai penulisan dan syair dalam ilmu qiraat dan selainnya. Beliau tinggal di Fes dan penduduknya mengambil manfaat daripada ilmu beliau yang telah disebutkan itu. Umumnya, pengetahuan beliau adalah berkenaan nahu dan qiraat.”

Antara penulisan beliau:

1 - Al-Muqaddimah al-Ajurrumiyyah fi ‘ilm al-Arabiyyah. Kitab ini menjadi sebab kemasyhuran beliau dan ramai ulama mensyarahkannya.

2 -  Faraid al-Ma’ani Fi Syarah Hirz al-Amani, syarah kepada matan al-Syathibiyyah dalam ilmu qiraat.

3 - Al-Bari’ Fi Qiraah Nafi’. Nazam dalam ilmu qiraat.

4 - Al-Istidrak ‘Ala Hidayah al-Murtab.

Kematian

Ulama sepakat tentang tahun kematian beliau iaitu pada tahun 723 Hijrah.

Al-Halawi dalam Syarah al-Ajurumiyyah berkata: “Kewafatan beliau pada tahun 723 Hijrah dalam bulan Safar. Beliau dikebumikan dalam kawasan Bab al-Hadid, kota Fes, Maghribi.”

Tetapi yang tepatnya beliau dikebumikan di Bab al-Jizyin yang dikenali pada hari ini sebagai Bab al-Hamra. Begitu yang disebutkan Muhammad Ja’far al-Kattani dalam Salwah al-Anfas. Beliau juga memperincikan hari kewafatannya dengan katanya: “Beliau meninggal dunia pada hari Ahad, selepas zohor pada 10 hari terakhir bulan Safar (yakni pada 20 Safar) tahun 723 Hijrah dan dikebumikan keesokkan harinya selepas solat zohor dalam kawasan Bab al-Jizyin, Fes.”

Semoga Allah merahmati Imam Ibnu Ajurrum.

Kubur dikatakan milik beliau


Tiada ulasan:

Catat Ulasan