Isnin, 23 Ogos 2021

Manhaj Kitab Misykat al-Masabih Karya al-Khatib al-Tibrizi

Biografi Ringkas al-Khatib al-Tibrizi

Nama beliau ialah Waliyuddin Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah al-Khatib al-Tibrizi al-Umari. Al-Tibrizi boleh juga dibaca al-Tabrizi (baris atas pada huruf ta'), nisbah kepada Tibriz atau Tabriz, sebuah kota yang terletak di Iran.

Tidak ada banyak maklumat yang diketahui mengenai beliau dan tarikh lahir beliau pun tidak dicatatkan oleh para ulama.

Guru beliau yang diketahui pula hanyalah Imam al-Tibi (m. 743 H) yang mensyarahkan kitab Misykat al-Masabih tersebut. Gurunya pernah memujinya dengan berkata: “Baki para wali, pemimpin orang-orang soleh, kemuliaan para zahid dan abid.”

Selain kitab Misykat al-Masabih, beliau juga mempunyai karangan yang berjudul al-Ikmal Fi Asma’ al-Rijal yang dicetak bersama kitab Misykat al-Masabih, cetakan Karachi, Pakistan.

Tarikh kematian beliau pun tidak diketahui secara tepat. Para ulama mengandaikan beliau meninggal dunia setelah tahun 737 Hijrah, yang merupakan tahun beliau menyiapkan kitab Misykat al-Masabih. Semoga Allah merahmati beliau.

Manhaj Kitab Misykat al-Masabih

1 - Asal kepada kitab Misykat al-Masabih adalah kitab Masabih al-Sunnah yang telah dikarang oleh Imam al-Baghawi (m. 516 H). Dalam kitab Masabih al-Sunnah ini, al-Baghawi telah menghimpunkan hadis-hadis yang dipetik daripada Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan al-Tirmizi dan Sunan al-Nasa’i serta kitab-kitab hadis utama yang lain lalu menyusunnya mengikut susunan bab, bermula dengan kitab Iman dan diakhiri dengan kitab ke-28, iaitu kitab al-Manaqib.

2 - Dalam setiap kitab terkandung beberapa bab-bab kecil. Bagi setiap bab-bab kecil pula, hadisnya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian al-Sihah (hadis sahih) dan bahagian al-Hisan (hadis hasan).

3 - Maksud al-Sihah di sisi beliau ialah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang daripada mereka berdua. Manakala maksud al-Hisan pula ialah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan lain-lain. Ini ialah istilah khas di sisi beliau yang mengundang kritikan ulama selepas beliau kerana dalam kitab sunan berkenaan terdapat juga hadis sahih dan daif.  

4 - Beliau tidak menyebutkan sanad-sanad hadis dalam kitab ini kerana tidak mahu memanjangkan kitab. Begitu juga tidak dinyatakan takhrij hadisnya. Jika terdapat kedaifan pada hadisnya maka beliau akan nyatakan sama ada mursal, munqathi’, mungkar dan maudhu’ dan lain-lain. Keseluruhan hadis dalam kitab ini berjumlah 4931 buah hadis berdasarkan cetakan Dar al-Ma’rifah.

5 - Setelah itu datang al-Khatib al-Tibrizi yang berusaha menambah baik kekurangan yang terdapat dalam kitab Masabih al-Sunnah dengan menyusun kitab Misykat al-Masabih. Dalam kitab ini, beliau masih mengekalkan susunan bab seperti kitab asalnya tetapi hadis-hadisnya dibahagikan kepada tiga fasal pada setiap bab:

Fasal pertama: Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim atau salah seorang daripada mereka berdua.

Fasal kedua: Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh selain al-Bukhari dan Muslim.

Fasal ketiga: Hadis-hadis tambahan yang tidak disebutkan oleh al-Baghawi.

6 - Selain hadis-hadis Kutubus Sittah, beliau juga memasukkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam Ahmad, al-Darimi, al-Daraqutni, al-Baihaqi dan Razin al-Saraqusti. Hadis-hadisnya turut dinyatakan takhrijnya, selain disebutkan juga  nama sahabat yang meriwayatkan hadis-hadis tersebut, kerana sebahagiannya tidak disebutkan oleh al-Baghawi. Beliau juga telah membetulkan kesilapan al-Baghawi yang meletakkan beberapa buah hadis di kategori al-Sihah sedangkan hadis tersebut tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari atau Muslim. Keseluruhan hadis yang terkandung dalam kitab ini berjumlah 6285 buah hadis yang dicetak oleh al-Maktab al-Islami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan