Memaparkan catatan dengan label Takhrij Hadis Kitab Jawi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Takhrij Hadis Kitab Jawi. Papar semua catatan

Ahad, 12 September 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 4)


Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 12, baris ke-15 dari atas) menyebutkan hadis:

أَهْلُ الْجَنَّةِ عِشْرُونَ وَمِائَةُ صَفٍّ، ثَمَانُونَ منها مِنْ هَذِهِ الْأُمَّةِ، وَأَرْبَعُونَ مِنْ سَائِرِ الْأُمَمِ.

“Isi syurga itu seratus dua puluh saf. Delapan puluh daripadanya daripada umat ini...dan empat puluh daripada segala umat nabi yang dahulu.”

Takhrij:

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Syeikh Daud al-Fathani, hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi (no. 2546) dan Ibnu Majah (no. 4289) daripada hadis Buraidah bin al-Husaib al-Aslami. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad (no. 22940, 23002 & 23061), al-Darimi (2877) dan lain-lain.

Al-Tirmizi berkata: “Hadis ini hasan.”

Ibnu Hibban memuatkan hadis ini dalam kitab Sahihnya (no. 7459 & 7460).

Al-Hakim berkata: “Hadis ini sahih berdasarkan syarat Muslim.”

Ibnu Qayyim dalam Hadi al-Arwah mengatakan sanadnya sahih berdasarkan syarat al-Sahih (yakni perawi-perawinya adalah perawi Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim).

Ibnu al-Mulaqqin dalam al-I’lam Bi Fawaid Umdah al-Ahkam mengatakan ia sabit.

Hadis ini juga mempunyai syawahid (hadis-hadis penguat) daripada hadis Abdullah bin Mas’ud, Ibnu Abbas, Abu Musa al-Asy’ari, Mu’awiyah bin Haidah, Abu Hurairah, mursal al-Sya’bi dan mursal Mujahid.

Khamis, 12 Ogos 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 3)

 


Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 12, baris ke-8 dari atas) menyebutkan potongan hadis:

وحسابهم على الله.

“Dan hisab mereka itu atas Allah Taala.”

Takhrij:

Hadis ini adalah sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 25) dan Muslim (no. 22) daripada hadis Abdullah bin Umar:

أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ.

“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia (orang kafir) sehinggalah mereka bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan Muhammad itu ialah utusan Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka melakukan sedemikian maka terpeliharalah darah (nyawa) dan harta mereka melainkan jika mereka melanggar peraturan Islam (yang membuatkan darah dan harta mereka menjadi halal) dan hisab mereka (dari segi batin) adalah terserah kepada Allah.”

Hadis ini ialah hadis kelapan daripada hadis empat puluh Imam al-Nawawi.

Isnin, 19 Julai 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 2)

Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 5, baris ke-8 dari bawah) menyebutkan hadis:

كَانَ اللَّهُ وَلَا شَيْءَ مَعَهُ وَهُوَ الْآنَ عَلَى مَا عَلَيْهِ كَانَ.

“Adalah Allah maujud dan tiada ada sertanya itu suatu dan iaitu sekarang seperti barang yang ada dahulu atasnya.”

Takhrij:

1 - Hadis dengan lafaz ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadis. Bahagian awal hadis tersebut (كَانَ اللَّهُ وَلَا شَيْءَ مَعَهُ) diulas oleh Syeikh Dr Salahuddin al-Idlibi dalam risalah beliau berkenaan hadis كَانَ اللَّهُ وَلَا شَيْءَ غَيْرُهُ sebagaimana berikut:

“Saya tidak temuinya dalam mana-mana jalur hadis tersebut. Tidak dalam Sahih al-Bukhari dan tidak selainnya meskipun saya telah mentakhrijnya daripada lebih 20 buah sumber daripada sumber-sumber Sunnah Nabawiyyah.”

Menurut beliau lagi, sesiapa yang menyandarkannya kepada Sahih al-Bukhari maka dia telah keliru.

2 - Adapun lafaz yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari, ada dua:

Pertama (hadis no. 3191):

 كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ

“Allah wujud dan tidak ada sesuatu selainNya.”

Kedua (hadis no. 7418):

كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ قَبْلَهُ

“Allah wujud dan tidak ada sesuatu sebelumNya.”

3 - Ibnu Taimiyyah dalam Naqd Maratib al-Ijma’ terkeliru apabila mengatakan al-Bukhari meriwayatkan hadis ini dengan tiga lafaz:

a - كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ قَبْلَهُ

b - كَانَ اللَّهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُه

c - كَانَ اللَّهُ وَلَا شَيْءَ مَعَهُ

Sedangkan al-Bukhari hanya meriwayatkan dengan dua lafaz sahaja sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini.

4 - Bahagian kedua hadis tersebut iaitu وَهُوَ الْآنَ عَلَى مَا عَلَيْهِ كَانَ, menurut Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari, ia tidak ada dalam mana-mana kitab hadis sebagaimana yang dimaklumkan oleh Ibnu Taimiyyah. Menurut Mulla Ali al-Qari dalam al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Maudhu’ pula, ia adalah daripada kalam ahli sufi.

Khamis, 8 Julai 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 1)



Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 4, baris ke-17 dari bawah) menyebutkan hadis:

تعلموا حجتكم، فإنكم مسؤولون.

“Belajar kamu akan hujah kamu maka bahawasanya kamu ditanyakan kamu sekelian pada hari kiamat.”

Takhrij Hadis

Mazlan bin Sidek dalam tesis Sarjana beliau yang bertajuk ‘Hadis Dalam Kitab al-Durr al-Thamin Karangan Syeikh Daud al-Fatani: Takhrij dan Analisis’ mengatakan: “Setelah dicari dengan kemampuan yang ada, penulis tidak temui hadith ini.”

Saya katakan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Sunnah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuti dalam beberapa buah kitab beliau seperti Syarah al-Sudur Bi Syarah Hal al-Mauta Wa al-Qubur, al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, al-Hawi Li al-Fatawa dan al-Buhur al-Zakhirah Fi Ulum al-Akhirah dan al-Hafiz Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin:

حدثنا عبد الله بن سليمان حدثنا عمرو بن عثمان حدثنا بقية حدثني صفوان حدثني راشد قال كان النبي - صلّى الله عليه وسلم - يقول تعلموا حجتكم فإنكم مسؤولون حتى إن كان أهل البيت من الأنصار يحضر الرجل منهم الموت فيوصونه والغلام إذا عقل فيقولون له إذا سألوك عن ربك فقل الله ربي وما دينك فقل الإسلام ديني ومن نبيك فقل محمد نبيي.

“Telah menceritakn kepada kami oleh Abdullah bin Sulaiman: Telah menceritakan kepada kami oleh Amru bin Uthman: Telah menceritakan kepada kami oleh Baqiyyah: Telah menceritakan kepada saya oleh Sofwan: Telah menceritakan kepada saya oleh Rasyid bin Sa’ad, beliau berkata:

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Pelajarilah hujah kamu sesungguhnya kamu akan ditanya.

Sehinggakan apabila salah seorang lelaki daripada golongan Ansar hampir meninggal dunia, dia akan mewasiatkan pesanan tersebut kepada keluarganya. Apabila seorang kanak-kanak telah berakal (baligh) mereka akan berkata kepadanya: Apabila ditanya kepada kamu tentang tuhanmu, maka katakan: Allah tuhanku. Apa agamamu? Maka jawablah: Islam agamaku. Siapa nabimu? Maka jawablah: Muhammad nabiku.”

Perawi hadis:

1 - Abdullah bin Sulaiman ialah Abdullah bin Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani atau dikenali sebagai Abu Bakar bin Abi Daud, seorang perawi thiqah hafiz.

2 - Amru bin Uthman ialah Amru bin Uthman bin Sa’id bin Kathir bin Dinar al-Qurasyi al-Himsi, seorang perawi thiqah hafiz.

3 - Baqiyyah ialah Baqiyyah bin al-Walid. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib berkata: “Soduq dan banyak melakukan tadlis daripada perawi daif.” Tetapi beliau menjelaskan bahawa beliau mendengar hadis ini daripada Sofwan. Baqiyyah juga terkenal sering melakukan tadlis taswiyyah tetapi beliau sebut secara jelas tahdith (al-tasrih bi al-tahdith) para perawi di atasnya.  

4 - Sofwan ialah Sofwan bin Amru bin Harm al-Saksaki, seorang perawi thiqah.

5 - Rasyid bin Sa’ad ialah Rasyid bin Sa’ad al-Jubrani al-Maqra’i, seorang tabi’i. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib berkata: “Thiqah dan banyak memursalkan hadis.”

Status sanad:

Sanad hadis ini hasan sehingga Rasyid bin Sa’ad dan hadis ini mursal kerana Rasyid bin Sa’ad ialah seorang tabi’i yang terus meriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.