Rabu, 10 September 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (13) – Hukum Riwayat Orang yang Meriwayatkan Hadis Lalu Lupa

Iaitu keadaan seorang syeikh (guru) yang tidak mengingati suatu riwayat yang telah diriwayatkan oleh muridnya daripadanya.

Hukum Riwayatnya:

- Ditolak: Jika dia menafikannya dengan penafian yang tegas, seperti dengan berkata: "Aku tidak meriwayatkannya," atau "Dia berdusta atas namaku," dan seumpamanya.

- Diterima: Jika dia ragu-ragu dalam penafiannya, seperti dengan berkata: "Aku tidak mengetahuinya," atau "Aku tidak mengingatinya," dan seumpamanya.

Penolakan hadis ini tidak dianggap sebagai suatu kecacatan pada salah seorang daripada mereka berdua, kerana tiada seorang pun antara keduanya yang lebih patut untuk dicela berbanding yang seorang lagi.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Abi Bakar Abu Mus'ab al-Zuhri, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami al-Darawardi, daripada Rabi'ah bin Abi Abd al-Rahman, daripada Suhail bin Abi Salih, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah, semoga Allah meredhainya: “Rasulullah Sallahu ‘alaihi wasallam menetapkan hukum dengan sumpah beserta seorang saksi.”

Abd al-Aziz bin Muhammad al-Darawardi berkata: “Rabi'ah bin Abi Abd al-Rahman telah menceritakan hadis ini kepadaku daripada Suhail.

Lalu aku bertemu Suhail dan bertanya kepadanya tentang hadis itu, namun beliau tidak mengetahuinya. Aku pun berkata: Rabi'ah telah menceritakan kepadaku daripadamu begini dan begini.

Maka selepas itu, Suhail pun berkata: "Telah menceritakan kepadaku Abd al-Aziz, daripada Rabi'ah, daripadaku, bahawa aku telah menceritakannya daripada Abu Hurairah (semoga Allah meredhainya) secara marfu’:..."

Karya-karya paling masyhur mengenainya:

Kitab Akhbar Man Haddatha wa Nasiya: oleh al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Thabit, yang dikenali sebagai al-Khatib al-Baghdadi (meninggal dunia pada tahun 463 Hijrah).

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri

Tiada ulasan:

Catat Ulasan