Daripada Abu Hurairah, Ibn Abbas dan Aisyah daripada Nabi sallahu
‘alaihi wasallam, baginda bersabda: “Allah melaknat kaum Yahudi (kerana)
mereka menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai masjid (tempat ibadat).”
Pendapat Syeikh
Abdullah al-Siddiq al-Ghumari:
Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitab al-Fawaid
al-Maqsudah Fi Bayan al-Ahadith al-Syazah al-Mardudah menjelaskan pendapat
beliau tentang hadis ini:
Ini adalah hadis yang sabit dalam Sahihain (Sahih
Bukhari dan Muslim) dan selainnya melalui pelbagai sanad.
Ramai ulama terdahulu dan terkemudian telah beramal
dengannya, namun mereka tidak menyedari kecacatan-kecacatan yang terkandung di
dalamnya yang menuntut agar amalan dengannya ditinggalkan. Ini kerana al-Quran
al-Karim bercanggah dengan hadis ini dari tiga sudut:
Sudut pertama: Allah Taala memberitahu tentang kaum
Yahudi bahawa mereka berkata “Sesungguhnya
Allah miskin dan kami kaya.” (Ali
‘Imran: 181).
Dan mereka berkata:
“Tangan Allah terbelenggu.” (Al-Ma’idah:
64).
Mereka juga berkata: “Sesungguhnya Allah setelah menciptakan
langit dan bumi, Dia berehat pada hari Sabtu.”
Mereka menisbahkan penyesalan kepada-Nya, dan lain-lain
kekurangan yang tidak layak bagi Allah Taala dan tidak harus pada hak-Nya.
Maka, bagaimana mungkin mereka menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai
masjid? Ini tidak masuk akal.
Sudut kedua: Kaum Yahudi menyakiti para nabi.
Allah Taala berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa; maka
Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah dia
seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah.” (Al-Ahzab: 69).
Dan Allah Taala berfirman: “Dan (ingatlah) ketika Musa
berkata kepada kaumnya: 'Wahai kaumku, mengapa kamu menyakitiku, padahal
kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu?” (As-Saff: 5).
Ini berlaku sedangkan Musa ‘alaihis salam adalah nabi
mereka yang paling agung dan pembawa syariat mereka.
Mereka menyakiti Daud ‘alaihis salam lalu mendakwa
bahawa baginda telah berzina dengan isteri Uria dan wanita itu telah mengandung
disebabkannya, serta menisbahkan perbuatan meminum arak kepadanya.
Mereka mengingkari kenabian Sulaiman ‘alaihis salam,
dan berkata: "Dia adalah seorang raja yang bijaksana yang membina
kerajaannya dengan sihir."
Mereka menuduh Maryam ‘alaihas salam dengan tuduhan
bohong yang besar sepertimana (yang disebutkan) dalam al-Quran al-Karim,
sebagaimana mereka juga menuduh Isa ‘alaihis salam pada nasabnya.
Maka, bagaimana perbuatan mereka menyakiti para nabi selari
dengan tindakan menjadikan kubur-kubur mereka sebagai masjid? Ini tidak masuk
akal.
Sudut ketiga: Allah
Taala telah memberitahu bahawa kaum Yahudi adalah pembunuh para nabi.
Allah Taala berfirman: "Dan ditimpakanlah ke atas
mereka kehinaan dan kenistaan, serta mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Hal
itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh
para nabi tanpa alasan yang benar." (Al-Baqarah: 61).
Allah Taala juga berfirman: "Apakah setiap kali datang
kepadamu seorang rasul dengan (membawa) sesuatu (pelajaran) yang tidak sesuai
dengan keinginanmu, lalu kamu menyombongkan diri; maka sebahagian (dari mereka)
kamu dustakan dan sebahagian (yang lain) kamu bunuh?" (Al-Baqarah:
87).
Ayat ini menjelaskan bahawa keadaan kaum Yahudi terhadap
para nabi berkisar antara dua perkara: mendustakan dan membunuh.
Allah Taala berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang
mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar dan membunuh
orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka
dengan azab yang pedih." (Ali 'Imran: 21).
Ayat ini menjelaskan bahawa kaum Yahudi juga membunuh
orang-orang soleh yang mengikuti jalan para nabi.
Allah Taala berfirman: "Mereka ditimpakan kehinaan di
mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka (berpegang) pada tali (agama)
Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia. Dan mereka kembali mendapat
kemurkaan dari Allah dan mereka ditimpakan kenistaan. Yang demikian itu kerana
mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa
alasan yang benar. Yang demikian itu (juga) kerana mereka menderhaka dan
senantiasa melampaui batas." (Ali 'Imran: 112).
Allah Taala berfirman: "Sungguh, Allah telah mendengar
perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan, 'Sesungguhnya Allah itu miskin
dan kami kaya.' Kami akan mencatat perkataan mereka dan perbuatan mereka
membunuh para nabi tanpa alasan yang benar, dan Kami akan mengatakan
(kepada mereka), 'Rasakanlah olehmu azab yang membakar'." (Ali 'Imran:
181).
Allah Taala berfirman: "Katakanlah (Muhammad),
'Sungguh, telah datang kepadamu rasul-rasul sebelumku dengan membawa
bukti-bukti yang nyata dan dengan apa yang kamu katakan. Mengapa kamu
membunuh mereka jika kamu orang-orang yang benar?'" (Ali 'Imran: 183).
Allah Taala berfirman: "Maka (Kami hukum mereka),
kerana mereka melanggar perjanjian itu, dan kerana kekafiran mereka terhadap
keterangan-keterangan Allah, serta kerana mereka telah membunuh nabi-nabi
dengan jalan yang tidak benar, dan kerana mereka mengatakan: 'Hati kami
tertutup'. Bahkan Allah telah mengunci mati hati mereka kerana kekafirannya,
kerana itu mereka tidak beriman kecuali sebilangan kecil sahaja (daripada
mereka). Dan kerana kekafiran mereka (terhadap ‘Isa), dan tuduhan mereka
terhadap Maryam dengan kedustaan besar (zina), dan kerana ucapan mereka:
'Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam,
Rasulullah'." (An-Nisa': 155-157).
Perlu diperhatikan bahawa Allah menggunakan kata kerja masa
kini (fi'il mudhari') dalam ayat-ayat ini untuk menyatakan bahawa kaum
Yahudi membunuh para nabi, sebagai isyarat bahawa membunuh para nabi adalah
kebiasaan mereka yang berlaku setiap kali seorang nabi datang. Mereka terus
melakukan hal ini sehingga Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam diutus,
lalu mereka cuba membunuhnya sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah ketika mereka menghidangkan kepada
baginda bahu kambing yang beracun, dan hadis ini terdapat dalam Sahihain.
Kali kedua adalah ketika baginda pergi ke Bani Nadhir untuk
meminta bantuan mereka membayar diat bagi dua orang yang terbunuh, di mana
terdapat perjanjian dan perikatan antara keluarga mangsa dengan Bani Nadhir.
Orang-orang Yahudi berkata kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:
"Baiklah, wahai Abu al-Qasim, kami akan membantumu dalam apa yang kamu
suka, sebagaimana kamu meminta bantuan kami. Duduklah sehingga kamu makan dan
kembali dengan hajatmu." Maka baginda pun duduk di bawah bayangan salah
satu dinding rumah mereka.
Lalu sebahagian daripada mereka bersembunyi dan berkata:
"Kamu tidak akan mendapati lelaki ini dalam keadaan seperti ini lagi.
Siapakah yang akan naik ke atas rumah ini lalu menjatuhkan batu ke atasnya
untuk merehatkan kita daripadanya?"
Maka Amr bin Jihasy bin Ka'ab, salah seorang daripada
mereka, menawarkan diri dan berkata: "Aku akan melakukannya."
Lalu dia naik untuk menjatuhkan batu ke atas baginda,
sedangkan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam berada bersama beberapa
orang sahabatnya, termasuk Abu Bakar, Umar, dan Ali radiallahu ‘anhuma.
Maka datanglah berita dari langit kepada baginda tentang apa yang dirancangkan
oleh kaum itu, lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pun bangun dan
kembali ke Madinah.
Maka, sejarah kaum Yahudi dinodai dengan darah para nabi dan
orang-orang soleh yang mereka bunuh. Sesiapa yang selamat daripada pembunuhan
mereka tidak akan terlepas daripada pendustaan dan penganiayaan mereka. Jadi,
bagaimana mungkin mereka menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai masjid? Ini
tidak masuk akal.
Menurut Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, ini adalah
antara isu yang tidak disedari oleh seorang pun ulama sebelum beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan