Asal-usul Penulisan Tafsir al-Jalalain
Tafsir ini dikarang secara bersama oleh dua orang imam yang mulia: Jalaluddin al-Mahalli (meninggal dunia pada tahun 864 Hijrah) dan Jalaluddin al-Suyuti (meninggal dunia pada tahun 911 Hijrah).
Al-Mahalli telah memulakan
tafsirnya dari awal Surah al-Kahfi hingga akhir Surah an-Nas. Kemudian beliau
memulakan tafsir Surah al-Fatihah. Setelah menyiapkannya beliau meninggal
dunia, maka beliau tidak sempat menafsirkan surah-surah lain selepasnya.
Adapun al-Suyuti, beliau datang selepas al-Mahalli lalu menyempurnakan tafsir ini. Beliau memulakan tafsir ini dengan menafsirkan
Surah al-Baqarah dan berakhir pada akhir Surah al-Isra'. Beliau meletakkan
tafsir Surah al-Fatihah di akhir tafsir al-Mahalli agar ia menjadi
lampiran kepada tafsir ini.
Kritikan terhadap Dakwaan Haji Khalifah
Pengarang kitab Kashf al-Zunun, Haji Khalifah telah mendakwa bahawa Tafsir al-Jalalain dari awalnya hingga akhir Surah al-Isra' adalah hasil karya al-Mahalli dan bakinya telah disempurnakan oleh al-Suyuti.
Menurut beliau lagi, surah al-Fatihah juga tidak ditafsirkan oleh al-Mahalli sebaliknya al-Suyuti yang telah menafsirkannya dengan tafsiran yang sesuai.
Penegasan Dari al-Suyuti
Haji Khalifah tidak tepat dalam dakwaannya itu kerana al-Suyuti sendiri di dalam mukadimah tafsir ini telah menyatakan:
“Inilah apa yang amat diperlukan oleh mereka yang berhajat
untuk melengkapkan tafsir al-Quran al-Karim yang telah dikarang oleh al-Imam
al-'Allamah al-Muhaqqiq, Jalaluddin, Muhammad bin Ahmad, al-Mahalli al-Syafi'i rahimahullah,
dan untuk menyempurnakan apa yang telah beliau (al-Mahalli) terlepas daripadanya, iaitu dari awal Surah al-Baqarah hingga akhir Surah al-Isra'.”
Pada akhir tafsir Surah al-Isra' pula beliau menyatakan: "Pengarangnya (al-Suyuti) berkata: Inilah bahagian akhir yang dengannya aku telah menyempurnakan tafsir al-Quran al-Karim, yang telah dikarang oleh al-Syeikh al-Imam, al-'Alim al-'Allamah al-Muhaqqiq Jalaluddin al-Mahalli al-Syafi'i radhiyallahu 'anhu.”
Isu Tafsir Surah al-Fatihah
Dakwaan Haji Khalifah bahawa al-Mahalli tidak menafsirkan al-Fatihah, sebaliknya al-Suyutilah yang menafsirkannya juga adalah satu dakwaan yang jelas tidak tepat.
Hal ini adalah berdasarkan apa yang dikatakan oleh Syeikh Sulaiman al-Jamal dalam mukadimah hasyiah beliau ke atas tafsir ini:
“Adapun al-Fatihah, maka al-Mahalli telah menafsirkannya, lalu al-Suyuti meletakkannya di akhir tafsir al-Mahalli agar ia dapat digabungkan dengan tafsirnya. Al-Suyuti sendiri memulakan (tafsirnya) pada awal Surah al-Baqarah.”
Syeikh Sulaiman al-Jamal juga menyebutkan di penghujung tafsir Surah al-Fatihah:
“Sesungguhnya beliau (al-Mahalli) telah mula menafsirkan separuh yang pertama (dari al-Quran), dan beliau memulakannya dengan al-Fatihah. Beliau telah meninggal dunia selepas menyiapkannya dan sebelum memulakan (tafsir) Surah al-Baqarah dan surah-surah selepasnya.”
Berdasarkan kenyataan al-Suyuti dan Sulaiman al-Jamal ini jelas bahawa al-Suyuti hanya menafsirkan Surah al-Baqarah sehingga Surah al-Isra'. Oleh itu tafsir surah al-Fatihah dan Surah al-Kahfi sehingga al-Nas adalah daripada al-Mahalli.
Isu Tafsir Basmalah
Haji Khalifah juga menyebutkan:
“Kedua-dua Syeikh (al-Mahalli dan al-Suyuti) tidak
membicarakan tentang Basmalah. Maka sebahagian ulama dari Zabid telah
membicarakannya dengan perbincangan yang lebih ringkas daripada yang
sepatutnya, dan menulisnya sebagai catatan di nota kaki.”
Dakwaan ini adalah benar kerana al-Mahalli
tidak membicarakan tentang tafsir Basmalah sama sekali dalam bahagian yang
ditafsirkannya, baik pada awal Surah al-Kahfi, mahupun pada awal surah
al-Fatihah. Begitu juga dengan al-Suyuti, beliau tidak membicarakan tentang
tafsirnya sama sekali pada bahagian yang ditafsirkannya.
Metodologi al-Mahalli dan al-Suyuti
Al-Mahalli telah menafsirkan bahagian yang
ditafsirkannya dengan ungkapan yang ringkas lagi tersusun, sangat indah dan
amat teliti. Al-Suyuti telah mengikutinya dalam metodologi tersebut dan tidak
menghuraikannya secara panjang lebar. Ini kerana beliau beriltizam untuk
menyempurnakan kitab tersebut mengikut corak yang telah diikuti oleh
al-Mahalli, sepertimana yang telah dijelaskannya sendiri dalam mukadimahnya.
Tafsir al-Jalalain - selain ia amat ringkas - ia juga telah menghimpunkan contoh daripada pelbagai jenis ilmu tafsir. Di dalamnya terdapat penjelasan bagi isu-isu nahu, sorof dan balaghah, penghuraian hukum-hakam fiqh, usul dan akidah, penjelasan bagi Qira'at, Asbab al-Nuzul, dan al-Nasikh wa al-Mansukh, serta usaha mengharmonikan antara ayat-ayat yang zahirnya kelihatan bertentangan, dan ilmu-ilmu Tafsir yang lain
Al-Suyuti telah menyebutkan pada penutup Surah al-Isra' bahawa beliau telah mengarang bahagian yang dikarangnya dalam tempoh janji temu al-Kalim (Nabi Musa) bersama Allah, iaitu empat puluh hari.
Beliau telah menyebutkan pada penutup Surah al-Isra' tersebut bahawa dalam tafsirnya ini beliau banyak mengambil manfaat daripada tafsir al-Jalal al-Mahalli, dan beliau merujuk kepadanya ketika menafsirkan ayat-ayat Mutasyabihah.
Beliau juga mengaku dengan
tegas bahawa apa yang dihasilkan oleh al-Jalal al-Mahalli pada bahagiannya
adalah jauh lebih baik daripada apa yang dihasilkannya sendiri.
Keseragaman Metodologi antara Kedua-dua Ulama
Secara umumnya al-Suyuti telah mengikuti metodologi al-Mahalli iaitu dengan menyebut apa yang dapat beliau fahami daripada Kalam Allah Ta'ala. Beliau juga bersandar kepada pandangan-pandangan yang paling kuat, mengi'rab apa yang diperlukan, dan memberi peringatan tentang qira'at-qira'at berbeza yang masyhur.
Semua ini disampaikan dengan cara yang padat dan ungkapan yang ringkas, serta
meninggalkan huraian panjang dengan menyebut pandangan-pandangan yang tidak dapat diterima, dan perbahasan i'rab yang panjang lebar yang tempatnya adalah di dalam kitab-kitab
Bahasa Arab.
Tidak syak lagi bahawa sesiapa yang membaca Tafsir al-Jalalain hampir tidak akan merasakan perbezaan yang jelas antara metodologi kedua-dua ulama ini pada bahagian yang mereka tafsirkan. Begitu juga pembaca hampir tidak akan merasakan percanggahan di antara mereka berdua pada mana-mana aspek tafsir yang pelbagai, melainkan pada beberapa tempat yang sedikit yang tidak mencecah sepuluh tempat.
Al-Mahalli dan al-Suyuti dalam tafsir mereka ini telah merujuk kepada pada sejumlah kitab tafsir sebagaimana yang telah dinyatakan sendiri oleh al-Suyuti dalam kitabnya, Bughyah al-Wu‘ah fi Tarajim al-Lughawiyyin wa al-Nuhah ketika menulis biografi Imam Muwaffaq al-Din Ahmad bin Yusuf al-Kawashi al-Mawsili al-Mufassir, yang meninggal dunia pada tahun 860 Hijrah, di mana beliau berkata:
“Al-Kawashi mempunyai Tafsir al-Kabir dan al-Saghir, yang mana di dalamnya beliau telah memperkemaskan i‘rab dan memperincikan jenis-jenis waqaf (tempat berhenti dalam al-Quran), dan beliau telah menghantar satu naskhah daripadanya ke Makkah, Madinah, dan al-Quds.
Aku (al-Suyuti) berkata: Dan kepadanyalah Syeikh Jalaluddin al-Mahalli bersandar dalam tafsirnya, dan aku juga bersandar kepadanya dalam melengkapkannya, bersama-sama dengan al-Wajiz (oleh al-Wahidi), Tafsir al-Baidawi, dan Ibn Kathir.”
Perbandingan Tafsir al-Jalalain dengan Huruf al-Quran
Tafsir ini amatlah ringkas dan padat sehinggakan Haji Khalifah telah menyebutkan daripada sebahagian ulama Yaman yang berkata:
“Aku telah mengira huruf-huruf al-Quran dan tafsirnya oleh
al-Jalalain, lalu aku mendapati kedua-duanya sama (bilangannya) sehingga Surah
al-Muzzammil. Dari Surah al-Muddaththir, tafsirnya lebih banyak daripada
al-Quran. Maka berdasarkan fakta ini, harus membawanya tanpa wuduk.”
Hasyiah dan Ulasan terhadap Tafsir al-Jalalain
Di sebalik ringkasnya kitab ini namun ia amat bernilai dalam bidangnya, dan ia merupakan antara tafsir yang paling agung dari segi penyebaran serta paling banyak beredar dan kaya manfaatnya.
Ia telah dicetak berulang kali, serta telah dihasilkan banyak ulasan dan komentar para ulama ke atasnya.
Antara hasyiah-hasyiah yang terpenting ialah:
1 - Hasyiah al-Jamal.
2 - Hasyiah al-Sawi.
Kedua-duanya hasyiah ini popular di kalangan ahli ilmu.
3 - Syamsuddin Muhammad bin al-'Alqami yang dinamakannya: Qabas al-Nayyirain, yang selesai dikarangnya pada tahun 952 Hijrah.
4 - Hasyiah yang dinamakan al-Jamalayn, karya Maulana al-Fadil
Nuruddin Ali bin Sultan Muhammad al-Qari yang menetap di Makkah al-Mukarramah,
dan meninggal dunia di sana pada tahun 1010 Hijrah.
5 - Sebuah syarah oleh Jalaluddin Muhammad bin Muhammad al-Karkhi, iaitu sebuah karya yang besar dalam beberapa jilid yang dinamakannya Majma' al-Bahrayn wa Matla' al-Badrayn. Beliau turut mempunyai sebuah hasyiah kecil.
Sumber:
Al-Tafsir Wa Al-Mufassirun oleh Syeikh Dr Muhammad Husein al-Zahabi.
Mukadimah tahqiq Tafsir al-Jalalain terbitan Madar al-Watan.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan