Khamis, 8 Julai 2021

Takhrij Hadis Kitab Al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fathani (Siri 1)



Syeikh Daud al-Fathani rahimahullah dalam kitab al-Durr al-Thamin (ms. 4, baris ke-17 dari bawah) menyebutkan hadis:

تعلموا حجتكم، فإنكم مسؤولون.

“Belajar kamu akan hujah kamu maka bahawasanya kamu ditanyakan kamu sekelian pada hari kiamat.”

Takhrij Hadis

Mazlan bin Sidek dalam tesis Sarjana beliau yang bertajuk ‘Hadis Dalam Kitab al-Durr al-Thamin Karangan Syeikh Daud al-Fatani: Takhrij dan Analisis’ mengatakan: “Setelah dicari dengan kemampuan yang ada, penulis tidak temui hadith ini.”

Saya katakan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Sunnah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuti dalam beberapa buah kitab beliau seperti Syarah al-Sudur Bi Syarah Hal al-Mauta Wa al-Qubur, al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, al-Hawi Li al-Fatawa dan al-Buhur al-Zakhirah Fi Ulum al-Akhirah dan al-Hafiz Muhammad Murtadha al-Zabidi dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin:

حدثنا عبد الله بن سليمان حدثنا عمرو بن عثمان حدثنا بقية حدثني صفوان حدثني راشد قال كان النبي - صلّى الله عليه وسلم - يقول تعلموا حجتكم فإنكم مسؤولون حتى إن كان أهل البيت من الأنصار يحضر الرجل منهم الموت فيوصونه والغلام إذا عقل فيقولون له إذا سألوك عن ربك فقل الله ربي وما دينك فقل الإسلام ديني ومن نبيك فقل محمد نبيي.

“Telah menceritakn kepada kami oleh Abdullah bin Sulaiman: Telah menceritakan kepada kami oleh Amru bin Uthman: Telah menceritakan kepada kami oleh Baqiyyah: Telah menceritakan kepada saya oleh Sofwan: Telah menceritakan kepada saya oleh Rasyid bin Sa’ad, beliau berkata:

“Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Pelajarilah hujah kamu sesungguhnya kamu akan ditanya.

Sehinggakan apabila salah seorang lelaki daripada golongan Ansar hampir meninggal dunia, dia akan mewasiatkan pesanan tersebut kepada keluarganya. Apabila seorang kanak-kanak telah berakal (baligh) mereka akan berkata kepadanya: Apabila ditanya kepada kamu tentang tuhanmu, maka katakan: Allah tuhanku. Apa agamamu? Maka jawablah: Islam agamaku. Siapa nabimu? Maka jawablah: Muhammad nabiku.”

Perawi hadis:

1 - Abdullah bin Sulaiman ialah Abdullah bin Sulaiman bin al-Asy’ath al-Sijistani atau dikenali sebagai Abu Bakar bin Abi Daud, seorang perawi thiqah hafiz.

2 - Amru bin Uthman ialah Amru bin Uthman bin Sa’id bin Kathir bin Dinar al-Qurasyi al-Himsi, seorang perawi thiqah hafiz.

3 - Baqiyyah ialah Baqiyyah bin al-Walid. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib berkata: “Soduq dan banyak melakukan tadlis daripada perawi daif.” Tetapi beliau menjelaskan bahawa beliau mendengar hadis ini daripada Sofwan. Baqiyyah juga terkenal sering melakukan tadlis taswiyyah tetapi beliau sebut secara jelas tahdith (al-tasrih bi al-tahdith) para perawi di atasnya.  

4 - Sofwan ialah Sofwan bin Amru bin Harm al-Saksaki, seorang perawi thiqah.

5 - Rasyid bin Sa’ad ialah Rasyid bin Sa’ad al-Jubrani al-Maqra’i, seorang tabi’i. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Taqrib al-Tahzib berkata: “Thiqah dan banyak memursalkan hadis.”

Status sanad:

Sanad hadis ini hasan sehingga Rasyid bin Sa’ad dan hadis ini mursal kerana Rasyid bin Sa’ad ialah seorang tabi’i yang terus meriwayatkan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan