Hadis
Pertama
أنَّ رجلًا أسوَدَ، أوِ امرأةً سَوداءَ، كان يَقُمُّ
المسجدَ، فمات، فسأَل النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عنه، فقالوا: مات، قال : أفلا كنتُم آذَنتُموني به، دُلُّوني
على قبرِه، أو قال قبرِها. فأتى قبرَها فصلَّى عليها .
Ada seorang lelaki berkulit hitam atau seorang
perempuan berkulit hitam (syak pada perawi hadis) selalu membersihkan
masjid kemudian dia meninggal dunia.
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bertanya
tentang orang tersebut.
Para sahabat menjawab: “Dia telah meninggal
dunia.”
Nabi bersabda: “Kenapa kamu semua tidak
beritahu kepadaku tentangnya. Tunjukkan kepadaku kuburnya.”
Lalu Nabi datang ke kuburnya dan bersolat ke
atasnya.
Riwayat al-Bukhari (no. 458) daripada hadis
Abu Hurairah.
Hadis
Kedua
أَنَّ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ
الْمَسْجِدَ أَوْ شَابًّا فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ، فَسَأَلَ عَنْهَا - أَوْ عَنْهُ - فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلَا
كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي. قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا أَوْ
أَمْرَهُ. فَقَالَ: دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ، فَدَلُّوهُ، فَصَلَّى عَلَيْهَا،
ثُمَّ قَالَ: إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا،
وَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلَاتِي عَلَيْهِمْ.
Ada seorang wanita atau pemuda berkulit hitam
bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam tidak menemukan orang tersebut baginda bertanya (kepada sahabat)
tentangnya. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal dunia.
Kata Nabi sallahu ‘alaihi wasallam: "Kenapa
kamu semua tidak beritahu kepadaku?"
Perawi hadis ini berkata: “Seolah-olah para
sahabat menganggap remeh kematian orang itu.”
Lalu kata Nabi: "Tunjukkanlah kepadaku
kuburnya."
Maka ditunjukkan mereka kepada beliau
kuburnya, lalu baginda solat (jenazah) ke atasnya.
Kemudian baginda bersabda: "Kubur ini
sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah 'azza wa jalla akan
meneranginya setelah aku solat di atasnya."
Riwayat Muslim (no. 956) daripada hadis Abu
Hurairah
Hadis
Ketiga
Adapun riwayat yang menyebutkan nama wanita
tersebut sebagai Ummu Mihjan:
كَانَتْ امْرَأَةٌ بِالْمَدِينَةِ تَقُمُّ
الْمَسْجِدَ فَمَاتَتْ فَلَمْ يَعْلَمْ بِهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَمَرَّ عَلَى قَبْرِهَا فَقَالَ مَا هَذَا الْقَبْرُ؟ فَقَالُوا أُمُّ
مِحْجَنٍ، قَالَ الَّتِي كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ؟ قَالُوا نَعَمْ، فَصَفَّ
النَّاسَ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ أَيَّ الْعَمَلِ وَجَدْت أَفْضَلَ؟
قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَسْمَعُ؟ قَالَ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ
مِنْهَا، فَذَكَرَ أَنَّهَا أَجَابَتْهُ قَمَّ الْمَسْجِدِ.
Ada seorang
wanita di Madinah yang selalu membersihkan masjid. Kemudian dia meninggal dunia dan Nabi salahu
‘alaihi wasallam tidak tahu tentang kematiannya.
Nabi sallahu
‘alaihi wasallam melalui kuburnya lalu bertanya: “Kubur siapakah ini?”
Para sahabat menjawab: “Ummu Mihjan.”
Nabi bertanya lagi: “Yang membersihkan
masjid?”
Para sahabat menjawab: “Ya.”
Nabi dan para sahabat lalu berbaris dan bersolat untuknya.
Kemudian Nabi bertanya (kepada Ummu Mihjan): “Amalan
apakah yang kamu dapati merupakan sebaik-baik amalan?”
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah,
adakah dia dengar?”
Nabi menjawab: “Dia lebih dengar daripada
kamu semua.”
Kemudian Nabi menyebut bahawa dia menjawab: “Membersihkan
masjid.”
Diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh dalam Thawab
al-A’mal daripada hadis ‘Ubaid bin Marzuq secara mursal
(daif).
Begitu juga
ada riwayat daripada hadis Buraidah yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam al-Sunan
al-Kubra (no. 7101) yang menyebutkan nama wanita tersebut sebagai Ummu
Mihjan. Hadis Buraidah ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.
Pengajaran Hadis:
1 – Kelebihan membersihkan masjid dan
menghilangkan kotoran daripadanya.
2 – Kesungguhan Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam dalam mengambil berat tentang hal ehwal umatnya.
3 – Kemulian akhlak dan tawaduk baginda yang
sentiasa memberi perhatian tentang orang-orang yang lemah dan miskin yang
berada di sekeliling baginda. Baginda tidak berasa malu untuk bertanya tentang
hal ehwal mereka, menziarahi mereka yang sakit, mensolatkan jenazah mereka
serta mengiringi jenazah mereka ke kuburan.
4 – Galakan untuk mengunjungi jenazah orang
soleh.
5 – Disyariatkan menyebarluaskan berita
kematian agar kaum muslimin dapat berkumpul untuk mensolati jenazah berkenaan.
6 – Galakan untuk mendoakan dan meminta rahmat
daripada Allah kepada orang yang banyak berkhidmat untuk Islam dan kaum muslimin.
7 – Harus untuk mensolatkan jenazah walaupun
setelah dikebumikan.
8 – Disyariatkan untuk mengulangi solat
jenazah walaupun jenazah tersebut telah disolatkan sebelum dikebumikan kerana
wanita ini telah disolatkan sebelum dikebumikan namun baginda tetap
mensolatinya sekali lagi.
9 – Solat baginda ke atas jenazah umatnya
adalah rahmat bagi mereka dan dapat menghilangkan kegelapan kubur mereka.
10 – Tidak memandang rendah kepada orang lain
kerana kita tidak tahu kedudukan mereka di sisi Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan