Suatu istilah menggambarkan tentang suatu sebab yang tersembunyi yang mencacatkan kesahihan sesuatu hadis sedangkan keadaan zahirnya menampakkan hadis tersebut adalah selamat dari segala kecacatan.
‘Illah dapat dikenalpasti melalui penelitian terhadap perawi seorang demi seorang, atau pencanggahan perawi dengan perawi yang lain, berserta dengan bukti-bukti yang menyebabkan seorang yang arif dalam bidang ini menyedari bahawa terdapat keraguan dalam sesuatu sanad seperti berlakunya irsal dalam hadis yang mausul, atau berlakunya waqf (mawquf) dalam hadis yang marfu’, atau pertindihan hadis dalam hadis yang lain dan sebagainya.
Semua perkara seperti di atas akan menyebabkan seseorang ahli hadis yang arif akan mengeluarkan hukum bahawa hadis tersebut adalah tidak sahih, atau beliau teragak-agak dan tidak mampu mengeluarkan hukum langsung ke atas hadis tersebut.
Kesukaran mencari ’illah sesuatu hadis boleh berlaku sehingga menyebabkan seorang ahli hadis tidak mampu mengeluarkan bukti terhadap hukumannya terhadap sesuatu hadis, seperti seorang pengurup wang yang dapat membezakan wang dinar dan dirham.
Namun terdapat kaedah untuk mengesani ’illah ini iaitu dengan mengumpulkan seluruh jalan sanad sesuatu hadis itu dan meneliti setiap perbezaan pada para perawi, serta ketepatan riwayat mereka.
Antara kitab-kitab terkenal yang dikarang dalam ilmu ’ilal al-hadith:
1 - Al-Tarikh wa al-‘Ilal : Karangan al-Imam Yahya bin Ma’in (w. 233 H).
2 – Al-‘Ilal : Karangan al-Imam ‘Ali bin ‘Abd Allah al-Madini (w. 234 H).
3 – Al-‘Ilal al-Kabir : Karangan al-Imam al-Tirmizi (w. 279 H).
4 - Al-‘Ilal : Karangan al-Imam Ibnu Abi Hatim (w. 327 H).
5 - Al-‘Ilal al-Waridah fi al-Ahadith al-Nabawiyyah : Karangan al-Imam al-Daraqutni (w. 385 H).
6 - Al-‘Ilal al-Mutanahiah fi al-Ahadis al-Wahiah : Karangan al-Hafiz Ibnu al-Jauzi (w. 597 H).
[Kamus Istilah Hadis, Sayyid Abdul Majid al-Ghauri, hlm. 360]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan