Jumaat, 14 Jun 2019

Sifat ‘Adil Perawi ('Adalah)

Definisi 'Adalah

Satu kemampuan (malakah) yang mendorong pemiliknya ke arah takwa, dan menjauhi segala kenistaan dan perkara yang mencacatkan maruah (muru'ah) di sisi manusia.

Syarat-Syarat 'Adalah

Disyaratkan padanya perkara-perkara berikut:

1 - Islam:

Berdasarkan firman-Nya Ta'ala:

مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ

"...daripada saksi-saksi yang kamu redai."

Orang bukan Islam bukanlah daripada golongan yang diredai secara pasti.

2 - Baligh:

Ini kerana ia adalah asas untuk seseorang itu menanggung tanggungjawab, komited dalam melaksanakan kewajipan dan meninggalkan larangan.

3 - Berakal:

'Berakal' ini diperlukan untuk terhasilnya kebenaran dan ketepatan pada kata-kata seseorang itu.

4 - Taqwa:

Iaitu menjauhi dosa-dosa besar dan meninggalkan perbuatan berterusan melakukan dosa-dosa kecil.

Adapun dosa-dosa besar, maka melakukannya adalah kefasikan secara pasti, dan begitu juga berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Ini kerana perbuatan berterusan itu akan menjadikannya besar sepertimana kata para ulama: "Tiada dosa kecil jika dilakukan secara berterusan."

Dalil disyaratkan takwa ialah firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti."

Firman Allah Ta'ala:

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ

"...dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu..."

Firman Allah Ta’ala:

مِمَّنْ تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ

"...daripada saksi-saksi yang kamu redai."

Ayat-ayat ini, walaupun ia berkaitan dengan urusan harta benda dan seumpamanya, namun urusan periwayatan hadis adalah agama sepertimana kata Ibn Sirin:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَهُ

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambilnya."

Maka urusan periwayatan hadis lebih layak untuk disyaratkan dengan syarat-syarat ini daripada urusan harta benda.

5 - Bersifat dengan maruah (muru'ah) dan meninggalkan apa yang mencacatkannya.

Iaitu setiap perkara yang dapat merendahkan martabat seseorang dalam uruf sosial yang sihat, seperti membuang air kecil di jalanan, dan banyak bersenda gurau serta tidak cakna. 

Ini kerana sesiapa yang melakukan perkara tersebut adalah seorang yang mempunyai sikap kurang ambil peduli, maka kita tidak akan merasa tenteram kerana dia mungkin akan bersikap sambil lewa dalam meriwayatkan Hadis Nabawi.

Cara Membuktikan 'Adalah Seorang Perawi

Sifat-sifat ini, apabila terdapat pada seorang perawi, maka diketahui ‘adalah-nya dan dia adalah seorang yang benar. Ini kerana ia apabila terkumpul pada seorang perawi, ia akan mendorong pemiliknya ke arah kebenaran dan menjauhkannya daripada kedustaan, disebabkan dorongan-dorongan agama, sosial dan psikologi yang ada padanya berserta kesedaran yang penuh terhadap tindak-tanduknya dan penanggungan tanggungjawab .

Ibn al-Salah berkata: "‘Adalah seorang perawi itu terbukti adakalanya dengan penegasan secara jelas  oleh para mu'addilin (ulama penilai) mengenai ‘adalah-nya, dan adakalanya ia terbukti melalui kemasyhuran.

Maka sesiapa yang masyhur ‘adalah-nya di kalangan ahli naql (ulama hadis) atau seumpama mereka, dan tersebar luas pujian ke atasnya dengan (sifat) thiqah dan amanah, maka dengan itu tidak lagi diperlukan baginya bukti yang menyaksikan ‘adalah-nya secara jelas. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab al-Syafi'i, dan inilah yang menjadi sandaran dalam bidang Usul al-Fiqh."

Antara mereka yang masyhur ‘adalah-nya ialah: dua Sufyan (al-Thauri dan Ibnu ‘Uyainah), al-Awza'i, al-Syafi'i, Ahmad, al-Layth, Shu'bah, Ibn al-Mubarak, Waki', Ibn Ma'in, Ibn al-Madini, dan sesiapa yang mengikuti jejak langkah mereka dalam kemasyhuran nama dan keelokan peribadinya. Maka tidak perlu ditanya tentang ‘adalah mereka. Hanyasanya yang ditanya ialah tentang ‘adalah orang yang tersembunyi keadaannya.

Ibn Hanbal pernah ditanya mengenai Ishaq bin Rahawaih, lalu beliau berkata: “Orang seperti Ishaq pun perlu ditanya mengenainya?”

Ibn Ma'in pernah ditanya mengenai Abu 'Ubaid, lalu beliau berkata: “Orang sepertiku ditanya mengenai Abu 'Ubayd? Abu 'Ubaid yang sepatutnya ditanya mengenai orang lain.”

Pembuktian Melalui Kemasukan dalam Kitab Sahih

‘Adalah juga dibuktikan melalui riwayat yang dikeluarkan oleh sesiapa yang komited untuk hanya memasukkan hadis sahih di dalam kitabnya seperti al-Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) dan selain mereka.

Maka jika para perawi tersebut adalah daripada kalangan perawi al-Syaikhain, mereka dianggap ‘adil sehinggalah terbukti pada salah seorang daripada mereka terdapat kritikan, maka barulah diteliti keadaannya.

Cukuplah bagi seorang pengkaji untuk berkata: “Fulan adalah daripada kalangan perawi al-Syaikhain atau salah seorang daripada mereka.” Ini kerana umat Islam telah menerima kedua-dua kitab mereka dengan penerimaan penuh, walaupun mereka berbeza pendapat sama ada ia memberikan kesahihan yang pasti bagi setiap hadisnya, namun sekurang-kurangnya ia menghasilkan zann (sangkaan kuat).

Perselisihan Ulama: Adakah Riwayat Seorang Thiqah Dianggap Ta'dil (Penilaian 'Adil)?

‘Adalah juga terbukti di sisi sebahagian ulama lain melalui periwayatan sesiapa yang mensyaratkan untuk tidak meriwayatkan melainkan daripada perawi thiqah sahaja seperti yang dilakukan oleh Malik dan selain beliau. Dalam perkara ini terdapat perselisihan pendapat dan para ulama mempunyai beberapa pandangan mengenainya:

Pandangan Pertama: Periwayatan Tidak Dikira Sebagai Ta'dil

Jika seorang perawi yang ‘adil meriwayatkan daripada seorang perawi yang disebut namanya, ia tidak dikira sebagai ta'dil (penilaian ‘adil) di sisi majoriti ahli hadis. Ini kerana harus seorang perawi yang ‘adil untuk meriwayatkan daripada perawi yang tidak ‘adil.

Perbuatan tersebut dilakukan untuk tujuan mendedahkan keadaan perawi yang diriwayatkan daripadanya itu atau tujuan selain itu.

Telah diriwayatkan daripada al-Sha'bi bahawa beliau berkata:

حَدَّثَنَا الْحَارِثُ، وَأَشْهَدُ بِاللَّهِ أَنَّهُ كَذَّابٌ

"Al-Harith telah menceritakan kepada kami, dan aku bersaksi dengan nama Allah bahawa sesungguhnya dia seorang pendusta."

Al-Hakim dan selain beliau telah meriwayatkan daripada Ahmad bin Hanbal bahawa beliau melihat Yahya bin Ma'in sedang menulis sahifah (koleksi hadis) Ma'mar daripada Aban, daripada Anas. Apabila seseorang melihatnya, dia akan menyembunyikannya. Lalu Ahmad berkata kepadanya: “Engkau menulis sahifah Ma'mar daripada Aban, daripada Anas, sedangkan engkau tahu bahawa ia adalah palsu. Kalaulah ada orang berkata kepadamu: “Engkau mengkritik Aban namun engkau menulis hadisnya?”

Lalu Yahya bin Ma’in menjawab: “Wahai Abu 'Abdillah! Aku menulis sahifah ini lalu aku menghafal kesemuanya, dan aku tahu bahawa ia adalah palsu. Ini supaya tidak datang seseorang lalu dia menukar nama Aban dengan Thabit, dan meriwayatkannya daripada Ma'mar, daripada Thabit, daripada Anas. Maka aku akan berkata kepadanya: Engkau telah berdusta, sesungguhnya ia adalah daripada Ma'mar, daripada Aban, daripada Anas.”

Imam al-Zuhri meriwayatkan dua buah hadis daripada 'Umarah bin Ukaimah al-Laythi, salah satunya mengenai bacaan di belakang imam, dan ia masyhur, manakala yang satu lagi mengenai al-Maghazi (peperangan Nabi).

Ibn Sa'ad berkata mengenai ‘Umarah: "Beliau meninggal dunia pada tahun 101 H, dan beliau berusia 79 tahun. Al-Zuhri meriwayatkan daripadanya sebuah hadis sahaja".

Sebahagian daripada para ulama tidak menjadikan hadisnya sebagai hujah dan berkata: “Dia adalah majhul (tidak dikenali).” Demikian jugalah yang dikatakan oleh al-Humaidi dan juga al-Baihaqi.

Al-Baihaqi telah membuat tajuk bab di dalam kitab al-Madkhal mengenai isu ini: “Kita tidak boleh menjadikan pengetahuan mengenai kejujuran perawi yang meriwayatkan kepada kita sebagai dalil ke atas kejujuran perawi yang berada di atasnya (dalam sanad).”

Ibn Rajab berkata: “Sesungguhnya periwayatan seorang yang thiqah daripada seorang perawi tidak menunjukkan tawthiq (penilaian thiqah) ke atasnya. Ini kerana ramai daripada kalangan perawi thiqah seperti Sufyan al-Thawri, Shu'bah dan selain mereka berdua telah meriwayatkan daripada perawi-perawi daif. Shu'bah pernah berkata: “Kalaulah aku tidak menyampaikan hadis kepada kalian melainkan melalui perawi thiqah sahaja, nescaya aku tidak akan menyampaikan hadis kepada kalian melainkan daripada sebilangan kecil perawi sahaja.” Yahya al-Qattan berkata: “Kalaulah aku tidak meriwayatkan hadis melainkan melalui orang yang aku suka, nescaya aku tidak akan meriwayatkan hadis melainkan melalui lima orang atau seumpamanya.”

Al-'Uqayli menyebutkan dengan sanadnya daripada al-Thawri, beliau berkata: “Aku meriwayatkan hadis atas tiga keadaan: Aku mendengar hadis daripada seorang perawi lalu aku menjadikannya sebagai agama (pegangan). Aku mendengar hadis daripada seorang perawi lalu aku menangguhkan (penerimaan) hadisnya. Aku mendengar hadis daripada seorang perawi yang mana aku tidak mempedulikan hadisnya, namun aku suka untuk mengetahuinya.”

Al-Saji berkata: “Shu'bah meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Sharqi bin al-Qutami daripada 'Umar bin al-Khattab dan Shu’bah berkata: "Keldai dan selendangku menjadi sedekah jika al-Sharqi tidak berdusta ke atas 'Umar."

Pandangan Kedua: Periwayatan Dikira Sebagai Ta'dil

Periwayatan seorang yang ‘adil daripada seseorang yang disebut namanya adalah satu bentuk ta'dil (penilaian ‘adil). Ini kerana jika dia mengetahui pada perawi tersebut ada sebarang kritikan, nescaya dia akan menyebutkannya, dan jika dia tidak menyebutkannya, maka dia telah menipu dalam urusan agama.

Inilah pendapat yang dipegang oleh ulama Hanafiah, dan daripada Ahmad terdapat dua pandangan, manakala di sisi mazhab al-Syafi'i terdapat perselisihan dalam perkara tersebut, dan sebahagian daripada mereka menghadkannya kepada tiga kurun (pertama Islam) sahaja.

Jawapan bagi hujah ini ialah: seorang perawi itu adakalanya tidak mengetahui keadaan perawi yang dia riwayatkan daripadanya dari sudut sifat ‘adil-nya dan kritikannya, dan dia hanya berpegang pada kaedah yang terkenal: "Sesiapa yang menyandarkan (hadis dengan sanad) maka dia telah menyerahkan (urusan penilaiannya kepada orang lain)."

Contoh yang paling jelas bagi perkara ini ialah apa yang dilakukan oleh Abu Nu'aim di dalam kitabnya, al-Hilyah. Beliau adalah daripada kalangan ulama yang thiqah lagi dabit (cermat), dan beliau seorang yang banyak hadisnya dan luas periwayatannya. Akan tetapi, beliau telah meriwayatkan banyak hadis-hadis daif bahkan palsu dengan kesepakatan ulama hadis di dalam kitabnya atas dasar bahawa beliau telah menyandarkannya (dengan sanad).”

Pandangan Ketiga: Ta'dil Hanya Berlaku Bagi Perawi yang Mensyaratkan Thiqah

Jika seorang perawi mensyaratkan ke atas dirinya bahawa dia tidak akan meriwayatkan melainkan daripada perawi thiqah, maka periwayatannya adalah ta'dil (penilaian ‘adil) bagi perawi yang dia riwayatkan daripadanya, dan jika dia tidak mensyaratkan sedemikian, maka tidak dianggap ta'dil. Contohnya seperti Malik bin Anas.

Bishr bin 'Umar al-Zahrani berkata: “Aku bertanya kepada Malik bin Anas mengenai seorang perawi, lalu beliau berkata: “Adakah engkau melihatnya di dalam kitab-kitabku?” Aku menjawab: “Tidak.” Beliau berkata: “Kalaulah dia seorang thiqah, nescaya engkau akan melihatnya di dalam kitab-kitabku.”

Ibn Hani' berkata: “Malik tidak meriwayatkan daripada sesiapa pun melainkan dia seorang thiqah, dan setiap orang yang Malik meriwayatkan daripadanya maka dia adalah thiqah.”

Al-Maymuni berkata: “Aku mendengar Ahmad berkata lebih daripada sekali: “Malik adalah antara manusia yang paling mantap, dan engkau tidak perlu risau untuk bertanya mengenai seorang lelaki yang Malik meriwayatkan daripadanya, terutamanya jika dia seorang penduduk Madinah.”

Ahmad berkata: “Yahya bin Ma'in berkata kepadaku: “Kita tidak perlu bertanya mengenai para perawi Malik, kerana sesungguhnya setiap orang yang beliau meriwayatkan daripadanya adalah thiqah, melainkan seorang atau dua orang perawi.”

Para ulama berasa segan untuk mengkritik Dawud bin al-Husain al-Madani disebabkan periwayatan Malik daripadanya. Maka Ibn Ma'in, Ibn Sa'd, al-'Ijli, Ibn Ishaq, Ahmad bin Salih al-Misri, dan al-Nasa'i telah menilainya sebagai thiqah. Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari telah meriwayatkan daripadanya di dalam Sahihnya.

Abu Hatim berkata: “Dia tidak kuat, kalaulah bukan kerana riwayat Malik daripadanya, nescaya hadisnya akan ditinggalkan.”

Al-Juzajani berkata: “Ahli hadis tidak memuji hadisnya.”

Al-Saji berkata: “Munkar al-hadith (hadisnya ditolak), dituduh dengan pandangan Khawarij.”

Al-Zahabi mempunyai pandangan yang bernas dalam hal ini, beliau berkata: “Tidak semestinya daripada apa yang beliau (Imam Malik) katakan bahawa setiap orang yang beliau meriwayatkan daripadanya - dan perawi itu thiqah di sisinya - akan menjadi thiqah di sisi kita. Ini kerana mungkin telah tersembunyi kepadanya keadaan gurunya itu yang mana ia jelas bagi orang lain. Akan tetapi, dalam apa jua keadaan, beliau adalah seorang yang sangat teliti dalam menilai para perawi.”

Malik telah meriwayatkan daripada 'Asim bin 'Ubaidullah, 'Umar bin Abi 'Umar, Sharik bin 'Abdillah bin Abi Namr, dan 'Abd al-Karim bin Abi al-Makhariq. Kesemua mereka adalah daif. Begitu juga al-Bukhari telah mengkritik 'Ata' al-Khurasani (guru Malik) kerana buruk hafalannya.

Maka kata-kata Ibn Ma'in bahawa ia adalah pada kebiasaannya sahaja, dan dipegang pandangan al-Zahabi bahawa keadaan guru-guru Malik telah tersembunyi kepadanya dan jelas bagi orang lain.

Al-Qadi Isma'il al-Maliki (meninggal dunia pada tahun 282 H) mempunyai penjelasan yang lain, iaitu: Penilaian Malik mengenai guru-gurunya diterima pakai bagi mereka yang berasal dari Madinah. Adapun orang-orang luar, maka tidak, seperti 'Abd al-Karim bin Abi al-Makhariq dan selainnya. Ini kerana mereka adalah daripada kalangan orang luar.

Imam-Imam yang Mensyaratkan Periwayatan Daripada Perawi Thiqah Sahaja

Imam-imam yang mensyaratkan untuk tidak meriwayatkan hadis melainkan daripada para perawi thiqah ialah: Ahmad bin Hanbal, Baqi bin Makhlad, Hariz bin 'Uthman, Sulaiman bin Harb, Shu'bah, al-Sha'bi, 'Abd al-Rahman bin Mahdi, Yahya bin Sa'id al-Qattan, Sa'id bin al-Musayyab, Ibrahim al-Nakha'i, Yahya bin Ma'in, Yahya bin Abi Kathir, Sufyan bin 'Uyainah, al-Syafi'i, Ibn Abi Zi'b, al-Nasa'i, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr, Muhammad bin Juhadah al-Awdi, Abu al-Huzail, 'Ali bin al-Madini, Abu Zur'ah, Abu Bakr bin Muhammad bin Ishaq al-Saghani dan selain mereka.

Akan tetapi, hukum ini bukanlah mutlak, bahkan ia hanya berlaku pada kebanyakan riwayat-riwayat mereka. Ini kerana tiada seorang pun daripada mereka melainkan turut juga mempunyai guru-guru yang daif.

Al-Hakim telah membuat satu bab di dalam al-Madkhal fi Usul al-Hadith dengan tajuk: “Periwayatan Sebahagian Imam daripada Sebahagian Perawi yang Dikritik daripada Kalangan Ahli Hadis”, dan beliau menyebutkan di dalamnya: Malik, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan al-Shaibani, dan selain mereka, dan beliau menyebutkan contoh-contoh bagi setiap seorang daripada mereka.

Isu Berkaitan Ta'dil Mubham (Penilaian 'Adil kepada Perawi yang Samar)

Ibn al-Salah berkata: “Al-Khatib al-Hafiz menyebutkan bahawa seorang alim jika dia berkata: “Setiap orang yang aku riwayatkan daripadanya maka dia adalah thiqah walaupun aku tidak menyebut namanya”, kemudian dia meriwayatkan daripada seseorang yang tidak disebut namanya, maka orang alim itu menjadi salah seorang yang memberi penilaian ‘adil bagi perawi itu, akan tetapi penilaian ‘adil-nya ini tidak diterima.”

Begitu juga sesiapa yang berkata: “Seorang yang thiqah (dipercayai) telah menceritakan kepadaku”, tanpa menyebut namanya, maka pendapat yang sahih ialah ia tidak dihiraukan, sepertimana yang disebutkan oleh al-Khatib dan al-Sayrafi al-Faqih dan selain mereka berdua, berbeza dengan pendapat sesiapa yang menganggapnya sudah mencukupi. 

Sumber: 

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi - Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan