Ahad, 16 Jun 2019

Istilah Ilmu Hadis 39: Thiqah (الثِّقَةٌ)

Thiqah ialah seorang perawi yang ‘adil lagi dhabit.

Faedah Mengetahuinya:

Mengetahui perawi thiqah merupakan satu ilmu yang penting dan di antara ilmu hadis yang paling agung kerana melaluinya sesebuah hadis yang sahih dapat dibezakan daripada yang daif.

Maka, mengetahui keadaan para perawi dari sudut ketepatan hafalan (dhabt) dan integriti ('adalah) mereka adalah asas dalam memastikan kesahihan hadis-hadis yang disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, yang mana ia tidak sampai kepada kita melainkan melalui mereka.

Syarat-syarat terpenting yang perlu ada pada seorang perawi:

Antara syarat terpenting bagi seorang perawi ialah dia mestilah seorang yang 'adil lagi dhabit.

1 - Al-'Adalah (Integriti):

Satu sifat yang memastikan agar seorang perawi itu dapat dipercayai dalam urusan agamanya.

Untuk merealisasikan sifat 'adalah ini, seorang perawi itu mestilah seorang:

i) Muslim.

ii) Baligh.

iii) Berakal.

iv) Selamat daripada sebab-sebab yang menyebabkan dia jadi fasik.

v) Selamat daripada perkara-perkara yang mencemarkan maruahnya (khawarim al-muru'ah).

Al-Muru'ah (maruah) ialah adab-adab di jiwa yang mendorong pemiliknya untuk menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji dan meninggalkan sifat-sifat tercela.

Justeru, tidak diterima riwayat seorang kafir, kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila, orang fasik, dan sesiapa yang melakukan perbuatan hina yang mencemarkan maruahnya, seperti kencing di jalanan awam dan seumpamanya.

2 - Al-Dhabt (Ketepatan):

Iaitu seorang perawi itu dapat dipercayai pada periwayatannya, seorang yang menghafal lagi teliti (mutqin) terhadap hadis yang diriwayatkannya jika dia meriwayatkannya daripada hafalannya.

Dia hendaklah seorang yang alim tentang makna-makna dan pengertian lafaz hadis jika dia ingin meriwayatkan secara makna, sehingga dia mampu menyampaikannya secara lafaznya atau maknanya pada bila-bila masa yang dia kehendaki dan ini dinamakan dhabt sadr (ketepatan hafalan).

Adapun jika dia meriwayatkan daripada kitabnya, maka dia mestilah menjaga kitabnya daripada sebarang tangan yang melakukan pengubahan (tahrif) atau kesalahan tulisan (tashif), dan dia mampu menunjukkannya pada bila-bila masa yang dikehendaki, dan ini dinamakan dhabt kitab (ketepatan tulisan/kitab).

Bagaimanakah Sifat 'Adalah Diketahui?

1 - Ia dinyatakan oleh salah seorang ulama al-Jarh wa al-Ta'dil.

2 - Tersebar luas dan sudah masyhur.

Maka sesiapa yang  sifat 'adalahnya sudah masyhur di kalangan ahli ilmu dan tersebar pujian terhadapnya, maka dia ialah seorang yang berintegriti, seperti Imam Mazhab yang Empat dan Sufyanain (Sufyan al-Thawri dan Sufyan ibn Uyaynah).

Bagaimanakah Dhabt Seseorang Perawi Diketahui?

Dhabt seorang perawi dapat diketahui sekiranya riwayatnya selari dengan para perawi thiqah dan teliti yang lain. Ini adalah berdasarkan kebiasaan perawi tersebut. Percanggahan yang jarang berlaku tidak memudaratkannya, kerana ia termasuk dalam kategori kesalahan yang jarang-jarang berlaku.

Adapun percanggahan yang banyak dan kerap berlaku, maka ia termasuk dalam kategori nakarah (kesalahan teruk), atau taghfil (kelalaian), atau fuhsy al-ghalat (kesalahan yang keterlaluan), dan kesemuanya ini mencacatkan sifat dhabt perawi tersebut.

Apabila sifat 'adalah dan dhabt terdapat pada seorang perawi, dia akan disifatkan sebagai thiqah. Maka lafaz thiqah sudah mencukupi dan tidak perlu lagi kita berkata: "'Adil lagi dhabit."

Sumber:

Bulugh al-Amal Min Mustholah al-Hadith Wa al-Rijal oleh Prof Dr Muhammad Mahmud Ahmad Bakkar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan