Isnin, 23 November 2026

Hadis Hasan Li Zatihi

Dari Segi Bahasa:

Merupakan sifat musyabbahah yang terbit daripada perkataan al-husn, yang bermaksud keelokan atau keindahan.

Dari Segi Istilah:

Para ulama hadis berselisih pendapat secara ketara ketika mendefinisikan hadis hasan. Pandangan mereka mengenainya amat banyak memandangkan kedudukannya berada di pertengahan antara hadis sahih dan daif.

Definisi yang dipilih di sini adalah definisi yang disebutkan oleh Dr. Nuruddin ‘Itr di dalam kitabnya, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith, dengan sedikit olahan dan penambahan:

Beliau menyatakan:

Kategori hadis ini mempunyai kepentingan yang khusus disebabkan oleh perselisihan yang berlaku dalam kalangan ulama mengenainya dan disebabkan adanya ketelitian yang tinggi untuk menjatuhkan hukum hasan ke atas sesuatu hadis.

Apa yang jelas melalui penelitian adalah bahawa perselisihan para ahli hadis pada dasarnya berpunca daripada perbezaan maksud yang mereka kehendaki mengenai hadis hasan itu sendiri. Sebahagian daripada mereka memaksudkan hasan li zatihi dan sebahagian yang lain memaksudkan hasan li ghairihi.

Adapun hadis yang kita sedang pelajari di sini adalah hasan li zatihi. Kami memilih ungkapan ini ketika mendefinisikannya, lalu kami katakan:

Hadis hasan ialah hadis yang bersambung sanadnya melalui riwayat seorang yang ‘adil, yang kurang sedikit tahap ingatannya (dabit), serta tidak syaz dan tidak mempunyai ‘illah (kecacatan).

Melalui perbandingan antara definisi ini dengan definisi hadis sahih, kita akan mendapati terdapat persamaan yang besar antara kedua-duanya, yang mana kedua-duanya adalah selari pada semua syarat selain daripada syarat yang berkaitan dengan tahap ingatan (dabt). Perawi hadis sahih mempunyai tahap ingatan yang sempurna (tamm al-dabt) serta tergolong dalam kalangan orang yang mempunyai hafazan dan ketepatan (al-hifz wa al-itqan), manakala perawi hadis hasan pula tahap ingatannya adalah kurang sedikit.

Tahap ingatan yang kurang sedikit itu bertepatan dan diperjelaskan lagi oleh kata-kata Ibn al-Salah: "Iaitu dia (perawi hadis hasan) tergolong dalam kalangan orang yang terkenal dengan kejujuran dan amanah, cuma dia belum mencapai darjat para perawi hadis sahih, kerana kedudukannya berada di bawah mereka dari sudut hafazan dan ketepatan (itqan). Namun begitu, kedudukannya masih mengatasi keadaan orang yang mana riwayat bersendirian daripadanya dianggap sebagai hadis mungkar."

Maksud hadis hasan inilah yang dikehendaki oleh Imam Ahmad al-Khattabi ketika beliau menyatakan di dalam kitab Ma‘alim al-Sunan:

"Hadis hasan ialah hadis yang diketahui sumber asalnya (makhraj) dan masyhur para perawinya, serta kebanyakan hadis berlegar padanya. Ia merupakan hadis yang diterima oleh kebanyakan ulama serta diguna pakai oleh umumnya para fuqaha."

Akan tetapi, para ulama telah mengkritik definisi ini dengan alasan bahawa ia tidak mencapai matlamat yang dikehendaki daripadanya, iaitu membezakan hadis hasan daripada hadis yang menyerupainya, iaitu hadis sahih.

Ibn Kathir berkata: "Sekiranya yang menjadi takrifan itu adalah ucapan beliau (al-Khattabi): “Hadis yang diketahui sumbernya dan masyhur para perawinya”, maka hadis sahih juga adalah sedemikian, bahkan hadis daif juga begitu.

Sekiranya baki ucapan tersebut merupakan pelengkap kepada definisi itu, maka apa yang beliau sebutkan itu juga tidak dapat diterima bulat-bulat. Maksudnya, tidak dapat diterima dakwaan beliau bahawa kebanyakan hadis adalah hadis hasan. Tidak diterima juga bahawa ia merupakan hadis yang diterima oleh kebanyakan ulama serta digunakan oleh umumnya para fuqaha.”

Namun begitu, definisi yang dipilih Syeikh Nuruddin ‘Itr itu hadir dalam bentuk yang ringkas dan tepat kerana beliau telah membezakan hadis hasan daripada hadis daif melalui syarat-syarat yang terkandung di dalamnya. Kemudian beliau membezakan hadis hasan daripada hadis sahih dengan menetapkan bahawa perawinya kurang tahap ingatannya. Maka definisi tersebut menepati hakikat perkara yang ingin didefinisikan, serta membezakannya daripada perkara yang lain secara menyeluruh.

Contoh Hadis Hasan:

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, beliau berkata: Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa‘id, daripada Bahz bin Hakim: Telah menceritakan kepadaku ayahku, daripada datukku, beliau berkata: Aku bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ! مَنْ أَبَرُّ؟ قَالَ: أُمَّكَ. قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ أُمَّكَ. قَالَ: قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: أُمَّكَ، ثُمَّ أَبَاكَ، ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ

"Wahai Rasulullah! Siapakah yang paling berhak untuk aku berbuat baik?

Baginda bersabda: Ibumu.

Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?

Baginda bersabda: Kemudian ibumu.

Aku bertanya lagi: Kemudian siapa?

Baginda bersabda: Ibumu, kemudian bapamu, kemudian yang paling dekat (kerabat) dan seterusnya yang terdekat."

Hadis ini sanadnya bersambung, tiada syaz dan tiada kecacatan yang menjejaskan (‘illah qadihah) padanya, yang mana tidak berlaku sebarang perselisihan antara para perawi pada rangkaian sanad ini mahupun pada matannya.

Imam Ahmad dan guru beliau, Yahya bin Sa‘id al-Qattan merupakan dua orang imam yang agung.

Manakala Bahz bin Hakim pula tergolong dalam kalangan orang yang jujur dan terpelihara (keperibadiannya), sehinggakan ‘Ali bin al-Madini, Yahya bin Ma‘in, al-Nasa’i dan selain mereka memperakuinya sebagai perawi yang thiqah (dipercayai). Akan tetapi, para ulama mempersoalkan sebahagian riwayatnya sehinggakan Syu‘bah bin al-Hajjaj mengkritiknya disebabkan hal tersebut. Kritikan ini tidaklah menggugurkan sifat ketepatan hafazan (dabit) daripadanya, namun ia memberi isyarat bahawa tahap hafazannya adalah kurang sedikit.

Bapanya, Hakim pula dinilai thiqah oleh al-‘Ijli dan Ibn Hibban, manakala al-Nasa’i berkata: "Dia tidak mempunyai sebarang masalah."

Maka hadis Bahz ini bertaraf hasan li zatihi sebagaimana yang dihukumkan oleh para ulama, bahkan ia berada pada tingkatan hadis hasan yang tertinggi.

Berdasarkan penjelasan ini, terbukti bahawa terdapat banyak persamaan antara hadis hasan dan hadis sahih, sehinggakan sekumpulan ahli hadis seperti al-Hakim al-Naisaburi, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah yang merupakan kalangan ulama terdahulu (mutaqaddimin) memasukkan hadis hasan ke dalam kategori hadis sahih dan tidak menjadikannya sebagai satu kategori yang berasingan. Perkara inilah yang jelas kelihatan daripada kenyataan al-Hakim Abu ‘Abdullah al-Naisaburi dalam praktikal beliau.

Walau bagaimanapun, praktikal dalam kalangan ahli hadis terkemudian (muta’akhkhirin) telah muktamad untuk menganggap hadis hasan sebagai satu kategori yang tersendiri. Hal ini kerana hadis yang boleh dijadikan hujah itu sama ada berada pada darjat penerimaan (qabul) yang tertinggi iaitu hadis sahih, ataupun pada darjat penerimaan yang terendah iaitu hadis hasan.

Hukum Hadis Hasan:

Hadis hasan diterima di sisi seluruh fuqaha untuk dijadikan hujah dan diamalkan. Dasar ini dipegang oleh sebahagian besar ahli hadis serta ahli usul fikih. Hal ini demikian kerana telah diketahui kejujuran perawinya dan selamatnya pemindahan hadis tersebut melalui sanadnya.

Kekurangan tahap ingatan (khiffah al-dabt), sebagaimana yang telah anda ketahui, tidaklah mengeluarkan perawi tersebut daripada kelayakan untuk menyampaikan periwayatan hadis sebagaimana yang telah dia didengari. Hal ini kerana kekurangan tahap ingatan yang dimaksudkan tersebut adalah kedudukannya berada satu darjat lebih rendah daripada hadis sahih, tanpa ada kecelaruan (ikhtilal) pada ketepatan ingatan perawi berkenaan.

Mana-mana hadis yang keadaannya sedemikian, sesungguhnya jiwa cenderung untuk menerimanya, hati tidak menolaknya dan terdapat sangkaan yang baik terhadap terselamatnnya hadis tersebut (daripada sebarang kecacatan), maka ia menjadi hadis yang diterima (maqbul).

Tingkatan Hadis Hasan:

Tingkatan hadis hasan berbeza-beza sebagaimana berbezanya tingkatan hadis sahih. Perbezaan itu adalah berdasarkan sejauh mana dekatnya perawi hadis hasan li zatihi itu dengan kriteria hadis sahih dari sudut ketepatan ingatannya (dabit). Para ulama telah menyebutkan di sini beberapa contoh bagi perbezaan tingkatan hadis hasan li zatihi:

Al-Zahabi menyebutkan bahawa tingkatan yang paling tinggi ialah:

1 - Riwayat Bahz bin Hakim, daripada ayahnya, daripada datuknya.

2 - Riwayat ‘Amr bin Syu‘aib, daripada ayahnya, daripada datuknya.

Serta contoh-contoh lain seumpamanya yang mana pernah dikatakan bahawa ia adalah hadis sahih, sedangkan ia sebenarnya berada pada tingkatan hadis sahih yang paling rendah.

Kemudian selepas itu, hadis-hadis yang diperselisihkan tentang penetapan hukumnya sama ada hasan ataupun daif, seperti hadis al-Harith bin ‘Abdillah dan ‘Asim bin Damrah.

Demikianlah keadaan hadis hasan yang berada di pertengahan antara darjat sahih dan daif. Kadang-kadang ia lebih dekat kepada darjat sahih dan pada masa yang lain pula ia lebih dekat kepada darjat daif. Keadaan seperti ini sentiasa menjadi medan ijtihad dan penelitian para ulama, serta ruang yang mencetuskan sikap berhati-hati mereka, sehinggakan sukar bagi sebahagian daripada mereka untuk mengutarakan takrifan bagi hadis hasan dan menetapkan kayu ukurnya secara tepat. Hal ini kerana ia merupakan suatu perkara yang bersifat nisbi (relatif) dan sesuatu yang terbit di dalam jiwa seorang pakar hadis (al-hafiz), yang mana mungkin ungkapan katanya tidak mampu untuk memberikan justifikasinya secara terperinci.

Sejarah Istilah Hasan:

Ramai dalam kalangan ulama terkemudian menyandarkan penggunaan istilah hadis hasan dengan maksud: Hadis yang berada di bawah darjat hadis sahih yang tidak sampai ke tahap tertolak, kepada al-Imam al-Tirmizi, pengarang kitab al-Jami‘.

Benar, pembahagian hadis maqbul (yang diterima) kepada hadis sahih dan hadis hasan sememangnya tidak masyhur sebelum era Imam al-Tirmizi. Sebahagian daripada imam hadis yang terdahulu sebelum beliau memandang bahawa hadis hasan merupakan suatu peringkat daripada peringkat hadis daif, namun apa yang mereka maksudkan bukanlah hadis daif yang tertolak. Maka apabila al-Tirmizi muncul, beliau menzahirkan istilah tersebut dengan menjadikan hadis hasan sebagai salah satu daripada dua kategori hadis yang diterima.

Kajian yang mendalam mendapati bahawa sesungguhnya penggunaan beliau untuk istilah ini telah pun didahului mengikut maksud hadis hasan yang beliau kehendaki. Beberapa orang imam hadis telah mendahului beliau dalam perkara tersebut, cuma pada waktu itu ia belum dirumuskan melalui definisi yang khusus. Keistimewaan al-Tirmizi adalah kerana beliau merupakan orang pertama yang membentuk kaedah dan merumuskan definisinya.

Antara imam hadis yang telah menggunakan istilah hasan sebelum beliau atau yang hidup sezaman dengannya ialah:

(1) Imam Malik bin Anas:

Beliau merupakan tokoh paling awal yang diketahui pernah menyebut istilah hadis hasan berdasarkan riwayat yang dikeluarkan oleh al-Hafiz Ibn Abi Hatim al-Razi dalam mukadimah kitab al-Jarh wa al-Ta‘dil, beliau berkata:

“Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin ‘Abd al-Rahman anak saudara lelaki kepada Ibn Wahb, katanya: Aku mendengar bapa saudaraku (iaitu ‘Abdullah bin Wahb) berkata:

“Aku mendengar Malik ditanya tentang perbuatan menyelami (meratakan air) pada celah-celah jari kedua-dua belah kaki ketika berwuduk?”

Lalu beliau menjawab: "Perbuatan itu tidak diwajibkan ke atas orang ramai."

Ibn Wahb berkata: “Lalu aku biar sehinggalah orang ramai beredar, kemudian aku berkata kepada beliau: Di sisi kami ada sunnah berkenaan hal tersebut."

Beliau bertanya: "Apakah ia?"

Aku berkata: “Telah menceritakan kepada kami al-Laith bin Sa‘ad, Ibn Lahi‘ah, dan ‘Amr bin al-Harith, daripada Yazid bin ‘Amr al-Ma‘afiri, daripada Abu ‘Abd al-Rahman al-Hubuli, daripada al-Mustawrid bin Syaddad al-Qurasyi, beliau berkata:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْلُكُ بِخِنْصَرِهِ مَا بَيْنَ أَصَابِعِ رِجْلَيْهِ

"Aku melihat Rasulullah SAW menggosok celah-celah jari kedua-dua belah kakinya dengan menggunakan jari kelengkeng baginda."

Lalu Malik berkata: "Sesungguhnya hadis ini adalah hasan. Aku tidak pernah mendengarnya langsung melainkan pada saat ini."

Ibn Wahb berkata: “Kemudian aku mendengar beliau selepas itu apabila ditanya (tentang hal yang sama), beliau memerintahkan supaya menyelami celah-celah jari kaki.”

Hadis ini sekiranya anda menelitinya, anda akan mendapati bahawa ia sememangnya bertaraf hasan menurut makna istilah, sekalipun istilah tersebut belum lagi dikenali secara rasmi pada waktu itu.

(2) Al-Imam ‘Ali bin al-Madini:

Antara riwayat yang datang daripada beliau berkenaan perkara tersebut adalah mengenai hadis ‘Ammar bin Yasir, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ ذَا وَجْهَيْنِ فِي الدُّنْيَا جَعَلَ اللهُ لَهُ لِسَانَيْنِ مِنْ نَارٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

"Sesiapa yang memiliki ‘dua wajah’ di dunia, maka Allah akan menjadikan untuknya dua lidah daripada api neraka pada hari kiamat."

Ibn al-Madini berkata: "Sanadnya adalah hasan dan kami tidak menghafalnya (mengetahuinya) daripada ‘Ammar daripada Nabi SAW melainkan melalui jalur ini."

(3) Imam Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari, pengarang kitab al-Sahih:

Al-Tirmizi telah menukilkan penilaian hasan daripada beliau terhadap beberapa buah hadis, iaitu di dalam dua buah kitabnya, al-Jami‘ dan al-‘Ilal al-Kabir. Kesemua hadis tersebut bertepatan dengan takrifan hadis hasan sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini dan al-Bukhari memaksudkan dengan istilah tersebut adalah sebagai suatu darjat kesahihan hadis.

Antaranya ialah: Hadis ‘Uthman berkenaan menyela janggut ketika berwuduk, hadis Ibn ‘Abbas berkenaan menyelati jari-jemari dan hadis ‘Aisyah mengenai:

وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ

"Celakalah bagi tumit-tumit (yang tidak dibasahi sempurna ketika berwuduk) daripada seksaan api neraka", dalam bab wuduk juga, dan riwayat lain-lain lagi selainnya.

(4) Abu Hatim al-Razi:

Antara penilaian beliau terhadap hadis yang tertentu adalah kenyataan beliau pada biografi ‘Amr bin Muhammad, iaitu seorang perawi daripada Sa‘id bin Jubair: "Dia seorang yang majhul (tidak dikenali), manakala hadis yang diriwayatkannya daripada Sa‘id bin Jubair adalah hasan."

Ibn Abi Hatim berkata: “Aku telah bertanya kepada ayahku mengenai sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Syu‘bah dan al-Laith daripada ‘Abd Rabbih bin Sa‘id, dan kedua-duanya (Syu‘bah dan al-Laith) berselisih:

Al-Laith berkata: “(‘Abd Rabbih bin Sa‘id) daripada ‘Imran bin Abi Anas.”

Manakala Syu‘bah berkata: “(‘Abd Rabbih bin Sa‘id) daripada Anas bin Abi Anas.”

Kedua-duanya (Syu‘bah dan al-Laith) turut berselisih:

Al-Laith berkata: “(Anas bin Abi Anas) daripada Rabi‘ah bin al-Harith.”

Manakala Syu‘bah berkata: “(Anas bin Abi Anas) daripada al-Muttalib.”

Daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

الصَّلَاةُ مَثْنَى مَثْنَى، تَخَشُّعٌ، وَتَضَرُّعٌ، وَتَمَسْكُنٌ، وَتُقْنِعُ بِيَدَيْكَ - يَقُولُ: يَرْفَعُهُمَا - وَتَقُولُ: يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، فَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَهِيَ خِدَاجٌ

"Solat itu dua rakaat dua rakaat, (disertai pula dengan) khusyuk, ketundukan, kerendahan hati dan engkau menadahkan kedua-dua belah tanganmu – beliau (perawi) berkata: iaitu mengangkat kedua-duanya – seraya berkata: “Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!” Maka sesiapa yang tidak melakukan sedemikian, solatnya itu berkurangan (tidak sempurna)."

Ayahku berkata: "Apa yang dikatakan oleh al-Laith adalah lebih tepat. Hal ini kerana al-Laith turut disokong oleh ‘Amr bin al-Harith dan Ibn Lahi‘ah. ‘Amr dan al-Laith kedua-duanya menulis riwayat, manakala Syu‘bah bergantung kepada hafazan."

Aku bertanya kepada ayahku: "Adakah sanad ini sahih di sisimu?"

Beliau menjawab: "Hasan."

Aku bertanya kepada ayahku: "Siapakah Rabi‘ah bin al-Harith?"

Beliau menjawab: "Dia ialah Rabi‘ah bin al-Harith bin ‘Abd al-Muttalib."

Aku bertanya: "Adakah beliau mendengar hadis daripada al-Fadl?"

Beliau menjawab: "Beliau sempat bertemu dengannya."

Aku bertanya: "Bolehkah hadis Rabi‘ah bin al-Harith dijadikan hujah?"

Beliau menjawab: "Hasan."

Maka aku mengulangi pertanyaan tersebut kepadanya berulang kali, namun beliau tidak menambah selain jawapannya: "Hasan", kemudian beliau berkata: "Yang menjadi hujah ialah Sufyan dan Syu‘bah."

Aku bertanya: "Bagaimana pula dengan ‘Abd Rabbih bin Sa‘id?"

Beliau menjawab: "Tidak mengapa dengannya."

Aku bertanya: "Bolehkah hadisnya dijadikan hujah?"

Beliau menjawab: "Dia seorang yang hasan hadisnya."

Hukum yang dikeluarkan oleh Abu Hatim ke atas seseorang perawi dengan menyifatkannya sebagai "hasan hadisnya" (hasan al-hadith) adalah sangat banyak di dalam kitab al-Jarh wa al-Ta‘dil.

Pendapat yang paling tepat adalah bahawa istilah yang diguna pakai oleh al-Tirmizi yang meletakkan hadis hasan sebagai bahagian yang setaraf dengan hadis sahih dalam kumpulan hadis yang diterima (maqbul), merupakan pandangan yang diambil daripada gurunya, al-Bukhari dan al-Bukhari pula mengambilnya daripada gurunya, ‘Ali bin al-Madini.

Tidak dietahui seorang pun daripada kalangan imam dalam bidang hadis ini yang mencela al-Tirmizi ketika beliau menzahirkan istilah ini, bahkan ulama yang datang selepas itu telah bersepakat mengikut jejak langkah al-Tirmizi untuk menggunaakannya.

Kesimpulan:

Sesungguhnya penggunaan istilah "hadis hasan" sudah lama wujud dalam kalangan ahli ilmu hadis. Ia terdapat dalam ucapan para ulama terdahulu (mutaqaddimun), yang mana mereka memaksudkan dengan istilah tersebut adalah sebagai suatu martabat daripada martabat-martabat penerimaan (qabul) dan penghujahan hadis. Hanyasanya keistimewaan al-Tirmizi dalam hal ini adalah peranan beliau dalam menzahirkan dan merumuskan definisinya.

Dua Peringatan:

Pertama:

Pernah berlaku penggunaan lafaz "hadis hasan" dalam ucapan sebahagian ulama terdahulu dengan maksud hadis yang gharib. Perkara ini sedikit pun tidak termasuk dalam maksud hasan secara istilah. Terdapat petunjuk (qarinah) yang memalingkan maksud hadis hasan tersebut daripada makna secara istilah yang telah disebutkan sebelum ini.

Antaranya ialah perkataan Waki‘ bin al-Jarrah: "‘Abd al-Salam bin Harb meriwayatkan setiap hadis hasan."

Waki‘ merujuk kepada periwayatan Abd al-Salam secara bersendirian (afrad) serta periwayatannya terhadap hadis-hadis yang gharib dan ini bukanlah bermaksud 'hasan' secara istilah.

Antara contoh hal ini juga ialah riwayat yang disampaikan oleh Umayyah bin Khalid, katanya:

Aku berkata kepada Syu‘bah: "Mengapakah engkau tidak meriwayatkan hadis daripada ‘Abd al-Malik bin Abi Sulaiman?"

Beliau menjawab: "Aku telah meninggalkan hadisnya."

Aku bertanya lagi: "Engkau meriwayatkan hadis daripada si polan, tetapi engkau meninggalkan ‘Abd al-Malik bin Abi Sulaiman?"

Beliau menjawab: "Aku telah meninggalkannya."

Aku berkata: "Sesungguhnya hadisnya adalah hasan."

Beliau membalas: "Disebabkan 'keelokan' (keganjilan riwayat-riwayatnya) itulah aku lari."

Kedua:

Terdapat penggunaan sifat "hadis hasan" dalam ucapan sebahagian ulama, yang mana maksud mereka adalah keindahan susunan gaya bahasa (husn al-siyaqah) bukannya untuk mensabitkan sesuatu riwayat. Perkara ini sedikit serta jarang berlaku.

Antaranya ialah kata-kata al-Hafiz Abu ‘Umar bin ‘Abd al-Barr dalam Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadlih, selepas beliau membawakan sebuah hadis – yang mana di sisi ahli ilmu hadis ia berstatus palsu (mawdu‘)– daripada riwayat Mu‘az bin Jabal RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ، فَإِنَّ تَعْلِيمَهُ لِلَّهِ خَشْيَةٌ، وَطَلَبَهُ عِبَادَةٌ، وَمُذَاكَرَتَهُ تَسْبِيحٌ

"Pelajarilah ilmu, kerana sesungguhnya mengajarkannya kerana Allah adalah tanda takut (kepada-Nya), menuntutnya adalah ibadah, dan mengulang kajinya adalah tasbih..." dalam lafaz yang panjang.

Lalu Ibn ‘Abd al-Barr berkata: "Ia merupakan hadis yang sangat hasan (indah susunannya), akan tetapi ia tidak mempunyai sanad yang kuat."

Perkara seperti ini terkadang menimbulkan kekeliruan dan kesamaran dengan maksud hasan secara istilah, oleh itu hendaklah berhati-hati.

Sumber-Sumber Hadis Hasan:

Para ulama tidak mengkhususkan penulisan kitab secara tersendiri bagi hadis hasan, bahkan mereka turut menghimpunkan hadis sahih bersamanya, serta menyertakan hadis daif. Meskipun begitu, mereka tidaklah memasukkan hadis yang terlalu daif (talif) ke dalam karya-karya penulisan ini melainkan sedikit dan amat jarang sekali.

Antara sumber terpenting bagi hadis hasan ialah: al-Sunan al-Arba‘ah (empat kitab Sunan), kitab al-Musnad oleh al-Imam Ahmad dan Musnad Abi Ya‘la al-Mawsili.

1 – Jami‘ al-Tirmizi:

Karya al-Imam Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Sawrah al-Tirmizi (meninggal dunia pada tahun 279 H). Al-Tirmizi tergolong dalam kalangan murid khusus al-Bukhari. Para ulama telah memperakui beliau dari sudut keilmuan, kekuatan hafazan, pengetahuan yang luas, serta pegangan agama dan sifat warak.

Al-Hafiz Abu Sa‘id al-Idrisi berkata: "Beliau merupakan salah seorang imam yang dijadikan ikutan dalam ilmu hadis. Beliau telah mengarang kitab al-Jami‘, al-Tawarikh, dan al-‘Ilal dengan susunan seorang alim yang mantap (mutqin), yang mana beliau dijadikan contoh teladan dari segi kekuatan hafazan."

Kitab beliau, al-Jami‘, yang masyhur dengan nama Sunan al-Tirmizi, merupakan sumber hadis hasan yang paling penting. Beliau memberikan tumpuan yang mendalam terhadap hadis hasan di dalamnya serta mengangkat kedudukannya. Ibn al-Salah berkata: "Kitab Abu ‘Isa al-Tirmizi rahimahullah merupakan rujukan asas untuk mengenali hadis hasan. Beliau adalah tokoh yang mempopularkan namanya dan paling banyak menyebut mengenainya di dalam kitab Jami‘-nya."

Kitab ini turut mempunyai keistimewaan dengan banyaknya faedah ilmiah serta kepelbagaian kategorinya. Berkenaan perkara tersebut, Ibn Rusyaid berkata:

"Sesungguhnya kitab al-Tirmizi merangkumi hadis yang disusun mengikut bab dan itu merupakan satu cabang ilmu yang tersendiri, ilmu fikih yang merupakan ilmu kedua, ilmu kecacatan hadis (‘ilal al-hadith) yang mencakupi penjelasan hadis sahih daripada hadis yang daif (saqim) serta kedudukan martabat di antara kedua-duanya dan itu merupakan ilmu ketiga, ilmu nama-nama dan gelaran perawi (al-asma’ wa al-kuna), iaitu ilmu keempat, ilmu penilaian perawi (al-ta‘dil wa al-tajrih), iaitu ilmu kelima, ilmu tentang siapa yang sempat bertemu Nabi SAW dan siapa yang tidak sempat bertemu baginda daripada kalangan perawi yang beliau riwayatkan hadis daripadanya di dalam kitabnya, iaitu ilmu keenam dan menyenaraikan bilangan perawi yang meriwayatkan hadis tersebut, iaitu ilmu ketujuh.

Ini adalah cabang-cabang ilmu tersebut secara umum, adapun secara terperinci bilangannya amat banyak. Secara keseluruhannya, manfaatnya amat besar dan faedahnya amat melimpah-ruah."

2 – Al-Sunan (yang dikenali sebagai Sunan Abi Dawud):

Karya al-Imam Abu Dawud Sulaiman bin al-Asy‘ath al-Sijistani (meninggal dunia pada tahun 273 H). Abu Dawud juga tergolong dalam kalangan murid al-Bukhari. Beliau menimba ilmu daripadanya dan menelusuri jalan keilmuannya. Beliau menyerupai al-Imam Ahmad dari sudut akhlak, perwatakan dan budi pekertinya.

Muhammad bin Ishaq al-Saghani dan Ibrahim al-Harbi berkata: "Hadis telah dilembutkan (dimudahkan) bagi Abu Dawud sebagaimana besi telah dilembutkan bagi Nabi Daud."

Al-Hafiz Musa bin Harun berkata: "Abu Dawud diciptakan di dunia untuk hadis dan di akhirat untuk syurga. Aku tidak pernah melihat orang yang lebih utama daripadanya."

Al-Hakim Abu ‘Abdullah pula berkata: "Abu Dawud ialah imam ahli hadis pada zamannya tanpa sebarang pertikaian."

Kitab beliau, al-Sunan, telah disusun dan disaring daripada 500 ribu hadis. Beliau memberikan tumpuan yang amat besar terhadap hadis-hadis hukum serta mengumpulkannya di dalam kitab tersebut.

Beliau menyebutkan secara ringkas tentang manhajnya: "Mana-mana hadis di dalam kitabku yang mengandungi kelemahan yang ketara (wahn syadid), sesungguhnya telah aku jelaskan. Di dalamnya terdapat hadis yang tidak sahih sanadnya. Manakala hadis yang tidak aku sebutkan apa-apa padanya, maka ia adalah elok (salih), dan sebahagiannya lebih sahih daripada sebahagian yang lain

Maksudnya, beliau memuatkan hadis sahih dan hadis yang menghampirinya, iaitu hadis hasan. Beliau menjelaskan hadis yang mengandungi kelemahan yang teruk, manakala hadis yang tidak disebutkan apa-apa ulasan mengenainya, maka ia adalah elok untuk dijadikan hujah, iaitu berstatus sahih atau hasan di sisinya. Ada yang berpandangan: Bahkan ia elok untuk dijadikan hujah ataupun penguat (al-i‘tibar). Maka hadis yang didiamkan oleh Abu Dawud berlegar antara darjat sahih, hasan dan daif dengan kelemahan yang ringan yang boleh terangkat ke darjat hasan li ghairihi. Pandangan inilah yang lebih kuat (rajih) menerusi penelitian menyeluruh terhadap kitab tersebut.

3 – Al-Mujtaba (yang dikenali sebagai Sunan al-Nasa'i):

Karya al-Imam Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syu‘aib al-Nasa'i (meninggal dunia pada tahun 303 H).

Al-Daraqutni berkata: "Abu ‘Abd al-Rahman lebih diutamakan berbanding setiap orang yang disebut dalam bidang ilmu ini daripada kalangan mereka yang sezaman dengannya."

Al-Hafiz Ibn Yunus pula berkata: "Al-Nasa'i merupakan seorang imam, pakar hadis (hafiz), lagi teguh periwayatannya (thabt)."

Al-Nasa'i sememangnya masyhur dengan ketelitiannya yang tinggi dalam memeriksa hadis dan para perawi, dan syarat beliau dalam menentukan kebolehpercayaan perawi adalah ketat.

Beliau telah menyusun sebuah kitab yang amat besar dan sarat yang dikenali sebagai al-Sunan al-Kubra. Kitab al-Mujtaba yang masyhur dengan Sunan al-Nasa'i ini adalah pilihan yang disaring daripadanya. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya ialah al-Mujtana, dengan menggunakan huruf nun.

Kitab al-Mujtaba ini mengikut kaedah yang rapi dalam menghimpunkan antara fikih dan seni sanad. Beliau telah menyusun hadis-hadis mengikut bab, serta meletakkan baginya tajuk-tajuk bab yang adakalanya mencapai tahap ketelitian yang amat mendalam dan menghimpunkan sanad-sanad bagi sesebuah hadis di satu tempat yang sama. Dengan kaedah tersebut, beliau telah menempuh kaedah ahli hadis yang paling sukar dan paling agung.

4 – Sunan al-Mustafa (yang dikenali sebagai Sunan Ibn Majah):

Karya Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwini, seorang al-hafiz yang hebat dan seorang ahli tafsir (meninggal dunia pada tahun 273 H).

Al-Hafiz Abu Ya‘la al-Khalili berkata: "Ibn Majah seorang yang sangat thiqah (dipercayai), disepakati (ketinggian kedudukannya), dijadikan hujah, serta mempunyai pengetahuan yang luas dan hafazan (yang mantap)."

Ibn Majah berkata: "Aku telah membentangkan kitab Sunan ini kepada Abu Zur‘ah, lalu beliau menelitinya dan berkata: “Aku berpandangan sekiranya kitab ini sampai ke tangan orang ramai, kitab-kitab jawami‘ (himpunan hadis yang ada) ini atau sebahagian besarnya tidak lagi akan digunakan."

Kitab ini telah dianggap sebagai kitab Sunan yang keempat dan pelengkap kepada enam buah kitab (al-Kutub al-Sittah) yang merupakan rujukan asas bagi Sunnah Nabi.

Para ulama terdahulu mengira rujukan asas tersebut sebanyak lima buah kitab sahaja, tanpa memasukkan kitab Ibn Majah. Kemudian sebahagian daripada mereka menjadikan kitab al-Muwatta’ sebagai kitab yang keenam. Tatkala sebahagian pakar hadis mendapati bahawa kitab beliau merupakan sebuah kitab yang bermanfaat dan tinggi nilainya dalam bidang fikih, serta melihat banyaknya hadis tambahan (zawa’id) di dalamnya, mereka pun memasukkannya ke dalam kumpulan kitab-kitab asas tersebut dan meletakkannya pada tingkatan yang paling akhir. Hal ini kerana beliau telah bersendirian dalam meriwayatkan hadis-hadis daripada perawi-perawi yang dituduh berdusta dan dituduh mencuri hadis, iaitu riwayat-riwayat yang dihukumkan sebagai batil, gugur (saqit), ataupun mungkar.

Kita mengetahui bahawa gelaran al-Sahih yang diberikan kepada salah satu daripada empat kitab Sunan ini, ataupun ke atas kesemuanya sekali apabila dihimpunkan bersama dua kitab Sahih (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim), berpunca daripada sikap memudah-mudahkan (tasahul). Hal ini kerana hadis-hadis di dalam empat kitab Sunan tersebut bukanlah kesemuanya sahih. Benar, kebanyakannya adalah sahih atau hasan. Barangkali itulah sebab digelarkan al-Sihah (kitab-kitab sahih) kepadanya, atas dasar mengambil kira hadis yang majoriti.

5 – Al-Musnad:

Karya al-Imam yang dimuliakan, Ahmad bin Hanbal al-Syaibani (meninggal dunia pada tahun 241 H).

Al-Imam al-Syafi‘i berkata: "Aku telah keluar dari Baghdad dan tidaklah aku meninggalkan di sana seorang lelaki yang lebih utama, lebih berilmu, mahupun lebih faqih daripada Ahmad bin Hanbal."

Al-Imam Ibrahim al-Harbi berkata: "Aku melihat Ahmad seolah-olah Allah telah menghimpunkan untuknya ilmu orang-orang terdahulu dan orang-orang terkemudian."

Al-Imam Abu Zur‘ah pula berkata kepada ‘Abdullah bin Ahmad: "Ayahmu menghafal sejuta hadis."

Al-Imam Ahmad seorang yang sangat memelihara Sunnah dan amat kuat mencontohi para Salaf. Sikap tegas beliau yang hebat dalam menghadapi golongan Mu‘tazilah serta dakwaan mereka mengenai kemakhlukan al-Qur'an telah memberikan kesan yang amat besar terhadap keselamatan hala tuju pemikiran Islam. Cukuplah bagi kita berkenaan perkara ini ucapan al-Imam ‘Ali bin al-Madini: "Sesungguhnya Allah telah mengukuhkan agama ini melalui Abu Bakar al-Siddiq pada hari berlakunya kemurtadan dan melalui Ahmad bin Hanbal pada hari berlakunya ujian (al-Mihnah)."

Al-Imam Ahmad menyusun kitab ini untuk dijadikan sebagai rujukan dan panduan utama bagi kaum Muslimin. Beliau menyusunnya mengikut nama-nama para Sahabat yang meriwayatkan hadis-hadis tersebut sebagaimana kaedah penyusunan kitab-kitab musnad. Maka ia menjadi sebuah kitab yang sarat dan bersaiz besar, yang mana bilangan hadisnya mencecah hampir 30 ribu hadis. Di dalamnya terdapat hadis yang sahih, hasan dan daif, serta sebahagian kecil hadis yang tersangat lemah sehinggakan sebahagian ahli hadis menghukumkan sebahagiannya sebagai hadis palsu (mawdu‘).

Akan tetapi, al-Hafiz Ibn Hajar telah mengarang sebuah kitab yang dinamakan al-Qawl al-Musaddad fi al-Zabb ‘an al-Musnad. Di dalamnya beliau meneliti dan menafikan status palsu daripada hadis-hadis al-Musnad yang telah disebutkan tadi. Jelas menerusi kajian beliau bahawa sebahagian besarnya adalah hadis-hadis yang baik (jiyad) dan tidak mungkin untuk memutuskannya secara pasti sebagai hadis palsu, bahkan tidak boleh menghukumkan salah satu daripadanya sebagai palsu, melainkan riwayat yang sangat terpencil, itu pun ada kemungkinan yang kuat untuk menolak hukum palsu tersebut.

6 – Al-Musnad:

Karya Abu Ya‘la al-Mawsili, Ahmad bin ‘Ali bin al-Muthanna (meninggal dunia pada tahun 307 H).

Beliau telah keluar bermusafir untuk menuntut hadis sejak berusia lima belas tahun, dikurniakan umur yang panjang, mempunyai keistimewaan periwayatan secara bersendirian (tafarrud) dan orang ramai bermusafir untuk menemuinya. Para ulama telah memuji beliau serta menyifatkannya dengan kekuatan hafazan, ketelitian (itqan), dan keteguhan agama.

Al-Hakim al-Naisaburi berkata: "Aku melihat Abu ‘Ali al-Hafiz (iaitu guru al-Hakim) berasa kagum terhadap Abu Ya‘la, ketelitiannya dan hafazannya terhadap hadisnya, sehinggakan hampir tidak ada hadis yang tersembunyi daripadanya melainkan amat sedikit."

Al-Hakim berkata: "Beliau seorang yang thiqah (dipercayai) lagi amanah."

Kitab Musnad Abi Ya‘la ini merupakan al-Musnad al-Kabir (musnad besar) dan beliau turut mempunyai sebuah musnad lain yang kecil. Al-Musnad al-Kabir ini merupakan rujukan yang sangat besar lagi sarat, yang mana kedudukan hadis-hadisnya menghampiri kitab al-Musnad milik al-Imam Ahmad.

Al-Hafiz Muhammad bin al-Fadl al-Tamimi berkata mengenainya: "Aku telah membaca pelbagai kitab musnad seperti Musnad al-‘Adani dan Musnad Ibn Mani‘. Kitab-kitab tersebut ibarat sungai-sungai, manakala Musnad Abi Ya‘la pula ibarat lautan yang menjadi tempat berhimpunnya sungai-sungai.”

Inilah sumber-sumber terpenting bagi hadis hasan. Ia turut menghimpunkan hadis sahih serta hadis daif bersama-sama hadis hasan.

Sumber:

Mausu'ah 'Ulum al-Hadis Wa Fununihi oleh Dr Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan