Hadis
Pertama
عَنْ سَهْلَ بْنَ سَعْدٍ، عَنِ النَّبِيِّ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
وَأَنَا وَكَافِلُ اليَتِيمِ فِي الجَنَّةِ هَكَذَا. وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ وَالوُسْطَى. وَفَرَّجَ
بَيْنَهُمَا شَيْئًا.
Daripada
Sahl bin Sa’ad, daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, baginda
bersabda:
"Aku dan penjaga anak yatim dalam syurga seperti ini."
Baginda mengisyaratkan dengan jari
telunjuk dan jari tengah. Baginda merenggangkan sedikit antara keduanya.
Riwayat al-Bukhari (no.
5304 & 6005).
Pengajaran
Hadis:
1 - Maksud
anak yatim ialah anak kecil yang belum baligh yang kematian bapanya atau ibu
dan bapanya sekaligus.
2 - Maksud
penjaga anak yatim ialah orang yang bertanggung jawab menguruskan anak yatim
sama ada memberi nafkah dan perlindungan
kepadanya, mendidik serta menguruskan hartanya.
3 - Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam merenggangkan sedikit antara jari telunjuk dan jari tengah untuk menunjukkan
bahawa hanya sedikit sahaja perbezaan darjat antara nabi dan penjaga anak yatim
di syurga seolah-olah hanya sekadar jarak antara jari telunjuk dan jari tengah.
4 - Hadis
ini mengandungi galakan supaya menjaga dan memelihara anak yatim kerana perkara
tersebut menjadi salah satu sebab untuk dimasukkan ke dalam syurga.
5 - Imam Ibnu Battal berkata: “Seeloknya
bagi sesiapa yang mendengar hadis ini untuk beramal dengannya supaya dia dapat
menjadi teman Nabi sallahu ‘alaihi wasallam di syurga. Tidak ada kedudukan di
akhirat yang lebih afdal daripada itu.”
Hadis Kedua
أَنَّ رَجُلًا شَكَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَسْوَةَ قَلْبِهِ، فَقَالَ: امْسَحْ رَأْسَ الْيَتِيمِ،
وَأَطْعِمِ الْمِسْكِينَ.
“Seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah
sallahu ‘alaihi wasallam tentang keras hatinya. Rasulullah menasihatinya:
Usaplah kepala anak yatim dan berilah makan kepada orang miskin.”
Riwayat Ahmad (no. 9018) daripada hadis Abu
Hurairah dengan sanad yang daif. Sanadnya terputus menurut al-Busiri
dalam Ithaf al-Khiyarah al-Maharah.
Pengajaran
Hadis:
1 - Hati
yang keras adalah hati yang sukar untuk tunduk kepada perintah Allah dan
menjauhi laranganNya serta tidak ada belas ihsan kepada makhluk.
2 - Tujuan
mengusap kepada anak yatim adalah untuk mengingatkan kepada kematian supaya
dapat menghilangkan rasa lalai dan alpa. Kerasnya hati adakah kerana lalai
terhadap kematian yang boleh hadir pada bila-bila masa.
3 - Memberi
makan kepada orang miskin pula supaya kita dapat melihat kesan nikmat yang
Allah kurniakan kepada kita lalu melahirkan rasa syukur di dalam jiwa.
4 - Sikap
belas ihsan kepada anak yatim dan orang miskin akan menyebabkan turunnya rahmat
Allah dan akan menghilangkan kekerasan hatinya.
Hadis
Ketiga
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
وَالَّذِي بَعَثَنِي بِالْحَقِّ لَا يُعَذِّبُ
اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ رَحِمَ الْيَتِيمَ، وَلَانَ لَهُ فِي
الْكَلَامِ، وَرَحِمَ يُتْمَهُ وَضَعْفَهُ، وَلَمْ يَتَطَاوَلْ عَلَى جَارِهِ
بِفَضْلِ مَا آتَاهُ اللَّهُ.
“Demi Allah yang
mengutuskan aku dengan kebenaran, Allah tidak akan mengazab pada hari kiamat
orang yang mengasihani anak yatim, berbicara dengannya dengan lembut, bersimpati
dengan keyatiman dan kelemahannya serta tidak berbangga diri dengan jirannya
atas nikmat yang Allah berikan kepadanya.”
Riwayat al-Thabarani
dalam Mu’jam al-Ausath (no. 8828) dengan sanad yang daif. Dalam sanadnya ada
perawi Abdullah bin ‘Amir al-Aslami, dia adalah daif.
Pengajaran Hadis:
1 - Antara cara
berbuat baik kepada anak yatim adalah dengan menyantuninya, bercakap dengannya
secara lemah lembut, serta merasa simpati dengan nasib yang menimpa dirinya.
2 - Disebutkan secara
khusus tentang kelebihan tidak berbangga diri dengan jiran kerana jiran antara
orang yang paling hampir dengan seorang individu itu. Jika seseorang itu tidak
berbangga diri dengan orang yang paling rapat dengannya, maka sudah tentu dia tidak
berbangga diri dengan orang yang jauh dari dirinya.
3 - Adapun jika menzahirkan nikmat yang
Allah berikan kepadanya untuk tujuan menunjukkan rasa syukurnya kepada Allah
dan tidak disertai rasa riak dan bangga diri, maka perkara tersebut adalah tidak
dilarang kerana Allah suka melihat kesan nikmat yang diberikan kepada hambaNya.
Hadis Keempat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
خَيْرُ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ: بَيْتٌ فِيهِ
يَتِيمٌ يُحْسَنُ إِلَيْهِ، وَشَرُّ بَيْتٍ فِي الْمُسْلِمِينَ: بَيْتٌ فِيهِ
يَتِيمٌ يُسَاءُ إِلَيْهِ.
Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sebaik-baik rumah
orang Islam itu adalah rumah yang ada anak yatim yang dilayan dengan baik di
dalamnya. Seburuk-buruk rumah orang Islam itu adalah rumah yang ada anak yatim
yang disakiti di dalamnya.”
Riwayat Ibnu Majah (no.
3679). Sanadnya daif menurut al-‘Iraqi dalam Takhrij Hadis Ihya’ dan
al-Busiri dalam Misbah al-Zujajah. Dalam sanadnya ada perawi Yahya
bin Abi Sulaiman, dia adalah daif.
Pengajaran Hadis:
1 - Rumah
orang Islam yang terdapat anak yatim yang dimuliakan di dalamnya dianggap sebagai
rumah yang terbaik kerana Allah cinta dan reda kepada perbuatan ahli rumah
tersebut. Disebutkan pujian kepada rumah adalah secara kiasan sahaja dan maksud
sebenarnya adalah pujian kepada ahli rumah tersebut.
2 - Maksud
disakiti dalam hadis tersebut adalah disakiti untuk tujuan menzalimi. Adapun
jika anak yatim tersebut disakiti untuk tujuan mendidiknya maka ia dibenarkan
syarak.
3 - Anak
yatim tersebut disakiti sama ada dengan cara memukulnya secara zalim atau jika
berkaitan dengan hartanya iaitu dengan menggunakan hartanya tanpa hak. Jika penjaga
anak yatim tersebut orang yang fakir maka dia boleh menggunakan harta anak
yatim di bawah tanggungannya tanpa berlebih-lebihan.
*Tulisan ini saya telah kemas kini semula pada 18/9/2021 dengan beberapa penambahan maklumat. Semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan