Saya telah kumpulkan beberapa buah hadis yang menyebutkan bahawa menuntut ilmu itu lebih baik daripada solat 1000 rakaat, sebahagiannya ada yang daif dan ada yang palsu.
Hadis
Pertama
يَا أَبَا ذَرٍّ، لَأَنْ تَغْدُوَ فَتَعَلَّمَ آيَةً
مِنْ كِتَابِ اللَّهِ، خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ تُصَلِّيَ مِائَةَ رَكْعَةٍ،
وَلَأَنْ تَغْدُوَ فَتَعَلَّمَ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ، عُمِلَ بِهِ أَوْ لَمْ
يُعْمَلْ، خَيْرٌ مِنْ أَنْ تُصَلِّيَ أَلْفَ رَكْعَةٍ
“Wahai
Abu Zar, kamu keluar dari rumah kamu di pagi hari untuk mempelajari satu ayat
daripada kitab Allah lebih baik bagi kamu daripada kamu solat 100 rakaat. Kamu
keluar dari rumah kamu di pagi hari untuk mempelajari satu bab daripada ilmu,
sama ada kamu beramal dengannya atau tidak beramal dengannya lebih baik
daripada kamu solat 1000 rakaat.”
Takhrij
Hadis:
Riwayat Ibnu Majah (no. 219) daripada jalur
perawi:
Abdullah
bin Ghalib al-‘Abbadani daripada Abdullah bin Ziyad al-Bahrani daripada Ali bin Zaid
daripada Sa’id bin al-Musayyab daripada Abu Zar daripada
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Status Hadis:
Sanad hadis
ini daif.
Al-Hafiz Al-Busiri menyebutkan dalam Misbah al-Zujajah: “Sanad
ini daif disebabkan kedaifan Ali bin Zaid dan Abdullah bin Ziyad.”
Menurut al-Hafiz al-Iraqi pula sanad ini
terputus antara Abdullah bin Ghalib dan Abdullah bin Ziyad kerana dalam riwayat
Ibnu Abdil Barr ada tambahan seorang perawi di antara keduanya iaitu Khalaf bin
A’yan. Khalaf bin A’yan ini tidak ada sebarang maklumat tentangnya.
Adapun al-Hafiz al-Munziri, beliau menghasankan sanad hadis ini dalam al-Targhib Wa al-Tarhib. Mungkin pandangan yang mendaifkan hadis ini lebih tepat. Walaupun hadis ini daif, ia masih boleh digunakan sebagai al-targhib (motivasi) untuk menuntut ilmu.
Pengajaran Hadis:
1 - Hadis ini menunjukkan bahawa mempelajari ilmu itu lebih baik daripada memperbanyakkan amalan sunat kerana mempelajari satu ayat al-Quran itu lebih baik 100 rakaat solat sunat. Ilmu juga menjadi penentu kepada sahnya ibadat. Seorang itu tidak tahu tentang syarat sah, rukun dan batalnya sesuatu ibadat itu melainkan dengan ilmu.
2 - Hadis ini juga menunjukkan bahawa jika seorang alim itu tidak sempat mengamalkan ilmunya kerana sibuk mengajarkannya kepada orang ramai sehinggalah dia meninggal dunia secara tiba-tiba maka dia tetap mendapat pahala sebagaimana orang yang mengamalkan ilmu itu.
3 - Maksud bahagian hadis 'mempelajari satu bab daripada ilmu, sama ada kamu beramal dengannya atau tidak beramal' bukanlah bermaksu ilmu itu langsung tidak diambil manfaat daripadanya. Tetapi ada ilmu itu yang melibatkan amalan seperti ilmu fiqh dan ada ilmu yang tidak melibatkan amalan tetapi keyakinan dan kepercayaan seperti ilmu akidah.
Hadis
Kedua
حُضُور مجْلِس علم أفضل من صَلَاة ألف رَكْعَة وعيادة
ألف مَرِيض وشهود ألف جَنَازَة، فَقيل يَا رَسُول الله: وَمن قِرَاءَة الْقُرْآن؟
فَقَالَ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسلم: وَهل ينفع الْقُرْآن إِلَّا بِالْعلمِ؟
“Menghadiri majlis ilmu lebih baik daripada
solat seribu rakaat, mengunjungi seribu orang yang sakit, menziarahi seribu
jenazah. Maka berkata seorang sahabat: “Wahai Rasulullah, adakah
lebih baik daripada membaca al-Quran?” Maka berkata Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam: “Tiada manfaat membaca al-Quran melainkan dengan ilmu.”
Takhrij Hadis:
Hadis
dengan lafaz ini disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ daripada hadis
Abu Zar.
Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at menyebutkan daripada jalur sanad:
Muhammad bin
Ali bin Umar al-Muzakkir daripada Ishaq bin al-Ja’d daripada Ahmad bin
Abdullah al-Harawi daripada Ishaq bin Najih daripada Hisyam bin
Hassan daripada Muhammad bin Sirin daripada Ubaidah al-Salmani daripada Umar
bin al-Khattab:
جَاءَ رَجُلٌ مِنَ
الأَنْصَارِ، فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِذَا حَضَرَتْ جَنَازَةٌ وَحَضَرَ
مَجْلِسُ عِلْمٍ أَيُّهُمَا أَحَبُّ إِلَيْكَ، أَنْ أَشْهَدَ؟ فَقَالَ إِنْ كَانَ
لِلْجَنَازَةِ مَنْ يَتْبَعُهَا وَيَدْفِنُهَا فَإِنَّ حُضُورَ مَجْلِسِ عَالِمٍ
خَيْرٌ مِنْ حُضُورِ أَلْفِ جَنَازَةٍ تُشَيِّعُهَا وَمِنْ حُضُورِ أَلْفِ مَرِيضٍ
تَعُودُهُ وَمِنْ قِيَامِ أَلْفِ لَيْلَةٍ لِلصَّلاةِ وَمِنْ أَلْفِ يَوْمٍ
تَصُومُهَا وَمِنْ أَلْفِ دِرْهَمٍ تَتَصَدَّقُ بِهِ وَمِنْ أَلْفِ حَجَّةٍ سِوَى
الْفَرْضِ وَمِنْ أَلْفِ غَزْوَةٍ سِوَى الْوَاجِبِ، وَأَيْنَ تَقَعُ هَذِهِ
الْمَشَاهِدُ مِنْ مَشْهَدِ عَالِمٍ، أَمَا عَلِمْتَ أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى
يُطَاعُ بِالْعلمِ وَيُعْبَدُ بِالْعِلْمِ، وَخَيْرُ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ مِنَ
الْعِلْمِ، وَشَرُّ الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ مِنَ الْجَهْلِ، فَقَالَ رَجُلٌ:
قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ؟ قَالَ وَيْحَكَ وَمَا قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ
وَمَا الْحَجُّ بِغَيْرِ عِلْمٍ، وَمَا الْجُمُعَةُ بِغَيْرِ عِلْمٍ، أَمَا
عَلِمْتَ أَنَّ السُّنَّةَ تَقْضِي عَلَى الْقُرْآنِ وَأَنَّ الْقُرْآنَ لَا
يَقْضِي عَلَى السُّنَّةِ.
“Datang seorang lelaki daripada kaum Ansar lalu dia berkata:
Wahai Rasulullah, antara aku menghadiri (pengebumian) jenazah atau aku hadiri
malis seorang alim, yang manakah yang engkau lebih suka untuk aku
menghadirinya?
Baginda
menjawab: Jika jenazah itu sudah ada orang yang menghantar dan mengebumikannya,
maka menghadiri majlis seorang alim itu lebih baik menghadiri seribu
pengebumian jenazah. menziarahi seribu orang sakit, menghidupkan seribu malam
dengan solat, puasa seribu hari, seribu dirham yang engkau sedekahkan, seribu
haji selain yang fardu, seribu peperangan selain yang wajib di jalan Allah sama
ada dengan dirimu dan hartamu. Apakah bandingan semua ini berbanding dengan
majlis seorang alim? Tidakkah engkau tahu bahawa Allah itu disembah dan ditaati
dengan ilmu? Kebaikan dunia dan akhirat itu kerana berasal daripada ilmu dan
keburukan dunia dan akhirat itu berasal daripada kejahilan.
Lelaki
tersebut bertanya: Membaca al-Quran?
Baginda
menjawab: Ah, apa faedahnya membaca al-Quran jika tanpa ilmu? Apa faedah haji
jika tanpa ilmu? Apa faedah (solat) Jumaat jika tanpa ilmu? Tidakkah engkau
tahu bahawa sunnah itu menjadi pelengkap/pemutus bagi al-Quran dan al-Quran itu
tidak menjadi pelengkap/pemutus bagi sunnah?
Status
Hadis:
Hadis ini
palsu dan disepakati kepalsuannya oleh ahli hadis.
1. Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at
berkata:
“Hadis ini palsu. Adapun al-Muzakkir, maka
berkata Abu Bakar al-Khatib: Dia adalah matruk (ditinggalkan hadisnya). Adapun
al-Harawi maka dia adalah al-Juwaibari dan dialah yang memalsukannya (hadis
ini). Ahmad bin Hanbal berkata: Ishaq bin Najih adalah manusia yang paling
penipu.”
2. Al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’
berkata:
“Hadis ini palsu. Yang aku ketahui ia
adalah hadis Umar bukan hadis Abu Zar. Ibnu Jauzi menyebutkannya dalam
al-Maudhu’at.”
3. Kepalsuan hadis ini turut diakui oleh
al-Sayuti dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq
dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.
Hadis
Ketiga
مَنْ تَعَلَّمَ بَابًا مِنَ الْعِلْمِ عَمِلَ بِهِ
أَوْ لَمْ يَعْمَلْ بِهِ كَانَ أَفْضَلَ مِنْ صَلاةِ أَلْفِ رَكْعَةٍ، فَإِنْ هُوَ
عَمِلَ بِهِ أَوْ عَلَّمَهُ كَانَ لَهُ ثَوَابُهُ وَثَوَابُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِ
إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ
“Sesiapa
yang mempelajari satu bab daripada ilmu, beramal dengannya atau tidak beramal
dengannya lebih baik daripada solat sunat seribu rakaat. Jika dia beramal
dengannya atau mengajarkannya (kepada orang lain), baginya pahala dan pahala
orang yang beramal dengannya sehingga hari kiamat.”
Takhrij Hadis:
Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi
dalam Tarikh Baghdad (6/553)
daripada jalur perawi:
Muhammad
bin Ziyad al-Yasykuri
daripada Maimun bin Mihrah daripada Ibnu ‘Abbas daripada
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Status
Hadis:
Hadis ini palsu. Pemalsunya ialah Muhammad bin
Ziyad al-Yasykuri.
Dia dituduh oleh ramai ulama sebagai penipu
dan pemalsu hadis antaranya oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in, al-Jauzajani,
Abu Zur’ah, al-Fallas, al-Nasa’i, al-Daraqutni, Ibnu Hibban dan lain-lain.
Al-Sayuti menghukumkan hadis ini sebagai palsu
dalam kitab al-Ziyadat ‘ala al-Maudhu’at.
Hadis
Keempat
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، وَأَبِي ذَرٍّ قَالَا: بابٌ
مِنَ العلمِ نَتَعَلَّمُهُ أحبُّ إِلَيْنا من أَلْفِ رَكْعَةِ. وسمَعْتُ
النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يقولُ : إذا جاء المَوْتُ لِطَالِبِ العلمِ وماتَ
على حالِه : فهوَ شَهيدٌ.
Abu Hurairah dan Abu Zar berkata:
“Mempelajari satu bab daripada ilmu lebih
aku sukai daripada 1000 rakaat solat. Aku mendengar Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam berkata: Jika kematian datang kepada penuntut ilmu dan dia mati dalam
keadaan menuntut ilmu maka dia mati syahid.”
Takhrij Hadis:
Diriwayatkan oleh al-Bazzar (no. 8574),
al-Fasawi dalam al-Ma’rifah Wa al-Tarikh (3/499), al-Khatib al-Bahdadi
dalam al-Faqih Wa al-Mutafaqqih (1/16) dan Tarikh
Baghdad (9/247), Ibnu Abdil Barr dalam Jami’ Bayan al-Ilm Wa Fadhlihi
(no. 115 & 211), Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (67/367) daripada
jalur perawi:
Hilal bin Abdul Rahman al-Hanafi daripada ‘Atha’ bin Abi Maimun daripada Abu Salamah daripada Abu
Hurairah dan Abu Zar daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Status
Hadis:
Sanad hadis
ini sangat daif.
Al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid
berkata: “Diriwayatkan oleh al-Bazzar. Dalam sanadnya ada Hilal bin
Abdul Rahman, dia adalah matruk (sangat lemah).”
Al-‘Uqaili dalam al-Dhu’afa’ al-Kabir
mengatakan bahawa Hilal bin Abdul Rahman adalah perawi yang mungkar hadisnya.
Al-Zahabi
pula berkata: “Kedaifan tampak jelas pada hadis-hadisnya, maka harus
ditinggalkan.”
Al-‘Uqaili turut menyatakan bahawa hadis ini adalah mungkar dan tidak ada asal dan sokongan baginya.
*Saya telah kemas kini semula tulisan ini pada 31/12/2021. Semoga bermanfaat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan