Jumaat, 19 Ogos 2016

Hadis Riba Ibarat Debu Di Akhir Zaman

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يَبْقَى أَحَدٌ إِلَّا أَكَلَ الرِّبَا فَإِنْ لَمْ يَأْكُلْهُ أَصَابَهُ مِنْ بُخَارِهِ وَيُرْوَى مِنْ غُبَارِهِ.

“Akan datang pada manusia satu zaman yang tidak terlepas seorang pun kecuali dia akan memakan riba. Jika dia tidak memakannya maka dia tetap akan terkena asapnya (dalam riwayat yang lain disebutkan: Debunya).”

Sumber dan Status Hadis:

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud (hadis no. 3331) melalui sanad:

Hasan al-Basri daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alihi wasallam.

Sanadnya daif kerana terputus sanad. Ini kerana al-Hasan al-Basri tidak mendengar hadis secara langsung daripada Abu Hurairah.

Al-Hafiz al-Munziri dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib berkata: 

“Riwayat al-Hasan daripada Abu Hurairah. Ulama berbeza pendapat sama ada al-Hasan mendengar hadis (daripada Abu Hurairah) dan menurut kebanyakan ulama dia tidak mendengar darinya.”

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab al-Talkhis al-Habir berkata: 

“Al-Hasan tidak mendengar hadis daripada Abu Hurairah menurut pendapat yang lebih tepat.”

Namun begitu, hadis ini masih boleh digunakan dalam bab al-tarhib (menakut-nakutkan/memberi ancaman daripada melakukan dosa dan maksiat).

Huraian dan Pengajaran Hadis:

1 - Sesiapa yang tidak memakan riba kerana ingin mengelak daripada perkara yang haram dan mengambil langkah berwaspada daripadanya pun akan terkena sedikit tempias riba yang Rasulullah sallahu ‘aihi wasallam ibaratkan seperti debu atau asap yang sangat sukar untuk dielak. Ini berlaku kerana dia berurusan dengan orang ramai yang tidak mengelak daripada memakan riba.

Maksudnya walaupun seseorang itu tidak dengan sengaja memakan riba, tetapi dia tetap terkena tempiasnya tanpa pilihannya sendiri. Hal ini berlaku kerana dia perlu berurusan dengan orang ramai yang terlibat dengan riba. 

Inilah realiti masa kini, di mana seseorang itu walaupun tidak berniat untuk memakan riba, tetap pasti akan terlibat sama melalui bank-bank yang mengamalkan riba dengan pelbagai cara.

Ini juga kerana dia perlu menerima gaji bulanannya untuk pekerjaannya, atau menerima bayaran untuk barang jualannya, atau menerima sewa untuk sesuatu yang disewakan, atau perkara-perkara keperluan yang lain. Disebabkan perkara-perkara ini, dia telah terlibat dengan riba.

Selain itu, dia masih boleh terbabit dengan sebahagian daripada dosa riba dengan menjadi saksi dalam kontrak riba, atau menjadi penulis dokumen riba, atau makan daripada jamuan orang yang memakan riba dan menerima hadiah mereka, sedangkan dia tahu bahawa ia adalah harta riba.

2 – Menurut Imam Ibnu Raslan (meninggal dunia 844 Hijriah) dalam Syarah Sunan Abu Daud:

“Ini adalah salah satu mukjizat Nabi dan perkhabaran baginda tentang perkara-perkara ghaib. Pada zaman ini, sangat sedikit orang yang dapat menyelamatkan diri daripada memakan riba secara langsung, apatah lagi daripada asap dan debunya.”

Jika zaman Imam Ibnu Raslan (abad ke-9 Hijriah) pun beliau sudah gambarkan sangat sedikit orang yang dapat elak daripada riba, apatah lagi pada zaman kita sekarang ini.

3 – Menurut Imam Ibnu Raslan lagi, sebab berleluasanya riba pada zaman ini adalah kerana kurangnya ilmu dan banyaknya kejahilan tentang hukum-hakam riba serta kurangnya pengetahuan tentang pembahagiannya. Lantaran itu, kita akan dapati ada orang yang dilihat taat beragama turut terlibat dengan riba dalam urus niaganya, meskipun dia tidak menyedari bahawa ia adalah riba. 

Pemakan riba akan menanggung dosa sekiranya ia berpunca daripada kecuaiannya untuk mempelajari hukum riba. Maka, sesiapa yang melakukan jual beli tanpa mengetahui hukum-hakam riba, dia telah memakan riba, sama ada dia rela atau tidak. 

Imam Abu Talib al-Makki menyebutkan dalam kitab Qut al-Qulub, daripada Saidina Umar bin al-Khattab bahawa beliau sering kali beredar di pasar-pasar, memukul sesetengah peniaga dengan cemeti dan berkata: "Janganlah berniaga di pasar kami melainkan orang yang faham agama (bertafaqquh). Jika tidak, dia akan memakan riba sama ada dia rela atau tidak."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan