Hadis Pertama
اطْوُوا ثِيَابَكُمْ تَرْجِعُ إِلَيْهَا
أَرْوَاحُهَا، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ إِذَا وَجَدَ الثَّوْبَ مَطْوِيًّا لَمْ
يَلْبَسْهُ، وَإِذَا وَجَدَهُ مَنْشُورًا لَبِسَهُ.
"Lipatlah pakaian kamu, kerana roh (keelokan)
pakaian itu akan kembali kepadanya. Sesungguhnya, syaitan apabila mendapati
pakaian yang dilipat, dia tidak memakainya. Tetapi jika dia mendapati pakaian
yang terbentang, dia akan memakainya."
Sumber Hadis:
Hadis ini diriwayatkan
oleh al-Tabarani dalam Mu’jam al-Ausat (hadis no. 5702) melalui sanad:
Umar bin Musa daripada Abu al-Zubair daripada Jabir
daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Hukum Hadis:
1 - Al-Hafiz
al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid berkata: “Diriwayatkan oleh
al-Tabarani dalam al-Ausat dan dalam sanadnya terdapat Umar bin Musa bin Wajih
dan dia adalah pemalsu hadis.”
2 – Al-Hafiz
al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah menghukumkannya bersama beberapa
lagi hadis yang berkaitan sebagai wahiyah (sangat lemah).
3 – Syeikh Ahmad
al-Siddiq al-Ghumari dalam al-Mudawi berkata:
“Umar bin Musa
adalah seorang pendusta dan pemalsu hadis, maka hadis ini adalah hadis maudu’
(palsu)."
Beliau berkata lagi
dalam al-Mughir:
“Dalam sanadnya terdapat pemalsu hadis. Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tidak melipat pakaiannya, sebaliknya baginda meletakkannya di atas penyidai. Saya telah membaca dalam kitab al-Mujalasah karya al-Dinawari daripada al-Thauri yang berkata: Sampai kepadaku bahawa pakaian apabila dilipat, keelokannya akan kembali kepadanya. Al-Thauri sendiri mengamalkan perkara ini. Maka inilah asal-usul ucapan tersebut yang kemudian diambil oleh pemalsu hadis dan disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.”
Hadis yang menyatakan baginda meletakkan pakaiannya di penyidai diriwayatkan oleh Ibnu Wahb dalam al-Jami' daripada Jabir bin Abdullah:
أَنَّهُ رَأَى رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ مُخَالِفًا بَيْنَ طَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقِهِ، وَثَوْبُهُ عَلَى الْمِشْجَبِ.
"Sesungguhnya beliau melihat Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersolat dengan memakai sehelai pakaian, dengan kedua-dua hujungnya disilangkan di atas bahunya dan pakaiannya yang lain diletakkan di atas penyidai."
الشَّيَاطِينُ يَسْتَمْتِعُونَ بِثِيَابِكُمْ،
فَإِذَا نَزَعَ أَحَدُكُمْ ثَوْبَهُ فَلْيَطْوِهِ حَتَّى تَرْجِعَ إِلَيْهَا
أَنْفَاسُهَا، فَإِنْ الشَّيَاطِينَ لا تلبس ثوبا مطويا.
"Syaitan-syaitan
berseronok mengambil manfaat dengan pakaian kamu. Maka apabila salah seorang
daripada kamu menanggalkan pakaiannya, hendaklah dia melipatnya sehingga
nafas-nafasnya (keelokannya) kembali pakaian itu. Sesungguhnya syaitan-syaitan
tidak memakai pakaian yang dilipat."
Sumber Hadis:
Hadis ini diriwayatkan
oleh Ibnu ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq melalui sanad:
Yasin bin Mu’az daripada Abu al-Zubair daripada Jabir.
Hadis ini juga
disebutkan oleh al-Dailami dalam al-Firdaus.
Hukum Hadis:
1 – Al-Hafiz al-Suyuti
dalam al-Jami’ al-Kabir berkata:
“Dalam
sanadnya ada Yasin bin Mu’az, ditinggalkan hadisnya (matruk). Ibnu Hibban
berkata: Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu.”
Abu Hatim berkata:
"Dia adalah seorang yang soleh tetapi tidak memahami apa yang
diriwayatkannya, tidak kuat (dalam periwayatan hadis) dan hadisnya munkar."
Oleh itu, dia
tidak sengaja memalsukan hadis, tetapi hadis-hadis palsu masuk ke dalam
riwayatnya kerana kelalaiannya dan kurangnya pemahaman tentang ilmu hadis.
Kesimpulan:
Hadis pertama
adalah palsu dan hadis kedua pula sekurang-kurangnya adalah sangat
daif jika tidak sampai ke tahap palsu sekalipun. Oleh itu kedua-dua hadis
ini tidak boleh diamalkan, disebarkan dan disandarkan kepada Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan