Allah telah mentakdirkan agar dapat dipelihara hadis-hadis dan sunnah, serta dapat dibezakan antara yang sahih dan yang lemah, yang baik dan yang palsu, dengan mengurniakan ramai ulama pada setiap zaman dan tempat. Para ulama ini telah mengabdikan diri mereka sepenuhnya kepada tugas mulia ini. Sejak munculnya gerakan pemalsuan hadis, para ulama ini telah berjuang tanpa henti dalam menentang hadis-hadis palsu dan membersihkan sunnah daripadanya.
Apabila ditanya kepada Abdullah bin al-Mubarak mengenai
hadis-hadis palsu ini, beliau menjawab: "Para pakar hidup untuk
membenterasnya."
Al-Zahabi dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz menyebut
bahawa Khalifah al-Rashid pernah menangkap seorang zindiq untuk dijatuhkan
hukuman bunuh. Zindiq itu berkata: "Bagaimana dengan seribu hadis yang
telah aku palsukan?" Al-Rashid menjawab: "Wahai musuh Allah,
bagaimana pula dengan Abu Ishaq Al-Fazari dan Ibn al-Mubarak yang menyaring
hadis-hadis tersebut sehingga dapat mengeluarkannya satu persatu?"
Ibnu al-Mubarak berkata: "Jika seseorang berniat
untuk berbohong tentang hadis pada waktu sahur, maka pada waktu pagi orang
ramai akan berkata kepadanya: Pembohong."
Petikan ini dan yang lainnya menunjukkan kewaspadaan ahli hadis
dan perawi hadis terhadap hadis-hadis palsu, usaha mereka untuk membatalkannya
dan tindakan mereka mengesan pemalsu hadis serta menolak tipu daya mereka.
Salah satu rahmat Allah kepada umat Islam adalah Dia
menganugerahkan kepada mereka para pakar hadis yang mahir dan penilai hadis
yang bijaksana yang tidak terhitung banyaknya. Perjuangan ahli hadis telah
mengambil pelbagai bentuk dan jenis:
1- Usaha untuk mengumpulkan dan membukukan hadis secara menyeluruh pada masa yang awal, iaitu pada awal abad pertama Hijrah semasa pemerintahan
Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau menulis kepada Abu Bakr bin Muhammad bin
Amr bin Hazm (meninggal dunia pada tahun 120 Hijriah), Muhammad bin Syihab
al-Zuhri (meninggal dunia pada tahun 124 Hijriah) dan ulama-ulama dari wilayah
lain: "Perhatikanlah hadis Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam,
kumpulkanlah ia kerana aku bimbang hilangnya ilmu dan para ulama akan pergi.”
Para ulama segera bertindak balas atas dorongan agama dan
kesedaran diri mereka. Mereka mula mengumpulkan hadis dengan penuh semangat,
sehingga menjelang akhir abad ketiga, hadis-hadis dan sunnah telah dikumpulkan
dalam buku-buku hadis yang dianggap sahih seperti Muwatta' Imam Malik, Musnad
Imam Ahmad, Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, al-Tirmizi,
al-Nasa'i, Ibnu Majah, Sahih Ibnu Khuzaimah, Tahzib al-Athar oleh Ibnu Jarir
al-Tabari, dan lain-lain.
Dengan ini, mereka menghalang para pemalsu hadis daripada
merosakkan hadis. Buku-buku hadis dan koleksi hadis yang dianggap sahih menjadi
sumber rujukan bagi para mujtahid dan mereka yang mencari dalil serta menjadi
rujukan untuk mengetahui hadis yang sahih, hasan, dan daif.
2- Al-Jarh wa al-Ta'dil (Kritikan dan Pujian terhadap
Perawi):
Gerakan pengumpulan hadis turut disertai dengan kritikan dan
pujian terhadap para perawi serta pemeriksaan yang teliti terhadap mereka. Al-Jarh
wa al-Ta'dil mempunyai kesan terbesar dalam membersihkan sunnah dan hadis
daripada pemalsuan dan Israiliyyat.
Para ulama ahli hadis telah mencapai tahap yang tidak
dicapai oleh mana-mana umat lain dalam menilai sanad hadis. Mereka meninggalkan
kepada kita khazanah ilmu yang besar dalam kitab-kitab yang membahaskan perawi,
sama ada berkaitan perawi yang dipercayai (thiqah), perawi yang lemah (daif)
dan perawi pendusta (waddaa’) serta kitab-kitab yang membahaskan
keduanya secara menyeluruh.
Di antara buku-buku ini ialah al-Du'afa' wa al-Matrukun
oleh Ibnu Hibban, al-Kamil oleh Ibnu 'Adi, al-Du'afa' oleh
al-'Uqaili, kitab-kitab berkenaan tabaqat (lapisan perawi) seperti Tabaqat
Ibn Sa’ad, dan tiga kitab tarikh oleh Imam al-Bukhari: al-Tarikh
al-Kabir, al-Tarikh al-Ausat, dan al-Tarikh al-Saghir. Antara
kitab-kitab terkemuka lainnya ialah Mizan al-I’tidal oleh al-Zahabi, Lisan
al-Mizan dan Tahzib al-Tahzib, kedua-duanya oleh al-Hafiz Ibnu
Hajar, serta banyak lagi.
Selain itu, mereka juga memberi perhatian terhadap kritikan
terhadap matan (teks hadis) dengan penuh berhati-hati dan bijaksana. Mereka
tidak bersikap melampau atau terlalu longgar dalam menilai matan. Para ulama
telah meletakkan kaedah-kaedah khusus untuk menilai sanad dan matan, dan
kaedah-kaedah tersebut adalah antara yang paling halus dan tepat yang pernah
dikenali oleh penilai, sama ada pada zaman dahulu atau zaman moden.
Melalui kritikan yang mendalam ini, para ulama berjaya
membezakan antara sanad dan matan yang sahih, yang cacat (ma’lul), yang
diterima (maqbul), dan yang ditolak (mardud).
3 - Usaha
Lain dalam Mempertahankan Hadis:
Usaha ulama hadis dalam mempertahankan hadis juga terdapat
dalam bentuk lain, iaitu melalui penulisan kitab-kitab yang secara khusus
menyebut hadis-hadis palsu serta menilainya dari segi sanad dan matan.
Kitab-kitab ini terbahagi kepada dua jenis.
Jenis pertama: Kitab-kitab yang dikhususkan untuk
membincangkan hadis-hadis palsu.
Kitab-kitab ini sangat banyak. Antaranya ialah:
a - Kitab al-Abathil karya al-Jauzaqani, iaitu
al-Hafiz al-Hasan bin Ibrahim (meninggal dunia pada tahun 543 Hijriah). Kitab
ini kecil dan beliau mudah menghukum hadis sebagai palsu (tasahul) di
dalamnya.
b - Kitab al-Maudu‘at oleh Ibnu al-Jauzi, iaitu
al-Hafiz Abu al-Faraj Abd al-Rahman bin al-Jauzi (meninggal dunia pada tahun
597 Hijriah). Namun, ahli hadis mengkritik beliau kerana terlalu mudah dalam
menyatakan sesuatu hadis sebagai palsu. Pembaca perlu teliti untuk menentukan
kebenaran dalam penilaiannya kerana ada hadis yang dipertikaikan mungkin benar
seperti yang beliau katakan dan ada kesilapannya seperti hadis yang beliau
senaraikan yang sebenarnya terdapat dalam Sahih Muslim.
c - Kitab al-La’ali
al-Masnu‘ah fi al-Ahadith al-Maudu‘ah oleh al-Hafiz al-Suyuti (meninggal
dunia pada tahun 911 Hijriah). Kitab ini adalah ringkasan kepada kitab al-Maudu‘at
oleh Ibnu al-Jauzi dan al-Suyuti juga mengkritiknya dalam beberapa penialain hadis.
Kitab ini telah dicetak.
d - Kitab al-Durr al-Multaqat fi Tabyin al-Ghalat
oleh al-‘Allamah Radi al-Din Abu al-Fadl Hasan bin Muhammad al-Saghani
(meninggal dunia pada tahun 650 Hijriah). Namun, terdapat beberapa perkara
dalam kitab ini yang dikritik.
e - Kitab Tanzih al-Shari‘ah al-Marfu‘ah ‘an al-Ahadith
al-Maudu‘ah oleh al-‘Allamah Ali bin Muhammad bin ‘Iraq (meninggal dunia
pada tahun 963H Hijriah). Kitab ini sangat bernilai, di mana beliau
meringkaskan kitab-kitab yang wujud sebelum zamannya dan menambah beberapa
kritikan yang bermanfaat.
f - Kitab Tazkirah
al-Maudu‘at oleh al-Hafiz Abu al-Fadl Muhammad bin Tahir al-Maqdisi (meninggal
dunia pada tahun 507 Hijriah). Namun, terdapat hadis-hadis dalam kitab ini yang
sebenarnya bukan hadis palsu.
g - Kitab Tazkirah
al-Maudu‘at oleh Muhammad bin Tahir al-Fattani (meninggal dunia pada tahun
986 Hijriah). Kitab ini juga mengandungi hadis-hadis yang sebenarnya bukan
hadis palsu.
h - Kitab al-Maudu‘at oleh Syaikh Ali al-Qari
al-Hanafi (meninggal dunia pada tahun 1014 Hijriah). Kitab ini ringkas tetapi bagus.
i - Kitab al-Fawa’id
al-Majmu‘ah fi al-Ahadith al-Maudu‘ah oleh al-‘Allamah Muhammad bin Ali
al-Shaukani (meninggal dunia pada tahun 1250 Hijriah). Namun, terdapat kritikan
terhadap kitab ini kerana menyebut hadis-hadis yang sebenarnya bukan hadis
palsu.
Jenis Kedua: Kitab-kitab yang tidak khusus membincangkan
hadis-hadis palsu.
Terbahagi kepada dua bahagian:
i - Kitab-kitab Hadis Masyhur
a - Al-Maqasid al-Hasanah fi al-Ahadith al-Musytahirah
oleh al-Sakhawi (meninggal dunia pada tahun 902 Hijriah). Kitab ini menyaring
hadis-hadis yang masyhur di lidah masyarakat. Dalam kitab ini, beliau menyebutkan
banyak hadis yang palsu dan yang tiada asal-usulnya.
b - Tamiz al-Tayyib min al-Khabith oleh Ibnu al-Daiba’
al-Shaybani. Kitab ini adalah ringkasan daripada al-Maqasid al-Hasanah
yang disebut sebelum ini.
c - Al-La’ali al-Muntathirah fi al-Ahadith al-Musytahirah
oleh al-Suyuti.
d - Kashf al-Khafa wa Muzil al-Ilbas oleh al-Muhaddith
Ismail bin Muhammad al-‘Ajluni (meninggal dunia pada tahun 1162H). Kitab ini
adalah ringkasan daripada kitab-kitab sebelumnya.
ii - Kitab-kitab Takhrij
Kitab-kitab ini bertujuan untuk menjelaskan darjat sesuatu
hadis serta menyebut sumber yang meriwayatkannya. Dalam kitab-kitab ini,
terdapat penjelasan terhadap hadis-hadis palsu serta hadis-hadis yang tiada
asal-usulnya. Antaranya:
a - Nasb al-Rayah fi Takhrij Ahadith al-Hidayah oleh al-Hafiz
Jamal al-Din Abdullah bin Yusuf al-Zayla’i (meninggal dunia pada tahun 762 Hijriah).
Kitab ini mentakhrij hadis-hadis yang terdapat dalam kitab al-Hidayah.
Beliau melakukannya dengan cermat dan adil. Kitab ini kemudiannya diringkaskan
oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam karya beliau al-Dirayah fi Talkhis Nasb al-Rayah.
b - Al-Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahadith Sharh
al-Rafi‘i al-Kabir oleh al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Hajar al-‘Asqalani (meninggal
dunia pada tahun pada 852 Hijriah). Kitab ini adalah takhrij kepada Sharh
al-Rafi‘i al-Kabir yang merupakan syarah kepada kitab al-Wajiz karya
Imam al-Ghazali dalam fiqh mazhab Syafi’i.
c - Al-Mughni ‘an Haml al-Asfar fi al-Asfar karya
al-Hafiz Abd al-Rahim bin al-Husain al-‘Iraqi (meninggal dunia pada tahun pada 806
Hijriah). Kitab ini menghimpunkan hadis-hadis daripada kitab Ihya’ Ulum
al-Din dan menjelaskan darjat setiap hadis atau athar, sama ada sahih,
hasan, atau daif, serta menjelaskan hadis-hadis palsu dan yang tiada
asal-usulnya di dalamnya. Kitab ini diterbitkan dalam dua versi: versi besar
dan kecil. Versi kecilnya dicetak bersama kitab Ihya’ Ulum al-Din.
d - Takhrij Ahadith wa Athar al-Waqi‘ah fi Tafsir
al-Kashshaf oleh al-Hafiz al-Zayla’i yang disebut sebelum ini. Dalam kitab
ini, beliau menjelaskan hadis-hadis yang sahih, palsu, atau yang tiada
asal-usulnya. Kitab ini kemudiannya diringkaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam
kitab Al-Kafi al-Shaf fi Takhrij Ahadith al-Kashshaf, yang dicetak
bersama Tafsir al-Kashshaf dalam beberapa cetakan.
Selain daripada yang telah disebutkan, terdapat juga karya
seperti Tuhfat al-Rawi fi Takhrij Ahadith al-Baydawi dan Takhrij
Ahadith Usul al-Bazdawi oleh Qasim bin Qutlubgha al-Hanafi, takhrij hadis
dalam Syarah al-‘Aqaid al-Nasafiyyah dan Syarah al-Mawaqif oleh
al-Suyuti, serta takhrij hadis Minhaj al-Usul oleh Sheikh al-Islam Umar
bin Ali al-Ansari. Selain itu, terdapat juga takhrij hadis dalam Syarah
al-Radi ‘ala al-Kafiyah oleh Abdul Qadir al-Baghdadi dan takhrij hadis
dalam al-Shifa oleh al-Hafiz al-Suyuti.
Dengan ini, dapat dilihat bahawa karya-karya takhrij telah memberikan sumbangan besar dalam menekankan isu-isu seperti hadis-hadis palsu dan riwayat-riwayat Israiliyyat serta yang seumpamanya.
Rujukan:
Al-Wasit Fi 'Ulum Wa Mustalah al-Hadith oleh Syeikh Muhammad Abu Syahbah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan