Selasa, 10 Disember 2024

Hukum Berdoa Di Kubur

 

Rasulullah Berdoa Di Kubur

1 - Telah sabit bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam biasa mendoakan kebaikan untuk orang yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia ketika menziarahi kubur. Dalam Sahih Muslim dan Musnad Ahmad disebut bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan kepada Saidatina Aisyah untuk mengucapkan ketika menziarahi perkuburan Baqi':

السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ، وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا، وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ.

“Salam sejahtera ke atas penghuni-penghuni kubur ini daripada kalangan orang-orang beriman dan orang-orang Islam. Semoga Allah merahmati orang-orang yang telah mendahului kami dan yang akan datang kemudian. Dan sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusul kamu.”

Dalam Sahih Muslim, daripada Buraidah, beliau berkata: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam mengajarkan mereka apabila keluar menuju ke perkuburan agar salah seorang daripada mereka mengucapkan:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ.... أَسْأَلُ اللهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ.

"Salam sejahtera ke atas kamu… Aku memohon kepada Allah kesejahteraan untuk kami dan juga untuk kamu.”

Dalam Sunan at-Tirmizi, daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: "Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pernah melalui kubur-kubur di Madinah, lalu baginda menghadap ke arah mereka dan bersabda:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا أَهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللَّهُ لَنَا وَلَكُمْ.

"Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami dan kamu.”

Dalam Musnad Ahmad ada hadis daripada Aisyah mengenai ziarah ke Baqi', yang di dalamnya terdapat sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:

اللهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُمْ، وَلَا تَفْتِنَّا بَعْدَهُمْ.

"Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami daripada pahala (menziarahi) mereka dan janganlah Engkau uji kami selepas mereka."

Terdapat banyak lagi hadis lain dalam bab ini. Oleh itu, disunatkan berdoa di kubur sama ada ia berlaku secara kebetulan atau apabila seseorang sengaja ingin berdoa di sana. Maka diketahui daripada apa yang telah disebutkan bahawa berdoa di kubur untuk orang yang hidup dan orang yang mati adalah sunnah.

Dalil Umum Boleh Berdoa Di Kubur

2 - Sesungguhnya ayat-ayat seperti firman Allah Ta’ala:

ادْعُونيِ أَسْتَجِبْ لَكُمْ.

"Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu,"

Begitu juga hadis-hadis yang menyebut tentang keutamaan berdoa dan anjuran untuk melakukannya, datang dalam bentuk yang mutlak dan umum. Seperti sabda Nabi sallahu ‘alaihi wasallam:

الدُّعَاءَ هُوَ الْعِبَادَةُ.

"Doa itu adalah ibadah."

Tidak ada nas yang mengehadkan atau mengkhususkannya, sama ada dengan nas yang menunjukkan larangan atau makruh untuk berdoa di kubur. Maka, wajib untuk kekal dengan nas-nas ini dan mengamalkan maksudnya yang umum dan mutlak. Penegasan terhadap sifat umum ini disokong oleh adanya dalil khusus mengenai berdoa di kubur, yang merupakan penjelasan bagi salah satu cabang sifat umum tersebut.

3 - Allah berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا.

"Dan sekiranya mereka, ketika menzalimi diri mereka, datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasul juga memohonkan ampun untuk mereka, nescaya mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa': 64)

Ayat ini bersifat umum kerana perbuatan ‘datang kepadamu’ berada dalam bentuk syarat. Bukti dari ayat ini tentang keharusan berdoa dan memohon ampun di kubur ialah bahawa ia mengaitkan keadaan mendapati Allah sebagai Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang kepada tiga perkara, iaitu: datang, memohon ampun, dan permohonan ampun oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Selepas kewafatan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam, perbuatan ‘datang’ itu merujuk kepada datang ke makam baginda yang mulia. Maka, ayat ini menunjukkan galakan untuk datang ke kubur, berdoa, dan memohon keampunan di sana.

Sahabat dan Tabi’in Berdoa Di Kubur Nabi

4 - Telah terbukti bahawa beberapa orang sahabat, apabila mereka menghadapi sesuatu masalah atau musibah, mereka akan pergi ke makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, berdoa kepada Allah Ta’ala dan memohon syafaat melalui Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.

(a) Di antara contoh perbuatan tersebut ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad daripada Daud bin Abi Saleh, yang berkata:

"Suatu hari Marwan datang dan mendapati seorang lelaki sedang meletakkan wajahnya di atas kubur. Marwan berkata: Adakah kamu tahu apa yang sedang kamu lakukan? Lelaki itu melihat kepadanya dan ternyata dia adalah Abu Ayyub. Abu Ayyub berkata: Ya, aku datang kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dan bukan kepada batu ini. Aku mendengar Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Janganlah kamu menangisi agama ini apabila ia diurus oleh ahlinya, tetapi tangisilah agama ini apabila ia diurus oleh orang yang bukan ahlinya."

Hadis ini hasan.

(b) Di antaranya juga ialah riwayat yang diriwayatkan oleh al-Hafiz al-Darimi dalam Sunan-nya, dalam bab ‘Apa yang Allah Ta’ala muliakan kepada Nabi-Nya selepas kewafatannya, daripada Abu al-Jauza' Aus bin Abdullah yang berkata:

"Penduduk Madinah ditimpa kemarau yang sangat teruk, lalu mereka mengadu kepada Aisyah. Aisyah berkata: Lihatlah ke kubur Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan bukalah sebahagian ruang di atasnya sehingga tidak ada penghalang antara makam itu dan langit.”

Aus bin Abdullah berkata: “Mereka pun melakukannya, lalu kami menerima hujan yang lebat sehingga tumbuhlah rumput dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya merekah kerana kegemukan, sehingga tahun itu dikenali sebagai tahun kemakmuran."

Athar ini sanadnya berstatus hasan.

(c) Di antaranya juga ialah riwayat yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Shaibah dalam al-Musannaf  daripada Malik ad-Dar yang merupakan penjaga perbendaharaan zaman Umar, katanya:

"Orang ramai ditimpa kemarau pada zaman Umar, lalu seorang lelaki datang ke kubur Nabi sallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah, mohonkanlah hujan untuk umatmu kerana mereka telah binasa.

Lalu lelaki itu didatangi (Nabi) dalam mimpinya dan dikatakan kepadanya: Pergilah kepada Umar, sampaikan salam kepadanya, dan beritahulah dia bahawa kamu akan diberi hujan. Katakan kepadanya: Hendaklah kamu bersikap bijaksana, hendaklah kamu bersikap bijaksana.

Maka lelaki itu pun pergi kepada Umar dan memberitahu perkara tersebut. Umar pun menangis dan berkata: Wahai Tuhanku, aku akan kerahkan semua upayaku kecuali apa yang tidak aku mampu laksanakan."

Athar ini disahihkan oleh al-Hafiz Ibnu Kathir dalam al-Bidayah Wa al-Nihayah dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari.

5 - Telah terbukti bahawa beberapa sahabat dan orang-orang selepas mereka, berdoa di makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Ibnu Taimiyyah telah menyebutkan beberapa riwayat tentang mereka dalam kitabnya al-Radd 'ala al-Akhna’i. Para ulama fiqh dan hadis juga dengan jelas menyatakan bahawa disunatkan berdoa di makam baginda yang mulia itu, dan ada pelbagai doa yang diriwayatkan daripada mereka ketika menziarahi Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Para ulama fiqh daripada mazhab Hanbali juga mempunyai pendirian yang kukuh dalam hal ini.

Boleh Berdoa Di Selain Kubur Nabi

6 - Jika dikatakan: "Kami terima bahawa disunatkan berdoa di makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, tetapi bukankah ini khusus untuk makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam?"

 Maka jawapannya adalah: Tidak ada dalil yang menunjukkan kekhususan tersebut. Malah, keharusan berdoa di makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menunjukkan keharusan berdoa di tempat-tempat mulia yang lain. Kawasan yang diberkati itu tidak dimuliakan kecuali disebabkan oleh penghuninya, iaitu Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, sehingga disunatkan berdoa di sana. Begitu juga dengan setiap tempat yang dimuliakan dengan kehadiran orang soleh atau wali.

Al-Syaukani dalam Tuhfah al-Zakirin mengulas mengenai ucapan Ibnu al-Jazari tentang tempat-tempat mustajab doa: "Dan tempat-tempat yang diberkati”:

“Sebabnya adalah tempat-tempat yang diberkati itu mempunyai keistimewaan tambahan, Maka mungkin kemuliaan dan keberkatannya menjadi sebab kembalinya keberkatan tersebut kepada orang yang berdoa di situ. Kurniaan Allah luas dan rahmat-Nya melimpah. Dalam hadis disebutkan: Mereka adalah kaum yang mana orang yang duduk bersama mereka tidak akan celaka.

Maka, orang yang duduk bersama kaum tersebut dianggap seperti mereka, meskipun dia bukan daripada kalangan mereka. Ini berlaku kerana keberkatan mereka kembali kepada orang yang bersamanya, menjadikannya seperti salah seorang daripada mereka. Oleh itu, tidak mustahil tempat-tempat yang diberkati juga begitu, di mana orang yang berada di situ dan berdoa kepada Tuhannya akan diliputi oleh keberkatan yang Allah letakkan di tempat tersebut, sehingga dia tidak akan celaka dengan tidak diterimanya doanya."

Amalan Berdoa Di Kubur Sepanjang Sejarah

Tidak mengapa untuk menyebutkan beberapa faedah dan pengajaran yang sesuai dengan konteks ini demi melengkapkan manfaat dan meneguhkan hati orang-orang beriman:

1 - Kisah seorang lelaki bernama Al-‘Utbi yang memohon pelindungan di makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam disebut oleh beberapa ahli tafsir, termasuk Ibnu Kathir. Beliau berkata dalam tafsirnya:

"Sheikh Abu Nasr al-Sabbagh menyebut dalam kitabnya, al-Hikayah al-Masyhurah tentang Al-‘Utbi. Al-‘Utbi berkata:

Aku sedang duduk di sisi makam Nabi sallahu ‘alaihi wasallam, lalu seorang Badwi datang dan berkata: 'Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasulullah. Aku mendengar Allah berfirman:

وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذْ ظَّلَمُوا أَنْفُسَهُمْ جَاءُوكَ فَاسْتَغْفَرُوا اللَّهَ وَاسْتَغْفَرَ لَهُمُ الرَّسُولُ لَوَجَدُوا اللَّهَ تَوَّابًا رَحِيمًا.

Dan sekiranya mereka, ketika menzalimi diri mereka, datang kepadamu (wahai Muhammad), lalu memohon ampun kepada Allah dan Rasul juga memohonkan ampun untuk mereka, nescaya mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Aku telah datang kepadamu memohon ampun untuk dosaku dan memohon syafaatmu kepada Tuhanku.

Kemudian lelaki Badwi itu melafazkan syair berikut:

Wahai sebaik-baik insan yang jasadnya dikebumikan di tanah ini,

Maka wangilah tanah dan bukit menjadi harum kerana keharumannya.

Jiwaku menjadi tebusan bagi sebuah makam yang engkau diami,

Di dalamnya ada kemuliaan, kedermawanan, dan kehormatan.

Setelah itu, lelaki Badwi tersebut pergi. Aku pun tertidur dan di dalam tidurku aku melihat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam. Baginda berkata: Wahai ‘Utbi, kejarlah lelaki Badwi itu dan sampaikan berita gembira kepadanya bahawa Allah telah mengampuninya."

Kisah ini tidaklah sahih sanadnya, tetapi tujuan menyebutkannya adalah untuk menunjukkan bahawa ia disebut dalam kitab-kitab para imam tafsir dan fiqh, serta penerimaan mereka terhadapnya, terutamanya dalam kalangan imam fiqh mazhab Hanbali seperti Abu Muhammad Ibnu Qudamah dalam kitab al-Mughni  dan Abu al-Faraj Ibnu Qudamah dalam kitab al-Sharh al-Kabir.

2 - Dalam kitab Tahzib at-Tahzib disebutkan:

“Daripada al-Hakim al-Naisaburi, katanya: Aku mendengar Abu Bakar Muhammad bin al-Mu’ammil bin al-Hasan bin ‘Isa berkata:

“Kami keluar bersama Imam Ahli Hadis, Abu Bakar bin Khuzaimah dan yang sama hebat dengannya, Abu ‘Ali al-Thaqafi, bersama sekumpulan guru kami, yang ketika itu masih ramai, untuk menziarahi kubur Ali bin Musa al-Ridha di Tus.”

Al-Mu’ammil berkata: “Aku melihat penghormatan yang sangat besar dari Ibn Khuzaimah terhadap tempat itu, serta kerendahan hati dan ketundukannya di situ, sehingga kami menjadi hairan.”

Sanad riwayat ini adalah sahih dan bersambung. Ia menunjukkan adanya amalan melakukan perjalanan (musafir) untuk menziarahi kubur dan memuliakannya.

3 - Imam al-Hafiz al-Faqih, Abu Hatim Muhammad bin Hibban al-Busti, berkata dalam kitabnya, al-Thiqat, dalam biografi Imam Ali al-Ridha:

"Dan kuburnya di Sanabaz, di luar Nūqān, terkenal dan diziarahi, bersebelahan dengan kubur al-Rashid. Aku telah menziarahinya berkali-kali. Tidak pernah aku berada dalam kesusahan semasa tinggal di Tus, lalu aku menziarahi kubur Ali bin Musa al-Ridha, selawat Allah ke atas datuknya dan ke atasnya, dan aku berdoa kepada Allah agar menghilangkan kesulitanku, melainkan doaku dikabulkan dan kesulitan itu dihilangkan daripadaku. Ini adalah sesuatu yang telah aku cuba berkali-kali dan aku dapati berlaku sedemikian. Semoga Allah mematikan kita dalam kecintaan kepada al-Mustafa dan ahli keluarganya, selawat Allah ke atasnya dan ke atas mereka semua."

4 – Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi Ma‘ruf al-Karkhi:

"Dan daripada Ibrahim al-Harbi, beliau berkata: Kubur Ma‘ruf adalah penawar yang telah dicuba keberkesanannya, maksudnya doa orang yang berada dalam kesempitan dikabulkan di sisinya, kerana tempat-tempat yang diberkati adalah tempat di mana doa dimakbulkan, sebagaimana doa pada waktu sahur diharapkan makbulnnya, begitu juga selepas solat fardu, di masjid-masjid. Malah, doa orang yang dalam kesempitan akan dimakbulkan di mana-mana tempat sekalipun. Ya Allah, sesungguhnya aku dalam memerlukan keampunan-Mu, maka ampunilah aku."

5 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi Sayyidah Nafisah:

"Dikatakan bahawa beliau adalah dalam kalangan wanita yang solehah dan kuat beribadah, dan doa dikabulkan di sisi kuburnya. Begitu juga di sisi kubur para nabi dan orang-orang soleh, di masjid-masjid, di Arafah dan Muzdalifah, dalam perjalanan yang dibenarkan, dalam solat, pada waktu sahur, daripada ibu bapa, daripada orang yang jauh mendoakan saudaranya, daripada orang yang dalam kesempitan, di sisi kubur orang yang diazab, dan pada setiap waktu dan ketika; sebagaimana firman Allah Ta’ala: Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan bagimu. Tidak dilarang bagi orang yang berdoa daripada berdoa pada waktu kesempitan, atau ketika berjimak, atau yang seumpamanya."

6 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi faqih Hanafi Mesir, Qadhi Bakkar bin Qutaybah, al-Zahabi menukilkan daripada Ibn Khallikan, katanya:

"Dan kuburnya terkenal, diketahui bahawa doa dikabulkan di sisinya."

Teks ini juga terdapat dalam Wafayat al-A‘yan.

7 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi Imam al-Hafiz yang thiqah, Salih bin Ahmad al-Hamadani al-Simsar:

"Dan doa dikabulkan di sisi kuburnya."

8 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi guru para mutakallimin, Abu Bakr bin Furak al-Asbahani:

"Dan makamnya di al-Hirah diziarahi dan doa dikabulkan di sisinya."

9 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi Abu al-Hasan Ali bin Hamid al-Hamdani yang digelar Rukn al-Sunnah:

"Dia seorang yang warak dan bertakwa, makamnya diambil berkat."

10 - Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’, dalam biografi faqih al-Hafiz Abu Bakr al-Shafi‘i, al-Dhahabi berkata:

"Doa dikabulkan di sisi kubur para nabi dan wali, serta di tempat-tempat lain, tetapi sebab terkabulnya doa adalah kehadiran hati orang yang berdoa, kekhusyukan dan kerendahan dirinya. Tanpa diragukan lagi, di tempat yang diberkati, di masjid, pada waktu sahur, dan seumpamanya, hal ini sering berlaku kepada orang yang berdoa. Setiap orang yang berada dalam kesempitan, doanya pasti dikabulkan."

11 - Telah sabit seperti yang disebutkan dalam Tarikh Ibn Asakir dan Siyar A‘lam al-Nubala’ serta dalam sumber-sumber lain bahawa Abu al-Fadl bin Khairun meriwayatkan bahawa Abu Bakr al-Khatib pernah menyebut bahawa ketika beliau menunaikan haji, beliau minum tiga teguk air zamzam dan memohon kepada Allah tiga hajat, berdasarkan sabda Rasulullah: “Air zamzam adalah untuk tujuan apa ia diminum.” Hajat pertama: untuk meriwayatkan Tarikh Baghdad di Baghdad, yang kedua: untuk mengimlakkan hadis di Masjid al-Mansur dan yang ketiga: agar dia dikebumikan ketika mati di sisi kubur Bishr al-Hafi.

Khabar ini juga terdapat dalam al-Muntazam, Mu‘jam al-Udaba’ dan Wafayat al-A‘yan. Menurut mereka, diceritakan bahawa tempat di sebelah kubur Bishr itu telah digali oleh Abu Bakr Ahmad bin Ali al-Turaithithi untuk dirinya sendiri. Dia sering pergi ke tempat itu, mengkhatamkan al-Quran di sana, dan berdoa. Ini berlanjutan selama beberapa tahun. Apabila al-Khatib meninggal dunia, mereka meminta al-Turaithithi untuk membenarkan al-Khatib dikebumikan di situ, tetapi dia enggan dan berkata: Ini adalah kubur saya yang telah saya gali dan di mana saya telah mengkhatamkan al-Quran beberapa kali. Saya tidak akan membenarkan sesiapa dikebumikan di sini dan ini adalah sesuatu yang tidak dapat dibayangkan.

Berita ini sampai kepada ayah Abu al-Fadl bin Khayrun, lalu beliau berkata: Wahai Syeikh, sekiranya Bishr bin al-Harith al-Hafi masih hidup dan kamu serta al-Khatib datang kepadanya, siapakah yang akan duduk di sisinya, kamu atau al-Khatib? Dia menjawab: Tidak, bahkan al-Khatib. Lalu ayahku berkata: Begitu juga sepatutnya keadaannya setelah meninggal dunia, kerana dia lebih layak untuk berada di situ berbanding kamu. Hatinya pun tenang dan dia merelakan agar al-Khatib dikebumikan di tempat itu. Maka, al-Khatib pun dikebumikan di sana.

12 - Dalam Tahzib al-Tahzib, dalam biografi Yahya bin Yahya al-Naisaburi, dinukilkan daripada Tarikh Naisabur oleh al-Hakim bahawa beliau berkata:

"Aku mendengar Abu Ali al-Naisaburi berkata: Aku berada dalam kesedihan yang amat sangat, lalu aku melihat Nabi dalam mimpi seolah-olah baginda berkata kepadaku: Pergilah ke kubur Yahya, beristighfarlah dan mohonlah, pasti hajatmu akan tertunai. Maka, apabila aku bangun, aku melakukan perkara itu dan hajatku ditunaikan.'"

Ini adalah sanad yang diriwayatkan oleh seorang hafiz yang thiqah lagi seorang imam daripada perawi yang setaraf dengannya.

13 - Al-Khatib al-Baghdadi berkata dalam Tarikh Baghdad: Telah memberitahu kami Qadhi Abu Muhammad al-Hasan bin al-Husayn bin Ramin al-Istarabadi, beliau berkata: Telah memberitahu kami Ahmad bin Ja‘far bin Hamdan al-Qati‘i, beliau berkata: Aku mendengar al-Hasan bin Ibrahim Abu Ali al-Khallal berkata:

"Setiap kali aku dihimpit oleh sesuatu urusan, aku pergi ke kubur Musa bin Ja‘far dan bertawassul dengannya, maka Allah Ta'ala memudahkan bagiku apa yang aku inginkan."

Guru al-Khatib ini adalah seorang faqih Syafi‘i dan al-Khatib berkata: "Aku menulis daripada beliau dan beliau adalah seorang yang jujur." Al-Qati‘i pula tidak ada masalah dengannya, dan al-Khallal adalah salah seorang syaikh Hanabilah.

14 - Dalam Iqtida' al-Sirat al-Mustaqim, Ibnu Taimiyyah berkata:

"Abu Ali al-Khiraqi menyebut dalam kisah orang-orang yang dipulau oleh Ahmad (Ibn Hanbal) bahawa sebahagian daripada mereka yang dipulau itu datang ke kubur Ahmad dan sengaja berdoa di sisinya."

15 - Dalam kitab yang sama, Ibnu Taimiyyah berkata:

"Kami telah menemui pada zaman kami dan zaman yang hampir dengannya, daripada kalangan orang-orang yang mempunyai keutamaan dalam ilmu dan amal, yang sengaja berdoa di sisi kubur-kubur atau berlama-lama di sana, dan dalam kalangan mereka ada yang unggul dalam ilmu dan ada yang memiliki karamah."

Menjawab Ibnu Taimiyyah Yang Mengkritik Amalan Ini

Pertama: Ibnu Taimiyyah berkata dalam kitabnya Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim:

"Berdoa tidaklah dilarang secara mutlak di sisi kubur, bahkan ia dianjurkan sebagaimana diterangkan dalam sunnah, seperti apabila seseorang melewati kubur atau menziarahinya, maka disunatkan baginya untuk memberi salam kepada penghuni kubur dan memohon kepada Allah kesejahteraan untuk dirinya dan juga untuk si mati."

Kemudian beliau berkata: "Apa yang dicela adalah apabila seseorang sengaja memilih untuk datang ke kubur semata-mata untuk berdoa."

Beliau juga berkata di tempat lain:

"Adapun berdoa di sisi kubur, ia adalah dibolehkan tanpa sebarang keraguan, selagi mana seseorang itu tidak sengaja memilih untuk berdoa di situ, kerana itu adalah makruh, atau jika dia berkeyakinan bahawa berdoa di sisi kubur adalah disyariatkan, atau sengaja datang ke kubur dengan kepercayaan bahawa doa di sana lebih baik, lebih dekat untuk diterima, atau lebih cepat untuk dimakbulkan, maka perbuatan itu menjadi haram atau makruh."

Kritikan Ibnu Taimiyyah tersebut dapat dijawab seperti berikut:

1 - Syariat telah menganjurkan ziarah kubur dan menganjurkan doa di sisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih. Maka, tujuan menziarahi kubur untuk berdoa di sisinya adalah sesuatu yang dituntut, kerana ia dapat melembutkan hati dan menimbulkan rasa khusyuk dengan mengingati kematian. Apabila telah jelas disyariatkan berdoa di sisi kubur, maka pembahagian antara berdoa secara sengaja dan secara kebetulan tidak mempunyai dalil, kerana ia termasuk dalam kategori yang sama, iaitu anjuran berdoa di sisi kubur, sama ada ia dilakukan secara sengaja atau secara kebetulan.

2 - Pembahagian yang dibuat oleh Ibnu Taimiyyah antara doa yang dilakukan secara sengaja dan secara kebetulan adalah sesuatu yang dibuat-buat dan ia bercanggah dengan apa yang dilakukan oleh sebahagian sahabat, yang dengan sengaja mendatangi makam Rasulullah untuk berdoa di sisinya. Perkara ini telah disebutkan sebelum ini dari sekumpulan sahabat. Ia juga bercanggah dengan perintah untuk mendatangi makam Rasulullah untuk berdoa dan memohon keampunan, sebagaimana disebutkan dalam ayat:

"Dan sekiranya mereka, ketika menzalimi diri mereka, datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon keampunan kepada Allah, dan Rasul juga memohonkan keampunan untuk mereka, nescaya mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (Surah An-Nisa: 64)

3 - Ibnu Taimiyyah sendiri bercanggah dengan pembahagiannya itu sendiri. Beliau mempunyai pernyataan yang baik berkenaan keutamaan sebahagian tempat berbanding tempat yang lain untuk berzikir dan berdoa. Dalam kitabnya al-Radd ‘ala al-Akhna’i, beliau berkata:

"Orang mukmin kadangkala sengaja memilih tempat tertentu untuk solat atau berdoa berbanding tempat lain kerana hatinya lebih tenang di situ dan ia lebih mendatangkan khusyuk, bukan kerana dia berpendapat bahawa syarak mengutamakan tempat tersebut, seperti seseorang yang solat di rumahnya dan sebagainya. Maka, perbuatan seperti itu, selagi tidak dilarang, tidak mengapa dilakukan. Bahkan, ia menjadi sesuatu yang disunatkan bagi individu tersebut, kerana ibadahnya di tempat itu lebih baik. Sebagai contoh, apabila sekumpulan orang solat di belakang seorang imam yang mereka cintai, solat mereka menjadi lebih baik berbanding solat di belakang imam yang mereka tidak sukai."

Kedua: Ibnu Taimiyyah mengakui di beberapa tempat dalam kitab-kitabnya, terutamanya dalam kitab Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim, bahawa terdapat kumpulan-kumpulan ulama dan orang-orang yang memiliki keutamaan daripada kalangan ulama terdahulu sehingga ke zamannya yang sengaja berdoa di sisi kubur. Hal ini disebut dengan jelas di banyak tempat.

Para ulama yang menulis tentang manasik haji juga menganjurkan untuk berdoa di sisi kubur Nabi Muhammad ketika menziarahinya. Ibnu Taimiyyah menjawab tentang riwayat-riwayat mutawatir ini dari abad ke abad dengan menyatakan: "Umat ini berbeza pendapat, sebahagian besar ulama atau orang-orang yang benar (sidddiqin) mengamalkan perkara tersebut, manakala sebahagian lain melarangnya."

Jawapan kepada penyataan Ibnu Taimiyyah tersebut:

Tidak, umat ini tidak berbeza pendapat tentang keharusan berdoa di sisi kubur para nabi dan orang-orang soleh. Tidak ada satu pun nas yang sahih dan jelas daripada mana-mana imam yang muktabar yang melarang berdoa di sisi kubur, baik secara langsung ataupun tidak langsung.

Sekiranya kita menerima bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan umat, maka tidak ada alasan lagi untuk mengingkari amalan ini - walaupun menurut Ibn Taimiyyah sendiri -terutama kerana orang yang berdoa di sisi kubur lebih dekat kepada dalil yang benar. Oleh itu, janganlah kita mempedulikan kata-kata golongan yang suka mengganggu ini, yang tidak tahu apa yang mereka katakan dan yang mengkafirkan orang-orang Islam.

Rujukan:

Kasyf al-Sutur 'Amma Usykila Min Ahkam al-Qubur karangan Syeikh Dr Mamud Sa'id Mamduh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan