1 – Mandi Sunat Jumaat.
Disunatkan
mandi untuk orang yang ingin menghadiri solat Jumaat.
Orang yang
tidak diwajibkan solat Jumaat seperti perempuan, kanak-kanak atau orang musafir
pun turut disunatkan mandi sekiranya dia ingin hadir solat Jumaat kerana tujuannya
adalah untuk kebersihan dan mereka semua sama dalam hal ini.
Makruh
meninggalkan mandi sebelum solat Jumaat.
Ini berdasarkan
riwayat Ibnu Umar bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila
salah seorang daripada kamu mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah dia mandi.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tidak
disunatkan mandi sunat Jumaat bagi sesiapa yang tidak mahu hadir solat Jumaat,
walaupun dia termasuk orang yang diwajibkan solat Jumaat kerana tiada keperluan
untuk mandi tersebut dan berdasarkan riwayat Ibnu Umar bahawa Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: "Sesiapa yang pergi solat Jumaat dari kalangan
lelaki dan wanita, maka hendaklah dia mandi dan sesiapa yang tidak
mendatanginya, maka tidak wajib mandi baginya dari kalangan lelaki dan wanita."
(Riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang sahih)
Berbeza
dengan hari raya yang disunatkan mandi bagi semua orang dan tidak dikhususkan hanya
bagi sesiapa yang menghadiri solat hari raya sahaja kerana mandi hari raya
adalah untuk berhias dan menzahirkan kegembiraan, manakala mandi Jumaat adalah
untuk membersihkan diri dan menghilangkan gangguan (seperti bau busuk) kepada
orang lain. Namun ada pendapat yang mengatakan disunatkan mandi Jumaat bagi
setiap orang sama seperti hari raya.
Menurut
Ibnu Hajar, sunat mengqadhakan mandi sunat Jumaat, berbeza dengan pendapat al-Ramli.
Qadha' dituntut bagi seseorang yang apabila dia tahu bahawa ia boleh diqadha, maka
dia akan segera menunaikannya.
Waktunya
bermula dari terbit fajar sehingga
sebelum dia masuk ke dalam solat. Jika dia mandi sebelum terbit fajar, maka
tidak sah. Ini berdasarkan riwayat Abu Sa'id al-Khudri bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Mandi pada hari Jumaat adalah wajib (iaitu sangat
dituntut) ke atas setiap orang yang telah bermimpi (baligh)." (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Baginda mengaitkan
perbuatan mandi dengan hari Jumaat. Maka mandi sebelum terbit fajar tidak
dikira sebagai mandi pada hari Jumaat.
Lebih utama untuk
melewatkan mandi sehingga ketika dia hendak pergi ke solat Jumaat, berdasarkan
hadis riwayat Ibnu Umar yang disebut tadi: "Apabila salah seorang
daripada kamu hendak pergi ke solat Jumaat, maka hendaklah dia mandi."
Oleh kerana mandi itu hanya tujuannya untuk menghilangkan bau, maka jika dia
melakukannya ketika hendak pergi, maka ia lebih tepat dengan tujuan mandi itu
dan kesan mandi itu akan kekal.
Jika bertembung antara
mandi dan bersegera ke solat Jumaat, maka mandi adalah lebih utama.
Jika
seseorang telah mandi untuk solat Jumaat kemudian dia berhadas, maka dia
hendaklah berwuduk. Jika dia berjunub, maka dia hendaklah mandi junub dan mandi
Jumaatnya yang terdahulu tidak terbatal.
Jika
seseorang itu berjunub pada hari Jumaat, lalu dia berniat dengan mandinya itu
untuk mengangkat hadas junub dan juga untuk mandi Jumaat, maka ia memadai untuk
kedua-duanya. Ini sama seperti seorang wanita yang mandi dan berniat untuk
mengangkat hadas junub dan haid atau seperti seseorang yang berniat dengan
solatnya itu untuk solat fardhu dan tahiyyatul masjid, maka ia memadai untuk
kedua-duanya.
Jika dia
berniat mandi junub sahaja, maka ia memadai untuk mengangkat hadas junub,
tetapi tidak memadai untuk mandi Jumaat kerana dia tidak berniat untuknya. Ini
sama seperti jika dia mandi tanpa sebarang niat.
Jika dia
berniat untuk mandi Jumaat dan tidak berniat untuk mengangkat hadas junub, maka
dia telah mendapatkan mandi Jumaat, tetapi dia tidak mendapatkan mandi junub.
Jika
seseorang itu tidak mampu menggunakan air, sama ada dia telah berwuduk kemudian
kehabisan air, atau dia tidak mempunyai air yang cukup melainkan untuk berwuduk
sahaja dan tidak cukup untuk mandi, atau dia mempunyai luka di anggota selain
anggota wuduk, maka dia hendaklah bertayammum dengan niat mandi. Dia hendaklah
berniat tayammum itu sebagai ganti mandi Jumaat, untuk mendapatkan kelebihan
seperti mandi-mandi sunat yang lain.
2 - Memotong
kuku yang panjang.
Ini berdasarkan
riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam memotong kuku dan memotong misai
baginda pada hari Jumaat.
Seperti
hari Jumaat, hari Khamis dan Isnin juga digalakkan untuk memotong kuku.
Cara
terbaik memotong kuku tangan: mulakan dengan jari telunjuk kanan hingga
kelingking dan akhiri dengan ibu jari, manakala untuk tangan kiri mulakan dari
kelingking dan akhiri dengan ibu jari.
Untuk kaki:
mulakan dari kelingking kanan hingga kelingking kiri secara berturutan.
3 - Mencabut
bulu ketiak jika
mampu, jika tidak, boleh mencukurnya.
4 - Mencukur
bulu kemaluan.
Lebih baik
bagi lelaki untuk mencukurnya dan bagi wanita untuk mencabutnya.
Jangan
tangguhkan perkara tersebut apabila diperlukan dan sangat makruh
menangguhkannya melebihi empat puluh hari.
Adapun
mencukur kepala, tidak dituntut kecuali semasa haji atau umrah. Selain daripada
itu hukumnya harus.
5 - Memendekkan
misai sehingga
kelihatan warna merah bibir, dan makruh mencabutnya habis.
Sunat
menanam kuku dan rambut yang dipotong dan wajib jika ia dari kawasan aurat dan
dikhuatiri dilihat orang. Makruh membuangnya dalam tandas.
6 - Menyikat
janggut. Tidak
harus mencukur janggut.
7 - Mencelup
uban dengan warna
merah atau kuning dan haram dengan warna hitam.
8 - Bersugi.
9 - Memakai
wangi-wangian dan celak untuk orang lelaki.
Perkara 2
sehingga 9 ini berdasarkan riwayat Salman, beliau berkata: Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda: "Tidaklah seseorang itu mandi pada hari
Jumaat, dan bersuci semampunya, memakai minyak rambut, atau memakai
wangi-wangian dari rumahnya, kemudian dia keluar, dan dia tidak melangkah
antara dua orang, kemudian dia solat apa yang diwajibkan ke atasnya, kemudian
dia diam ketika imam berkhutbah, melainkan diampunkan dosanya antara Jumaat itu
dan Jumaat yang berikutnya." (Riwayat al-Bukhari)
Daripada
Abu Sa'id Al-Khudri, Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda: "Mandi pada hari Jumaat itu wajib (ditekankan)
ke atas setiap orang yang baligh, dan bersiwak, dan memakai wangi-wangian
sekadar kemampuannya." (Riwayat
Muslim)
10 - Berhias
dengan pakaian yang terbaik dan yang paling afdhal adalah warna putih.
Ini berdasarkan
riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersiwak, dan memakai wangi-wangian
jika ada, dan memakai pakaiannya yang terbaik dan keluar sehingga dia sampai ke
masjid, dan dia tidak melangkah tengkuk orang lain, kemudian dia rukuk seberapa
banyak yang Allah kehendaki dia rukuk, dan dia diam ketika imam keluar (untuk
berkhutbah), maka ia menjadi penebus dosa antara Jumaat itu dan Jumaat
sebelumnya."(Riwayat
Abu Daud dan Ibnu Majah)
Pakaian
yang paling afdal adalah yang berwarna putih, berdasarkan riwayat Samurah bin
Jundub beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Pakailah
pakaian yang berwarna putih kerana ia lebih suci dan lebih baik." (Riwayat
al-Hakim)
Baginda bersabda
dalam riwayat Ibnu Abbas: "Pakailah pakaian kamu yang berwarna putih,
kerana ia adalah sebaik-baik pakaian kamu, dan kafankanlah orang-orang mati
kamu dengannya."(Riwayat al-Tirmizi)
Disunatkan
bagi imam untuk berhias lebih daripada apa yang disunatkan bagi orang lain
kerana dia menjadi ikutan dan untuk mengikuti Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam, kerana baginda memakai serban dan jubah.
Daripada
'Amru bin Huraith, Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam berkhutbah kepada orang ramai dan baginda memakai serban hitam. (Riwayat
Muslim)
Dan
daripada Jabir, beliau berkata: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mempunyai
jubah yang baginda pakai pada dua hari raya dan hari Jumaat." (Riwayat
al-Baihaqi)
11 - Bersegera
ke masjid.
Diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa
yang mandi pada hari Jumaat kemudian pergi pada waktu yang pertama, maka
seolah-olah dia mengorbankan seekor unta. Sesiapa yang pergi pada waktu yang
kedua, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada
waktu yang ketiga, maka seolah-olah dia mengorbankan seekor kibas yang
bertanduk. Sesiapa yang pergi pada waktu yang keempat, maka seolah-olah dia
mengorbankan seekor ayam. Sesiapa yang pergi pada waktu yang kelima, maka
seolah-olah dia mengorbankan sebiji telur."
Dan dalam
riwayat yang sahih oleh al-Nasa'i, “pada waktu kelima seekor burung pipit,
dan pada waktu keenam sebiji telur.”
“Apabila
imam keluar, maka lembaran-lembaran dilipat, pena-pena diangkat, dan para
malaikat berkumpul dekat dengan mimbar untuk mendengar zikir (khutbah).”
Disunatkan
bersegera bagi selain imam dan yang paling utama adalah dari waktu fajar, maka
pahala dibahagikan antara waktu fajar dan khutbah kepada enam bahagian dan
berbeza-beza darjat orang yang datang pada awal waktu berbanding orang yang
datang pada akhir waktu.
Adapun
imam, maka disunatkan baginya untuk datang lewat sehingga waktu khutbah.
Diharamkan
bagi sesiapa yang wajib solat Jumaat untuk menyibukkan diri dengan jual beli
dan seumpamanya selepas azan yang kedua namun tidak terbatal akad jual beli
tersebut. Dimakruhkan jual beli dan seumpamanya selepas masuk waktu zohor pada
hari Jumaat.
Wajib bagi
orang yang tinggal jauh untuk berusaha menghadirinya walaupun sebelum masuk
waktunya supaya dia dapat menunaikannya. Dan diharamkan baginya untuk
menyibukkan diri dengan pekerjaan yang lain.
12 – Disunatkan
untuk menghadiri solat Jumaat dengan berjalan kaki jika mampu dan tidak menyukarkan diri, serta
tidak menaiki kenderaan tanpa keuzuran seperti sakit dan seumpamanya.
Hal ini
berdasarkan riwayat daripada Aus bin Aus ath-Thaqafi daripada bapanya, bahawa
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesiapa yang memandikan
(isterinya iaitu dengan menjimak isterinya) dan mandi pada hari Jumaat,
berangkat awal dan pergi lebih awal, berjalan kaki dan tidak menaiki kenderaan,
mendekati imam, mendengar khutbah serta tidak berbuat perkara sia-sia, maka
baginya pada setiap langkah ganjaran seperti pahala setahun berpuasa dan
berqiyam." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’I dan Ibnu Majah)
Disunatkan
juga berjalan kaki menuju solat Jumaat dengan tenang, berdasarkan riwayat
daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Apabila kamu pergi untuk solat, janganlah kamu pergi dengan
tergesa-gesa, tetapi pergilah dengan berjalan kaki dan dalam keadaan tenang.
Apa yang sempat kamu lakukan, maka solatlah, dan apa yang tertinggal,
sempurnakanlah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Amalan
sunat ini bukan khusus untuk solat Jumaat sahaja, tetapi juga meliputi semua
solat yang hendak ditunaikan, sebagaimana yang telah disebutkan. Walau
bagaimanapun, jika waktu sudah sempit, disunatkan untuk mempercepatkan langkah.
Hukum bagi orang yang menaiki kenderaan dalam hal ini adalah sama dengan orang
yang berjalan kaki, iaitu bergerak dengan tenang selagi waktu tidak sempit.
13 – Duduk
dekat dengan imam dan solat tahiyatul masjid sebelum duduk.
Apabila dia
masuk ke dalam masjid, hendaklah dia mencari saf yang pertama.
Sekiranya
apabila dia masuk ke masjid dia mendapati orang ramai telah berkumpul,
janganlah dia melangkahi tengkuk mereka. Yang dimaksudkan dengan melangkahi
ialah mengangkat kakinya sehingga ketika melangkah, ia berada di paras bahu
orang yang duduk. Melangkahi itu sangat dimakruhkan bagi selain imam. Adapun
imam, maka jika dia tidak dapat sampai ke mimbar kecuali dengan melangkah, maka
tidak dimakruhkan baginya.
Dan
dibolehkan melangkahi seorang atau dua orang bagi sesiapa yang mendapati ruang
kosong dan dimakruhkan baginya melangkahi lebih dari itu.
Tidak
dibenarkan seseorang menghalau orang lain dari tempat duduknya untuk dia duduk
di situ, berdasarkan riwayat daripada Ibnu Umar r.a., bahawa Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: "Janganlah seseorang menghalau orang lain dari
tempat duduknya, kemudian dia duduk di situ, tetapi katakanlah: ‘Lapangkanlah
atau luaskanlah (ruang untuk duduk)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika
seseorang duduk di suatu tempat di masjid, kemudian dia bangkit untuk sesuatu
keperluan seperti berwuduk atau sebagainya, lalu kembali, maka dia lebih berhak
terhadap tempat tersebut, berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah r.a.,
bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila
seseorang kamu bangkit dari tempat duduknya, kemudian dia kembali, maka dia
lebih berhak terhadap tempat itu." (Riwayat Muslim)
Jangan dia duduk
sehingga dia menunaikan solat tahiyatul masjid.
Disunatkan
solat dua rakaat ketika masuk ke masjid dalam semua keadaan, iaitu solat sunat
Tahiyatul Masjid.
Jika imam
sudah duduk di atas mimbar, maka memulakan solat sunat hukumnya adalah makruh,
berdasarkan riwayat daripada Tha’labah bin Abi Malik yang berkata: "Duduknya
imam memutuskan solat sunat, dan ucapannya memutuskan percakapan. Mereka dahulu
berbicara pada hari Jumaat sementara Umar bin al-Khattab duduk di atas mimbar.
Apabila muazin selesai azan, Umar berdiri, maka tiada seorang pun bercakap
sehingga beliau selesai menyampaikan dua khutbahnya. Apabila solat didirikan,
dan Umar turun dari mimbar, mereka kembali berbicara." (Diriwayatkan
oleh Imam al-Syafi’I dalam al-Umm)
Sekiranya
imam telah naik ke atas mimbar sedangkan seseorang sedang menunaikan solat,
disunatkan baginya untuk meringankan solat tersebut agar dia dapat memberi
perhatian kepada khutbah Jumaat.
Jika
seseorang masuk ke masjid ketika imam sedang duduk di atas mimbar atau sedang
berkhutbah, disunatkan baginya untuk menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid
dua rakaat secara ringan, berdasarkan hadis sahih: "Apabila salah
seorang daripada kamu masuk ke masjid, janganlah dia duduk sehingga dia solat
dua rakaat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dan juga
berdasarkan riwayat daripada Jabir bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu datang,
sedangkan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat." (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Serta
riwayat daripada Jabir bahawa Sulaik al-Ghatafani masuk ke masjid pada hari
Jumaat ketika Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam sedang berkhutbah,
lalu dia terus duduk. Maka Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda
kepadanya: "Bangunlah dan solatlah dua rakaat secara ringkas."
(Riwayat Muslim)
Namun, jika
seseorang masuk ketika imam berada di penghujung khutbah, maka dimakruhkan
baginya untuk menyibukkan diri dengan solat sunat atau Tahiyatul Masjid, kerana
dia akan terlepas rakaat pertama solat Jumaat bersama imam, sedangkan itu
adalah fardu. Maka, tidak dibenarkan menyibukkan diri dengan amalan sunat
sehingga mengabaikan yang fardu.
Jika
seseorang hadir sebelum khutbah dimulakan, dia disunatkan untuk menyibukkan
diri dengan berzikir kepada Allah Ta’ala, solat sunat, dan membaca al-Quran.
Tidak dimakruhkan solat sunat pada waktu matahari tegak di langit (istiwa’)
dan ini khusus pada hari Jumaat.
14 -
Diam dan mendengar khutbah.
Apabila
imam memulakan khutbah, disunatkan untuk diam dan mendengar khutbah,
berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah bahawa Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: "Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan
wuduknya, kemudian mendengar khutbah imam pada hari Jumaat sehingga selesai
solatnya, diampunkan baginya dosa antara dua Jumaat, dan tambahan tiga
hari." (Riwayat Muslim)
Tidaklah
haram bercakap ketika khutbah, tetapi disunatkan diam. Namun, dibolehkan
bercakap jika ada keperluan, berdasarkan riwayat daripada Anas, bahawa seorang
lelaki masuk ke masjid ketika Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berdiri di
atas mimbar pada hari Jumaat, lalu dia bertanya: "Bilakah kiamat akan
berlaku?" Orang ramai memberi isyarat kepadanya supaya diam. Kemudian
Nabi sallahu ‘alaihi wasallam berkata kepadanya pada kali ketiga: "Apa
yang telah kamu persiapkan untuknya?" Lelaki itu menjawab: "Cinta
kepada Allah dan Rasul-Nya." Nabi sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
"Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai." (Riwayat
al-Baihaqi)
Sekiranya
seseorang melihat orang buta hampir terjatuh ke dalam perigi atau melihat kala
jengking mendekati seseorang, maka tidak haram baginya untuk bercakap memberi
amaran, kerana memberi peringatan adalah hak manusia, manakala mendengar
khutbah adalah hak Allah Ta’ala, dan hak ini dibina atas dasar toleransi.
Disunatkan
diam mendengar khutbah berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah, bahawa Nabi sallahu
‘alaihi wasallam bersabda: "Apabila kamu berkata kepada temanmu
pada hari Jumaat, ‘Diamlah,’ sedangkan imam sedang berkhutbah, maka kamu telah
melakukan perkara sia-sia." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam satu
riwayat daripada Ali, disebutkan: "Sesiapa yang bercakap perkara sia-sia,
maka tiada baginya (pahala) Jumaat pada hari itu." (Riwayat Abu Daud)
Jika
seseorang memberi salam atau bersin, maka dibolehkan menjawab salam dan
mengucapkan tasymit (mendoakan orang yang bersin).
15 - Solat
Sunat Jumaat:
Disunatkan
untuk solat sunat Jumaat sebelumnya empat rakaat dan selepasnya empat rakaat. Terhasil
pahala solat sunat Jumaat dengan dilakukan dua rakaat sebelumnya dan dua rakaat
selepasnya. Ini berdasarkan riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu selesai
solat Jumaat, maka hendaklah dia solat empat rakaat selepasnya." (Riwayat
Muslim).
Ibnu Mas'ud
juga pernah melakukan solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat
selepasnya. (Riwayat al-Tirmizi)
Nampaknya,
ini berdasarkan yang beliau ambil daripada Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
atau beliau ketahui daripada perbuatan Nabi sallahu ‘alaihi wasallam.
Disunatkan
untuk memisahkan antara setiap dua rakaat dan memberi salam padanya
16 - Membaca
surah al-Kahfi pada hari dan malamnya (dan membacanya pada siang hari lebih
ditekankan) berdasarkan hadis: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi
pada hari Jumaat, nescaya akan diterangi baginya dengan cahaya di antara dua
Jumaat." (Riwayat al-Baihaqi dan al-Hakim dan beliau berkata: “Sanadnya
sahih.”)
Dan
diriwayatkan: "Sesiapa yang membacanya pada malamnya, nescaya akan
diterangi baginya dengan cahaya antara dirinya dan Baitul Atiq." (Riwayat
al-Hakim dan al-Baihaqi).
Imam Syafie
berkata: "Aku suka memperbanyakkan bacaan surah al-Kahfi pada malam
Jumaat dan membacanya pada waktu siang lebih ditekankan."
17 - Memperbanyakkan
selawat ke atas Nabi pada hari dan malamnya, berdasarkan hadis: "Perbanyakkanlah
selawat ke atasku pada malam Jumaat dan hari Jumaat, maka sesiapa yang
berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh
kali." (Riwayat Al-Baihaqi dengan sanad yang baik.)
Diriwayatkan
daripada Aus bin Aus ath-Thaqafi daripada bapanya, beliau berkata bahawa
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya
antara hari yang paling utama bagi kamu adalah hari Jumaat. Maka
perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu, kerana sesungguhnya selawat
kamu akan dipersembahkan kepadaku." (Riwayat Abu Daud, al-Nasa’I dan Ibnu
Majah)
Jumlah
minimum yang dianggap banyak ialah tiga ratus kali.
18 - Bersedekah.
19 - Memperbanyakkan
doa pada hari Jumaat
agar bertepatan dengan waktu mustajab, kerana waktu mustajab itu ada pada hari
Jumaat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
"Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu waktu yang tidaklah seorang hamba
bertepatan dengannya memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan
mengurniakannya."
Dan waktu
yang paling diharapkan untuk dimustajabkan doa ialah antara duduknya imam untuk
berkhutbah dan salamnya, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim.
Diriwayatkan
juga: "Pada hari Jumaat ada dua belas waktu, maka carilah ia pada waktu
terakhir selepas Asar." Riwayat An-Nasa'i dan diriwayatkan bahawa ia
adalah pada akhir waktu Asar.
Dan
sebaik-baik doa yang dipanjatkan ialah memohon kepada Allah Taala kesejahteraan
di dunia dan akhirat.
20 - Membaca
surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas, tujuh kali setiap surah, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Nawawi
dalam al-Azkar dari Ibnu al-Sunni:
"Sesiapa
yang membaca selepas solat Jumaat: Qul huwallahu ahad, Qul a'udzu bi rabbil
falaq dan Qul a'udzu bi rabbin nas, tujuh kali, nescaya Allah akan
melindunginya daripada kejahatan sehingga Jumaat yang lain."
Kemudian
dia berkata:
اللَّهُمَّ يَا غَنِيُّ يَا
حَمِيدُ يَا مُبْدِئُ يَا مُعِيدُ يَا رَحِيمُ يَا وَدُودُ أَغْنِنِي بِحَلَالِك
عَنْ حَرَامِك وَبِفَضْلِك عَمَّنْ سِوَاك
"Ya
Allah, wahai Yang Maha Kaya, wahai Yang Maha Terpuji, wahai Yang Maha Memulai,
wahai Yang Maha Mengembalikan, wahai Yang Maha Penyayang, wahai Yang Maha
Pengasih, cukupkanlah aku dengan yang halal daripada yang haram, dan dengan
kurniaan-Mu daripada selain-Mu.
Nescaya
Allah akan mencukupkannya dan mengurniakannya rezeki dari arah yang tidak
disangka-sangka.”
Diriwayatkan
oleh Ibnu al-Sunni dengan sanad yang daif.
Rujukan:
1 - Al-Mu’tamad
Fi al-Fiqh al-Syafi’i oleh Dr Muhamamd Mustafa al-Zuhaili.
2 - Zubdah
al-Fiqh al-Syafi’i oleh Syeikh Majid al-Hamawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan