1 - Ulama terawal yang ditemui membincangkan tentang isu ini ialah Imam al-Hakim, di mana beliau menyebut dalam kitab Ma'rifat Ulum al-Hadith: “Adapun al-Bukhari dan Muslim, mereka tidak mempunyai anak lelaki.”
Ibn al-Athir dalam kitab Jami' al-Usul dan Tash Kubri Zadah dalam kitab Miftah al-Sa'adah turut menyokong kenyataan ini.
2 - Al-Khatib al-Tibrizi
dan Mulla Ali al-Qari pula menyatakan bahawa Imam al-Bukhari meninggal dunia
tanpa anak.
3 - Al-'Ajluni pula sampai ke tahap meragui sama ada Imam
al-Bukhari pernah berkahwin atau tidak, dengan mengatakan: “Sekiranya Imam (al-Bukhari)
pernah berkahwin, tentulah kita akan menemui maklumat tentangnya.”
4 - Fakta mengenai Imam Bukhari mempunyai isteri telah
dibuktikan oleh Muhammad bin Abi Hatim al-Warraq yang merupakan orang yang paling rapat
dengan Imam al-Bukhari. Oleh itu kenyataan al-'Ajluni adalah tertolak.
Al-Warraq telah menyebut bahawa beliau membeli sebuah rumah,
lalu Imam al-Bukhari ingin membantunya membayar harganya dengan berkata:
"Saya mempunyai hamba-hamba perempuan dan isteri, sedangkan kamu bujang, maka wajib bagi saya berkongsi separuh dengan kamu agar kita sama rata dalam harta dan lainnya."
5 - Mengenai anaknya pula,
Abu Said Bakr bin Munir meriwayatkan: “Telah dibawa kepada Muhammad bin
Ismail barang dagangan, yang dihantar kepadanya oleh anaknya, Ahmad Abu Hafs,
maka beberapa orang peniaga berkumpul di sekelilingnya pada waktu petang,
mereka membelinya dengan keuntungan lima ribu dirham, maka beliau berkata
kepada mereka: Pulanglah kamu semua pada malam ini ...”
Disebutkan ‘dihantar kepadanya oleh anaknya Ahmad’ oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq, Ibn Manzur dalam Mukhtasar Ibn Asakir, al-Zahabi dalam al-Siyar dan Tarikh al-Islam dan al-Subki dalam Tabaqat al-Shafi'iyyah.
Akan tetapi, al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan kisah yang
sama dari sanad yang sama yang beliau catatkan sebagai ‘dihantar kepadanya
oleh si fulan’ sebagai ganti perkataan ‘Ahmad’. Ibnu al-Jauzi dalam al-Muntazam
dan Sifat al-Safwah turut mengikutinya dan al-Hafiz Ibnu Hajar menukilkannya
dalam Hadyu al-Sari dan al-Taghliq, tetapi dalam kedua-duanya
tertulis: ‘Dihantar kepadanya oleh Abu Hafs’, iaitu dengan menyebutnya kunyahnya.
9 - Tiada percanggahan dalam kisah ini kerana orang yang menghafal adalah hujah ke atas orang yang tidak menghafal dan yang menetapkan didahulukan daripada yang menafikan.
Jelas bahawa Imam al-Bukhari mempunyai seorang anak lelaki dan menamakannya sebagai Ahmad sempena nama Nabi sallahu ‘alaihi wasallam (kerana baginda juga digelar sebagai Ahmad).
Imam al-Bukhari namanya Muhammad dan anaknya pula bernama
Ahmad. Nama anaknya itu juga sama dengan
nama saudara kandung Imam al-Bukhari yang juga bernama Ahmad.
Rujukan:
- الإمام البخاري أستاذ الأستاذين وإمام المحدثين وحجة المجتهدين وصاحب الجامع المسند الصحيح - عبد الستار الشيخ.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan