Surah al-Ikhlas adalah surah Makkiyyah (diturunkan sebelum Hijrah) yang membincangkan tentang sifat-sifat Allah Yang Maha Esa dan Yang Maha Sempurna dengan segala sifat kesempurnaan. Dia yang sentiasa menjadi tempat bergantung bagi sekalian makhluk-Nya dalam memenuhi keperluan dan hajat mereka. Allah Maha Kaya tidak memerlukan segala sesuatu daripada selain-Nya. Dia bukan dari kalangan yang mempunyai ibu bapa atau anak kerana kewujudan-Nya adalah tanpa didahului ketiadaan ada dan kekal wujud selama-lamanya tanpa pengakhiran dan tidak ada sesuatu pun dalam alam ini yang menyerupai-Nya. Surah ini juga untuk membantah golongan Nasrani yang mengatakan konsep triniti, serta membantah kaum musyrikin yang mengatakan Allah mempunyai keturunan dan anak.
Sebab surah ini diturunkan kerana orang-orang musyrik
berkata kepada Nabi : "Terangkan kepada kami nasab Tuhanmu",
lalu Allah menurunkan: “Katakanlah: Dialah Allah Yang Maha Esa.” Diriwayatkan
dari Ibnu ‘Abbas: “Kaum Quraisy berkata: Wahai Muhammad, sifatkan kepada
kami Tuhanmu yang engkau seru kami kepada-Nya", lalu turunlah surah
ini dan dalam riwayat lain dari Ibnu ‘Abbas juga bahawa yang bertanya itu
adalah orang-orang Yahudi.
Surah ini dinamakan dengan banyak nama, yang paling masyhur
adalah Surah al-Ikhlas kerana ia membicarakan tentang tauhid yang murni kepada
Allah, yang Maha Suci daripada segala kekurangan dan bebas daripada segala
bentuk syirik. Ia dinamakan demikian juga kerana ia membebaskan hamba daripada
syirik atau dari api neraka. Selain itu, ia juga dinamakan Surah al-Tafrid, al-Tajrid,
al-Tauhid, al-Najat, atau al-Wilayah kerana sesiapa yang membacanya menjadi
daripada kalangan wali Allah, atau sebagai Surah al-Ma‘rifah. Ia juga dikenali
sebagai Surah al-Asas kerana kandungannya merangkumi asas-asas agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan