Definisi al-Jarh Dari Segi Bahasa dan Istilah:
Al-Jarh (الجرح)
dari segi bahasa bermaksud: الطَّعْن (Mencela/menuduh/meragukan).
Apabila dikatakan: Hakim telah menjarh saksi, iaitu
apabila dia mendapati sesuatu yang menggugurkan sifat ‘adil-nya seperti
dusta dan selainnya.
Apabila dikatakan: Menjarh seseorang, bermaksud
menolak kesaksiannya.
Perkataan a-iIstijrah (الاستجراحُ)
bermaksud kekurangan, kecacatan, dan kerosakan.
Dan dari segi kiasan (majaz), apabila dikatakan: Dia
telah menjarhnya dengan lidahnya, iaitu: Mencacinya. Dan mereka telah
menjarhkannya, iaitu: Jika mereka mencaci dan mencelanya.
Al-Jarh digunakan untuk menyatakan kecacatan dan
kekurangan seseorang daripada kedudukan yang adil dan lurus.
Al-Jarh dalam istilah ahli hadis: Suatu sifat yang
apabila ada pada perawi atau saksi, maka gugurlah pengiktirafan terhadap
kata-katanya dan terbatallah kebolehpercayaan padanya.
Ia juga ditakrifkan sebagai: Celaan terhadap perawi dengan
perkara yang mencacatkan ke’adilannya atau kedhabitannya.
Definisi al-Ta'dil Dari Segi Bahasa dan Istilah:
Al-Ta'dil dari segi bahasa: Menyucikan seseorang,
memujinya dan menisbahkannya kepada ke’adilan dan keseimbangan dalam
urusannya.
Dikatakan al-'Adl daripada kalangan manusia
bermaksud: Orang yang diterima perkataannya dan hukumnya.
Menta'dilkan para saksi bermaksud: Mengatakan mereka
adalah orang-orang yang ‘adil.
Al-Ta'dil menurut istilah ahli hadis: Sifat yang
apabila ada pada perawi atau saksi, maka diterima dan diambil perkataan mereka
berdua.
Ia juga didefinisikan sebagai: Menyucikan perawi bahawa dia ‘adil
atau dhabit.
Definisi Ilmu al-Jarh wa al-Ta'dil:
Ia adalah ilmu yang berkaitan dengan menjelaskan kedudukan
para perawi dari segi mendaifkan atau menthiqahkan mereka dengan istilah-istilah
teknikal yang dikenali di kalangan ulama. Istilah-istilah ini mempunyai
penggunaan yang tepat dan makna yang khusus, yang penting dalam menilai sanad
hadis.
Para ulama telah membenarkan untuk menyebut kelemahan para
perawi hadis ketika mengkritik mereka dan mereka tidak menganggapnya sebagai ghibah
(mengumpat) yang diharamkan. Mereka berdalilkan hal itu dengan hadis-hadis dan
athar-athar yang akan disebutkan nanti.
Faedah Ilmu Ini:
Dalam menjelaskan al-jarh (kritikan terhadap perawi)
terdapat faedah yang besar iaitu agar tidak berhujah dengan khabar-khabar orang yang
tidak ‘adil dan tujuannya bukan untuk mencela mereka dan menjatuhkan
maruah mereka yang termasuk dalam bab ghibah.
Pensyariatan al-Jarh wa al-Ta'dil:
Al-Jarh wa al-Ta'dil dibenarkan untuk memelihara syariat,
menafikan kesilapan dan pendustaan, serta mempertahankan syariat. Sebagaimana
dibenarkan al-Jarh dalam bab penyaksian, dibenarkan juga dalam bab
periwayatan. Ini telah dibuktikan oleh al-Quran, Sunnah, ijma', dan pendapat
ulama.
1 - Al-Quran:
Adapun al-Quran, terdapat ayat-ayat yang memerintahkan
penerimaan khabar orang yang ‘adil dan kesaksiannya, serta memberi
amaran tentang khabar orang yang fasik:
Seperti firman Allah: "Dan persaksikanlah dengan dua
orang saksi yang adil di antara kamu" [At-Talaq: 2].
Dan firmanNya berkenaan al-Jarh: "Wahai
orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu
berita, maka selidikilah" [Al-Hujurat: 6].
Dan firmanNya berkenaan al-Ta'dil: "Dan
orang-orang yang terdahulu - yang pertama-tama (dari kalangan) Muhajirin dan
Ansar, dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan, Allah redha
kepada mereka dan mereka redha kepadaNya" [At-Taubah: 100].
2 - Sunnah:
Adapun Sunnah, antara yang terpenting berkenaan al-Jarh
ialah sabda Baginda sallahu ‘alaihi wasallam tentang orang bodoh yang
ditaati: "Dia adalah seburuk-buruk saudara dalam kaumnya dan
seburuk-buruk anak dalam kaumnya."
Berkenaan al-Ta'dil, sabda Baginda sallahu ‘alaihi
wasallam tentang Abdullah bin Umar: "Sesungguhnya Abdullah itu
lelaki yang soleh."
3 - Ijmak:
Adapun ijmak, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi berkata: "Ahli
ilmu telah berijmak bahawa: Tidak diterima melainkan khabar orang yang ‘adil,
sebagaimana tidak diterima melainkan kesaksian orang yang ‘adil. Apabila ini
telah sabit, maka wajib apabila tidak diketahui ke’adilan pembawa khabar dan
saksi, hendaklah ditanya tentang mereka, atau diminta penjelasan tentang
keadaan mereka daripada orang yang mengenali mereka; kerana tidak ada jalan
untuk mengetahui keadaan mereka melainkan dengan merujuk kepada kata-kata orang
yang mengenali mereka dalam penilaian mereka, maka ini menunjukkan bahawa ia
adalah sesuatu kemestian."
4 – Pendapat Ulama:
Adapun pendapat ulama dalam hal ini banyak, antaranya:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa ditanya tentang ilmu yang
dia ketahui, kemudian dia menyembunyikannya, maka dia akan dikekang pada hari kiamat
dengan kekangan dari api neraka."
Hadis ini umum merangkumi pengetahuan tentang keadaan para
perawi. Oleh itu, Imam Ahmad bin Hanbal ketika ditanya tentang hal tersebut
berkata: "Jika kamu diam dan saya diam, maka bilakah orang jahil akan
mengetahui yang sahih dari yang daif?!"
Imam Abdullah bin al-Mubarak berkata: "Jika kita
tidak menjelaskan, maka bagaimana dapat dibezakan antara kebenaran dengan
kebatilan?!"
Yahya bin Said berkata: "Saya bertanya kepada
Syu'bah, Sufyan, Malik bin Anas dan Sufyan bin Uyainah tentang seseorang yang
dituduh dalam (memalsukan) hadis atau tidak menghafalnya? Mereka berkata:
Jelaskan keadaannya kepada orang ramai."
'Affan berkata: "Kami sedang duduk bersama Ismail
bin Ulayyah. Lalu seorang lelaki meriwayatkan hadis (yang diambil) daripada
seorang perawo. Maka aku berkata: Sesungguhnya orang ini tidak thabit (tidak
kuat dalam periwayatan hadis). Lelaki itu berkata: Engkau telah mengumpatnya.
Ismail berkata: Dia tidak mengumpatnya, tetapi dia menghukum bahawa orang itu
tidak thabit.”
Abu Bakar bin Abu Khallad berkata: “Aku bertanya kepada
Yahya bin Said Al-Qattan: Tidakkah engkau takut orang-orang yang engkau
tinggalkan hadis mereka akan menjadi musuhmu di sisi Allah Ta'ala?! Beliau
menjawab: Mereka menjadi musuhku adalah lebih aku sukai daripada Rasulullah sallahu
‘alaihi wasallam menjadi musuhku. Baginda bersabda: Mengapa engkau meriwayatkan
dariku hadis yang engkau tahu ia dusta?"
Dengan demikian, jelaslah kepada kita melalui apa yang telah
lalu bahawa perbincangan dalam al-Jarh wa al-Ta'dil
bukanlah ghibah dan bukan perkara yang haram, bahkan ia adalah wajib
yang didorong oleh pemeliharaan terhadap sunnah Nabi sallahu ‘alaihi
wasallam daripada penyelewengan orang-orang yang melampau, pemalsuan
orang-orang yang batil, dan pentakwilan orang-orang yang jahil.
Kemunculan Ilmu al-Jarh wa al-Ta'dil:
Ilmu ini adalah antara yang unik yang hanya dimiliki umat
Islam berbanding umat-umat lain. Umat Islam telah menyerlah dengan pengasasan,
pembentukan, pengkaedahan dan kepelbagaian dalam ilmu ini. Ia terhasil daripada
usaha memelihara sunnah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam daripada
penyelewengan dan pencemaran, serta perjuangan menentang pendusta dan penipu.
Ilmu ini muncul pada zaman para sahabat sebagai tunas yang
halus, kemudian berkembang, bertambah, menguat dan mantap pada kurun pertama
dan kedua, terus berkembang dan meluas, dan mula sempurna pada kurun ketiga dan
keempat, sehinggalah mencapai kesempurnaan pada kurun kesembilan Hijrah. Banyak
kitab telah dihasilkan dan penulisan yang pelbagai telah dikarang. Kemudian
pada zaman kita, beberapa masalah, perincian dan tokoh telah dikaji secara
khusus sehingga hampir mencapai tahap matang dan sempurna, walaupun sesebuah ilmu
itu tidak mempunyai penghujung dan pengakhiran.
Dengan ilmu yang agung dan kaedah yang teliti lagi bijaksana
ini, generasi terdahulu dan kemudian dapat mendedahkan kecacatan dalam setiap
ilmu yang dinukilkan: sama ada hadis Nabi, percakapan biasa, syair, prosa
sastera, sejarah peribadi atau politik. Maka ilmu ini ibarat menjadi mikroskop
yang benar dan cermin yang jernih, yang memisahkan untuk orang yang melihat
dengannya antara yang sahih dengan yang cacat, membezakan antara yang baik
dengan yang buruk, yang benar dengan yang dusta, dan menimbang kebaikan dan
keburukan dengan neraca yang lurus.
Permulaan Perbincangan tentang Para Perawi dalam al-Jarh
wa al-Ta'dil:
Telah disebutkan sebelum ini dalam pensyariatan al-Jarh
wa al-Ta'dil bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam telah melakukan al-Jarh
wa al-Ta'dil, sebagaimana sekumpulan sahabat, tabiin dan generasi selepas
mereka juga bercakap tentang para perawi. Tetapi pada zaman tabiin - iaitu jika
dibandingkan dengan generasi selepas mereka - hanya sedikit, kerana sedikitnya
kelemahan pada generasi tabiin dan kerana kebanyakan mereka adalah sahabat yang
adil dan selain sahabat daripada kalangan tabiin kebanyakannya adalah thiqah
(dipercayai).
Hampir tidak ditemui pada kurun pertama yang meliputi para
sahabat dan tabiin senior adanya perawi yang lemah kecuali hanya sedikit.
Apabila berlalu kurun pertama dan masuk kurun kedua, terdapat pada awalnya dari
kalangan tabiin pertengahan sekumpulan perawi yang lemah, yang kebanyakannya
dilemahkan dari sudut penerimaan dan hafalan hadis mereka. Maka kita dapati
mereka melakukan marfu' kepada hadis mawquf (ucapan sahabat
dijadikan ucapan Nabi), banyak melakukan irsal (menggugurkan perawi
dalam sanad), dan mereka mempunyai kesilapan dalam periwayatan hadis.
Ibnu 'Adi telah menyenaraikan dalam mukadimah kitabnya, al-Kamil
sekumpulan tokoh yang berbincang tentang tauthiq (pengiktirafan perawi)
dan tad'if (pelemahan perawi) sehingga zamannya.
Antara para sahabat yang disebutkannya:
1 - Umar bin al-Khattab (meninggal tahun 23H).
2 - Ali bin Abi Talib (meninggal tahun 40H).
3 - Abdullah bin Abbas (meninggal tahun 68H).
4 - Abdullah bin Salam (meninggal tahun 43H).
5 - Ubadah bin al-Samit (meninggal tahun 34H).
6 - Anas bin Malik (meninggal tahun 90H).
7 - Aisyah (meninggal tahun 57H).
Dan dari kalangan Tabi'in:
1 - Amir bin Syarahil al-Sya'bi (meninggal tahun 103H).
2 - Muhammad bin Sirin (meninggal tahun 110H).
3 - Said bin al-Musayyab (meninggal tahun 94H).
4- Said bin Jubair (meninggal tahun 95H).
Ketika di penghujung zaman tabiin - iaitu sekitar tahun 150
- beberapa imam telah berbincang tentang tauthiq dan tad’if terhadap perawi
perawi:
1 - Imam Abu Hanifah al-Nu'man (meninggal tahun 150H), yang
berkata: "Saya tidak pernah melihat pembohong yang lebih besar dari
Jabir al-Ju'fi".
2 - Sulaiman bin Mihran al-A'mash (meninggal tahun 148H) telah mendaifkan
sekumpulan perawi dan menthiqahkan yang lain.
3 - Syu'bah bin al-Hajjaj (meninggal tahun 160H) telah menilai
perawi-perawi dan beliau sangat ketat sehingga hampir tidak meriwayatkan hadis
kecuali dari perawi yang dipercayai. Begitu juga Imam Malik bin Anas (meninggal
tahun 179H).
Antara mereka yang diterima penilaiannya terhadap perawi
pada zaman ini ialah:
1 - Ma'mar bin Rasyid al-Azdi (meninggal tahun 153H).
2 - Hisyam bin Abi Abdullah al-Dastuwa'i (meninggal tahun 154H).
3 - Abdurrahman bin Amru al-Auza'i (meninggal tahun 157H).
4 - Sufyan bin Said al-Thauri (meninggal tahun 161H).
5 - Abdul Aziz bin Abdullah Ibnul Majisyun (meninggal tahun 164H).
6 - Hammad bin Salamah bin Dinar (meninggal tahun 167H).
7 - Al-Laith bin Sa'ad (meninggal tahun 175H), dan
lain-lain.
Kemudian, beliau menyenaraikan beberapa lapisan generasi
yang berbicara mengenai perawi sehingga sampai kepada dua orang pakar hadis
yang berwibawa: Yahya bin Sa'id al-Qattan (meninggal tahun 198 H) dan Abdur Rahman
bin Mahdi (meninggal tahun 198 H). Ibnu ‘Adi berkata: "Sesiapa yang
mereka jarh, maka tidak diterima dan sesiapa yang mereka thiqahkan, maka dia
diterima. Jika mereka berbeza pendapat mengenai seseorang - meskipun jarang -
maka ijtihad dilakukan dalam menilai keadaannya."
Kemudian disebutkan selepas mereka ramai lagi ulama. Selepas
itu, kitab-kitab mula disusun dan ditulis mengenai al-Jarh wa al-Ta'dil serta
'ilal (kecacatan hadis).
Setelah itu Ibnu ‘Adi menyebutkan lagi beberapa orang tokoh
dalam al-Jarh wa al-Ta'dil, antaranya:
1 - Imam Yahya bin Ma'in (meninggal tahun 233 H).
2 - Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal tahun 241 H).
3 - Imam Muhammad bin Sa'd (meninggal tahun 230 H).
4 - Imam Ali bin al-Madini (meninggal ada tahun 234 H) dan ramai lagi.
Sumber:
Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan