Surah al-Falaq adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah). Di dalamnya terdapat pengajaran kepada hamba-hamba-Nya supaya berlindung kepada penjagaan Allah yang merupakan pencipta waktu subuh. Sebab disebutnya waktu subuh secara khusus adalah kerana kemunculan cahaya subuh setelah kegelapan yang pekat adalah seperti perumpamaan datangnya kelapangan setelah kesusahan. Sebagaimana manusia menantikan terbitnya fajar, begitu juga orang yang takut menantikan datangnya kejayaan.
Begitu juga diperintahkan agar memohon perlindungan dengan
keagungan dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan makhluk-Nya dari kalangan manusia, jin, binatang, serangga
dan dari kejahatan setiap yang menyakiti.
Allah juga memerintahkan agar meminta pelindungan daripada
kejahatan malam apabila gelap. Ini kerana jiwa manusia merasa takut kepada
waktu malam dan kerana berleluasanya binatang buas dan berbisa serta
orang-orang jahat dan pendosa dari kalangan manusia dan jin pada waktu itu.
Diperintahkan juga supaya berlindung daripada kejahatan ahli
sihir yang membuat simpulan pada tali-tali dan meniup padanya untuk
membahayakan hamba-hamba Allah dengan sihir mereka dan memisahkan antara suami
dan isteri.
Begitu juga berlindung dari kejahatan setiap pendengki yang
mengharapkan hilangnya nikmat dari orang lain dan tidak redha dengan nikmat
yang telah Allah Ta'ala berikan kepadanya.
Surah ini adalah salah satu daripada dua surah perlindung (al-Mu'awwizatain) yang Nabi sallahu ‘alaihi wasallam menggunakannya sebagai pelindung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan