Surah al-Asr adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum
Hijrah) yang diturunkan dalam bentuk ringkas dan jelas. Surah ini menjelaskan
sebab kejayaan atau kerugian manusia dalam kehidupannya di dunia dan akhirat.
Allah bersumpah dengan masa, iaitu zaman atau waktu yang
dilalui oleh manusia kerana di dalamnya terdapat pengajaran dan silih berganti
siang dan malam, peredaran gelap dan terang, perubahan peristiwa, negara, dan keadaan
yang menunjukkan kewujudan Sang Pencipta serta keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya.
Allah bersumpah dengan masa bahawa manusia itu dalam
kerugian, kebinasaan dan kesesatan dari kebenaran kerana leka dalam urusan
dunia dan mengikuti syahwat mereka, melainkan empat golongan yang dikecualikan
oleh Allah iaitu mereka yang memiliki empat sifat iaitu:
1 - Beriman.
2 - Beramal soleh.
3 - Saling berpesan dengan perkara kebaikan.
4 - Saling berpesan untuk bersabar.
Orang-orang yang menghimpunkan antara iman kepada Allah dan
amal soleh, maka mereka itu beroleh keuntungan, bukan kerugian kerana mereka
beramal untuk akhirat dan amalan-amalan dunia tidak melalaikan mereka
daripadanya. Maka mereka beriman dengan hati mereka dan beramal dengan anggota
badan mereka.
Begitu juga dengan orang-orang yang saling berpesan dan
mengajak antara satu sama lain dengan kebaikan iaitu perkara mesti dalam Islam dan
tidak boleh diingkari iaitu: Beriman kepada Allah dan mengesakan-Nya,
melaksanakan apa yang disyariatkan oleh Allah dan menjauhi apa yang
dilarang-Nya.
Golongan keempat yang dikecualikan oleh Allah ialah orang-orang
yang saling berpesan dan menyeru antara satu sama lain untuk bersabar dalam
melaksanakan perintah Allah, menjauhi larangan-Nya dan sabar atas takdir dan
ujian-Nya.
Mereka inilah orang-orang mukmin yang soleh, yang melakukan
kebaikan dan mengajak orang lain untuk melakukannya dan tidak akan berganjak
daripada menyeru kepadanya walaupun menghadapi kesusahan dan ujian di jalannya.
Mereka inilah yang terselamat daripada kerugian dan beruntung di dunia dan
akhirat.
Oleh kerana pentingnya surah ini, Imam Syafie berkata: "Sekiranya
Allah tidak menurunkan selain surah ini, maka ia sudah mencukupi untuk
manusia."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan