Surah al-Kafirun adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan surah ini adalah tentang tauhid dan penolakan terhadap syirik dan kesesatan.
Kaum musyrikin telah mengajak Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam untuk berkompromi, dengan meminta baginda menyembah tuhan-tuhan
mereka selama setahun dan mereka pula akan menyembah Tuhan baginda selama
setahun. Maka, surah ini diturunkan untuk memutuskan harapan orang-orang kafir,
menyelesaikan perselisihan antara dua golongan iaitu ahli iman dan penyembah
berhala, serta menolak idea yang tidak masuk akal itu secara tegas pada masa
kini dan akan datang.
Dalam surah yang mulia ini, Allah memerintahkan Rasul-Nya
untuk memutuskan harapan orang-orang kafir dalam usaha mereka untuk berkompromi
mengenai akidah baginda, kerana terdapat perbezaan yang jelas antara baginda
dan mereka dalam hal sembahan dan cara beribadah.
Dalam hal sembahan, orang-orang beriman hanya menyembah
Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya dengan apa-apa, manakala orang-orang
kafir menyembah selain Allah seperti berhala, patung, sekutu-sekutu, perantara
dari kalangan manusia, malaikat, bintang-bintang atau perkara lain daripada kepercayaan
dan ajaran yang palsu.
Adapun perbezaan dari segi cara ibadah, orang-orang beriman
menyembah Allah dengan ikhlas tanpa syirik dan tidak lali terhadap yang
disembah serta mengikut cara ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah kepada
hamba-hamba-Nya, iaitu cara yang diredai oleh-Nya. Sebaliknya, orang-orang
kafir dan musyrik menyembah tuhan-tuhan mereka dengan cara-cara yang
mengandungi syirik dan penyekutuan dengan selain Allah, serta dengan cara-cara
yang mereka cipta sendiri, yang tidak diredai oleh Tuhan mereka.
Maka, bagi kamu wahai orang-orang kafir, agama kamu yang kamu warisi daripada nenek moyang kamu dan kamu redai untuk diri kamu iaitu syirik dan bagi aku agamaku yang Allah redai untukku, iaitu agama kebenaran dan tauhid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan