Surah al-Masad adalah surah Makkiyah (diturunkan sebelum Hijrah) dan ia juga dikenali sebagai Surah al-Lahab atau Surah Tabbat.
Sebab surah ini diturunkan kerana Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi
wasallam diperintahkan untuk menyampaikan dakwah Islam kepada orang-orang
di sekelilingnya. Baginda menyeru penduduk Mekah untuk berkumpul dan mengajak
mereka beriman kepada keesaan Allah dan kebangkitan semula selepas mati. Namun,
bapa saudaranya, Abu Lahab, menolak seruan itu dengan berkata, "Celakalah
kamu! Adakah untuk ini kamu menyeru kami?" Kemudian, dia melemparkan
batu ke arah Nabi. Lalu, turunlah ayat pertama yang menyatakan tentang kerugian
Abu Lahab di dunia dan akhirat, serta kerugian dirinya akibat balasan ilahi.
Ketika Abu Lahab mendengar tentang hal itu, dia mendakwa
bahawa dia akan menebus dirinya dengan harta dan anak-anaknya. Isterinya, yang
digelar Ummu Jamil binti Harb (saudari Abu Sufyan) pula sering meletakkan duri
di jalan Nabi untuk menganggu dakwah baginda. Kemudian, turunlah sebahagian
surah yang lain yang menjelaskan bahawa apa yang dia percaya akan menebus
dirinya itu tidak akan berguna sedikit pun pada hari kiamat dan disebutkan juga
balasan terhadap isterinya.
Secara umumnya, surah ini membicarakan tentang kebinasaan Abu
Lahab dan tiada sesuatu pun yang dapat
menyelamatkannya sama ada harta, anak-anak, atau kedudukannya. Dia merupakan
musuh Allah dan Rasul-Nya. Dia sangat memusuhi Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam dan sanggup meninggalkan pekerjaannya semata-mata untuk mengikuti
Rasulullah dengan tujuan merosakkan dakwah Baginda dan menghalang orang ramai
daripada beriman kepadanya.
Surah ini mengancamnya dengan api neraka yang menyala-nyala
di akhirat, di mana dia akan dibakar dan diseksa. Isterinya, juga akan
menyertainya dalam azab tersebut. Isterinya dikhususkan dengan satu bentuk azab
yang dahsyat, iaitu tali daripada sabut yang akan diikat di lehernya dan dia
akan diseret ke dalam neraka, sebagai tambahan kepada penghinaan dan
kebinasaan. Begitulah, dia telah bersama dengan suaminya dalam menentang agama
Allah dan menghalang manusia dari jalan-Nya di dunia, maka dia turut bersama
dengannya dalam azab neraka Jahannam pada hari kiamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan