Isnin, 13 Januari 2025

Rabiah al-'Adawiyah - Wanita Zuhud dan Abid

 

Namanya

Nama beliau ialah Rabi’ah binti Ismail al-‘Atakiyyah al-Basriyyah dan terkenal dengan nama Rabi'ah al-'Adawiyah. Kunyah beliau ialah Ummu Amr atau Ummu al-Khair. Beliau adalah seorang wanita yang zuhud, ahli ibadah dan seorang yang khusyuk dalam ibadahnya.

Kitab Khas Tentangnya

Ibun al-Jauzi telah menulis sebuah kitab mengenai riwayat hidupnya.

Seorang Lagi Rabi’ah

Terdapat seorang Rabi’ah lain yang dikenali sebagai Rabi’ah al-Syamiyyah dari Syam yang hidup sezaman dengannya. Mungkin terdapat percampuran antara riwayat-riwayat tentang kedua-dua mereka. Rabi’ah al-Syamiyyah ini namanya juga Rabi’ah binti Isma’il dan merupakan isteri kepada Ahmad bin Abi al-Hawari. Ahmad bin Abi al-Hawari ini merupakan seorang yang soleh dan zuhud sehingga Imam Yahya bin Ma’in berkata penduduk Syam akan berdoa meminta hujan kepada Allah melaluinya.

Guru Kepada Syu’bah bin al-Hajjaj dan Sufyan al-Thauri

Sufyan al-Thauri selalu bertanya pelbagai masalah kepada Rabi'ah dan berpegang kepada pendapatnya serta suka akan nasihat dan doanya. Sufyan al-Thauri dan Syu'bah juga telah meriwayatkan sebahagian kata-kata hikmah daripada Rabi'ah.

Ja'far bin Sulaiman berkata: "Sufyan al-Thauri memegang tanganku dan berkata: Bawalah aku kepada guru yang mendidik itu (yakni Rabi’ah), kerana aku tidak merasa tenang jika berjauhan darinya. Maka apabila kami masuk ke tempatnya, Sufyan mengangkat tangannya dan berdoa: Ya Allah, aku memohon keselamatan. Rabi'ah menangis, lalu Sufyan bertanya: Apa yang membuatmu menangis? Rabi'ah berkata: Engkau telah menyebabkan aku menangis. Sufyan bertanya: Bagaimana begitu? Lalu Rabi'ah menjawab: Tidakkah engkau tahu bahawa keselamatan dari dunia adalah dengan meninggalkan apa yang ada di dalamnya sedangkan engkau masih bergelumang dengannya?"

Ja'far bin Sulaiman berkata: “Sufyan al-Thauri bertanya kepada Rabi’ah: Apakah cara paling dekat yang dapat dilakukan seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah? Maka Rabi’ah menangis dan berkata: Orang seperti aku ditanya tentang perkara ini? Cara paling dekat seorang hamba untuk mendekatkan dirinya kepada Allah Ta'ala adalah dengan menyedari bahawa dia tidak mencintai siapa pun selain Allah, sama ada di dunia mahupun di akhirat.”

Sufyan al-Thauri pernah bertemu dengan Rabi'ah al-Adawiyah yang ketika itu beliau berada dalam keadaan yang serba kekurangan. Maka Sufyan berkata kepadanya: "Wahai Ummu Amru, aku melihat keadaanmu sangat daif. Alangkah baiknya jika engkau pergi kepada jiranmu si fulan, mungkin dia dapat memperbaiki sebahagian keadaanmu yang aku lihat ini." Rabi'ah menjawab: "Wahai Sufyan, apa yang kau lihat dari buruknya keadaanku? Bukankah aku berada dalam Islam? Itulah kemuliaan yang tidak disertai kehinaan, kekayaan yang tidak disertai kemiskinan, dan rasa damai yang tidak disertai kesunyian. Demi Allah, aku sungguh malu untuk meminta dunia kepada Pemiliknya, maka bagaimana aku boleh memintanya kepada yang bukan pemiliknya?"

Sufyan kemudian berkata: "Aku tidak pernah mendengar kata-kata seperti ini."

Rabi'ah juga pernah berkata kepada Sufyan: "Sesungguhnya engkau hanyalah hari-hari yang terhitung. Apabila berlalu satu hari, maka sebahagian dirimu telah pergi. Hampir tiba masanya apabila sebahagian itu telah habis, maka habislah seluruhnya. Engkau mengetahui hal ini, maka beramallah."

Benci Kepada Dunia

Khalid bin Khidash meriwayatkan bahawa Rabi’ah pernah mendengar Salih al-Murri menyebut tentang dunia dalam ceramahnya, lalu beliau menyeru: "Wahai Salih, sesiapa yang mencintai sesuatu, dia akan banyak menyebutnya."

Bisyr bin Salih al-Ataki berkata: “Sekumpulan orang bersama Sufyan al-Thauri meminta izin untuk berjumpa dengan Rabi’ah. Mereka berbual-bual dengannya seketika dan menyebut tentang hal dunia. Apabila mereka beredar, Rabi’ah berkata kepada khadamnya: Apabila syeikh ini dan sahabat-sahabatnya datang lagi, jangan benarkan mereka masuk, kerana aku melihat mereka mencintai dunia."

Hammad berkata: “Aku dan Sallam bin Abi Muti' mengunjungi Rabi’ah, lalu Sallam mula bercakap tentang dunia. Rabi’ah berkata: "Sesungguhnya yang layak disebut-sebut hanyalah sesuatu yang benar-benar bernilai, adapun sesuatu yang tidak bernilai, maka tidak perlu disebut-sebut."

Beliau menolak pemberian orang kepadanya dengan berkata: "Aku tidak memerlukan dunia."

Karamahnya

Al-Hafiz al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ menyebutkan beberapa karamahnya:

Abu Yasar Misma' berkata: “Aku mengunjungi Rabi’ah, lalu beliau berkata: Kamu datang ketika aku ingin memasak nasi dan aku mengutamakan perbualan dengan kamu berbanding memasak nasi, tetapi apabila aku kembali ke periuk, nasi telah masak."

Riyah al-Qaisi berkata: “Aku dan Rabi’ah sering mengunjungi Syumait. Pada suatu hari, Rabi’ah berkata: Mari sini wahai anak muda. Dia memegang tanganku dan berdoa kepada Allah. Tiba-tiba muncul sebuah bekas hijau yang dipenuhi madu putih. Beliau berkata: Makanlah, demi Allah, ini bukanlah madu yang dihasilkan oleh lebah. Aku terkejut dengan kejadian itu, lalu bangun dan meninggalkannya.”

Keperibadiannya

Rabi'ah dilihat sering menangis dan bersedih.

Apabila beliau mendengar tentang neraka, beliau akan pengsan untuk seketika.

Setiap malam beliau akan memakai wangi-wangian dan mendatangi suaminya, lalu bertanya, "Adakah kamu mempunyai hajat?" Setelah menunaikan hajat suaminya, beliau akan bersuci dan beribadat sehingga pagi. Selepas kematian suaminya, beliau tidak berkahwin lagi kerana sibuk dengan ibadah.

Beliau akan berdiri untuk beribadat selepas solat Isyak sambil berkata: "Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu, inilah kedudukan ku di hadapan-Mu selagi aku hidup."

Setelah mencapai usia 80 tahun, tubuhnya kurus kering seperti kantung air yang usang dan beliau hampir-hampir terjatuh apabila berjalan.

Kain kafannya sentiasa diletakkan di hadapannya.

Tempat sujudnya seperti kolam air disebabkan banyaknya air matanya.

Beliau juga pernah berkata: "Apa sahaja yang zahir daripada amal perbuatanku, aku tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang bererti."

Abdah binti Abi Syawal - yang berkhidmat kepada Rabiatul Adawiyah - berkata: “Rabi’ah beribadat sepanjang malam dan apabila fajar terbit, beliau akan tidur sebentar sehingga fajar menyinsing. Aku mendengarnya berkata: Wahai nafsu, berapa lama lagi engkau hendak tidur dan bila lagi engkau hendak bangun? Hampir tiba masanya engkau akan tidur dengan tidur yang tidak akan bangun daripadanya melainkan pada hari kebangkitan."

Rabi'ah al-'Adawiyah pernah berkata dalam munajatnya: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu?" Maka terdengar suara berkata kepadanya: "Kami tidak akan melakukan itu, maka jangan berprasangka buruk terhadap Kami."

Apabila malam menjelang, beliau akan naik ke atas atap rumahnya, lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, ketika suara-suara telah sunyi, pergerakan telah terhenti dan setiap kekasih bersama kekasihnya, aku bersendirian bersama-Mu, wahai Yang Maha Dicintai. Maka jadikanlah kesendirianku bersama-Mu pada malam ini sebagai pembebasan diriku daripada api neraka."

Rabi’ah juga sering berdoa: "Ya Allah, aku telah memaafkan orang yang menzalimiku, maka maafkanlah aku atas kezaliman yang pernah aku lakukan terhadap orang lain."

Beliau pernah berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, aku tidak akan melepaskanmu jika engkau memberiku makanan yang haram.” Ayahnya bertanya: "Bagaimana jika aku tidak menemukan kecuali yang haram?" Beliau menjawab: "Kita bersabar di dunia menahan kelaparan adalah lebih baik daripada bersabar di akhirat menahan api neraka."

Nasihatnya

Beliau pernah berkata: "Istighfar kita memerlukan istighfar yang lain." Yakni kerana ketiadaan keikhlasan dalam istighfar tersebut.

Apabila beliau mendengar Sufyan berkata: "Alangkah sedihnya", beliau berkata kepadanya: "Katakanlah alangkah sedikitnya kesedihan, kerana jika engkau benar-benar bersedih, engkau tidak akan menikmati kehidupan."

Antara wasiatnya: "Sembunyikanlah amalan kebaikan kamu sebagaimana kamu menyembunyikan dosa-dosa kamu."

Seorang wanita pernah berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Rabi'ah menjawab: "Taatilah Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Seorang lelaki berkata kepada Rabi'ah: "Aku mencintaimu kerana Allah." Dia menjawab: "Maka janganlah engkau derhaka kepada Dia yang kerana-Nya engkau mencintaiku."

Dipinang Hartawan

Abu Sulaiman al-Hasyimi, yang memiliki hasil pendapatan harian sebanyak 80,000 dirham di Basrah, pernah mengutus surat kepada para ulama Basrah untuk meminta pandangan mereka mengenai seorang wanita yang patut dinikahinya. Para ulama sepakat mencadangkan Rabi'ah al-Adawiyah. Maka dia menulis surat kepada Rabi'ah:

"Sesungguhnya harta kekayaanku dari hasil dunia mencapai 80,000 dirham setiap hari dan tidak lama lagi akan genap menjadi 100,000, insyaAllah. Aku meminang dirimu untuk menjadi isteriku. Aku telah menyediakan sebagai mahar untukmu 100,000 dirham dan aku akan menambahkan jumlah itu dengan yang serupa. Maka balaslah suratku."

Rabi’ah menulis kepadanya:

"Sesungguhnya zuhud terhadap dunia memberikan ketenangan hati dan badan, sementara keinginan terhadapnya mewariskan kegelisahan dan kesedihan. Jika suratku ini sampai kepadamu, maka persiapkanlah bekalanmu, dahulukan amal untuk hari akhiratmu, jadilah wasiat bagi dirimu sendiri dan jangan serahkan wasiatmu kepada orang lain. Berpuasalah sepanjang hidupmu dan jadikanlah kematian sebagai waktu berbukamu. Demi Allah, aku tidak akan merasa bahagia jika Allah memberiku berkali-kali lipat daripada apa yang telah diberikan kepadamu, sehingga ia melalaikan aku daripada-Nya walaupun sekejap mata. Wassalam."

Kematiannya

Terdapat perbezaan pendapat ulama berkenaan tahun beliau meninggal dunia.

Menurut al-Hafiz al-Zahabi, dikatakan bahawa Rabi’ah al-Adawiyah hidup selama lapan puluh tahun dan meninggal dunia pada tahun 180 Hijrah.

Manakala menurut Imam Ibnu Khalikhan pula, Rabi'ah al-Adawiyah wafat pada tahun 135 Hijrah, seperti yang disebut oleh Ibn al-Jauzi dalam kitab Shuzur al-'Uqūd. Namun, pendapat lain menyebut bahawa beliau wafat pada tahun 185 Hijrah.

Makamnya dikatakan terletak di luar kota Baitulmaqdis, di bahagian timurnya, di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Jabal al-Tur dan makamnya sering diziarahi. Namun menurut al-Yafi'i dalam Mir'ah al-Jinan, beliau berkata: "Aku mendengar dari sebahagian penduduk Baitulmaqdis menyebut bahawa yang dikebumikan di bukit itu adalah Rabiah yang lain, bukan Rabiah al-Adawiyah."

Dilihat Di Dalam Mimpi Selepas Kematiannya

Sebahagian orang berkata: "Aku pernah mendoakan Rabi'ah al-Adawiyah, lalu aku melihatnya dalam mimpi dan beliau berkata: Hadiah-hadiahmu sampai kepada kami di atas dulang-dulang daripada cahaya yang ditutupi dengan sapu tangan daripada cahaya."

Diriwayatkan juga apabila kematiannya menjelang, beliau memanggil khadamnya dan berkata: "Wahai ‘Abdah, jangan beritahu sesiapa tentang kematianku dan kafankan aku dengan jubah ini, iaitu jubah daripada bulu yang beliau pakai (untuk beribadat) ketika mata-mata manusia sudah tertidur."

Kata ‘Abdah: “Lalu kami mengafankannya dengan jubah tersebut dan selendang daripada bulu yang biasa dipakainya.

Kemudian selepas setahun atau lebih kurang, saya melihatnya dalam mimpi memakai pakaian sutera hijau dan selendang sutera hijau yang belum pernah aku lihat secantik itu. Aku bertanya: Wahai Rabiah, apa yang terjadi dengan jubah yang kami kafankan kamu dan selendang bulu itu?"

Beliau menjawab: "Demi Allah, ia telah ditanggalkan dariku dan digantikan dengan apa yang kamu lihat ini. Kain kafanku dilipat dan dimeterai, kemudian diangkat ke tempat yang tinggi untuk menyempurnakan pahalaku pada hari kiamat."

Aku bertanya kepadanya: "Untuk inikah kamu beramal semasa di dunia?"

Beliau menjawab: "Ini tidak seberapa berbanding apa yang aku lihat daripada kemuliaan Allah untuk para waliNya."

Aku bertanya lagi: "Apa yang terjadi kepada Ubaidah binti Abi Kilab?"

Beliau menjawab: "Jauh sekali, demi Allah dia telah mendahului kita ke darjat yang tinggi."

Aku bertanya: "Bagaimana boleh jadi begitu sedangkan pada pandangan manusia kamu lebih tinggi daripadanya?"

Beliau menjawab: "Dia tidak pernah peduli dalam apa jua keadaan dunia, pagi atau petang."

Aku bertanya: "Bagaimana pula dengan Abu Malik, maksud saya, Dhaigham?"

Beliau menjawab: "Dia menziarahi Allah bila-bila masa yang dia mahu."

Aku bertanya: "Apa yang terjadi kepada Bisyr bin Mansur?"

Beliau menjawab: "Wah wah, demi Allah dia diberi lebih daripada apa yang dia harapkan."

Aku bertanya: "Nasihatilah aku dengan sesuatu yang boleh mendekatkan aku kepada Allah."

Beliau menjawab: "Perbanyakkan zikir kepadaNya, hampir tiba masanya kamu akan bergembira dengan amalan itu dalam kubur kamu."

Rujukan:

1 - Al-Tabaqat al-Kubra oleh Imam Abdul Wahab al-Sya’rani.

2 - Al-Tabaqat al-Wusta oleh Imam  Abdul Wahab al-Sya’rani.

3 - Al-Wafi Bi al-Wafayat oleh Imam al-Safadi.

4 - Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Hafiz al-Zahabi.

5 - Tarikh al-Islam oleh al-Hafiz al-Zahabi.

6 - Wafayat al-A’yan oleh Imam Ibnu Khalikan.

7 - Zikr al-Niswah al-Muta’abbidat al-Sufiyat oleh Imam Abi Abdul Rahman al-Sulami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan