Surah al-Takathur adalah surah Makkiyyah (diturunkan
sebelum Hijrah) dan ia membincangkan teguran Allah terhadap manusia yang asyik
dengan godaan kehidupan dan kerakusan mereka dalam mengumpul harta dunia,
sehingga kematian datang secara mengejut dan tiba-tiba lalu memutuskan
keseronokan mereka dan memindahkan mereka dari istana kemegahan ke dalam lubang
kubur yang menakutkan.
Teguran ini adalah umum merangkumi berbangga dengan segala
sesuatu daripada:
1 - Harta dan anak-anak.
2 - Kabilah dan puak.
3 - Kuasa dan kedudukan.
4 - Pengikut dan pembantu.
Ia juga merangkumi:
1 - Berbangga dengan diri sendiri (ilmu dan akhlak mulia).
2 - Berbangga dengan tubuh badan (kesihatan dan kecantikan).
3 - Berbangga dengan perkara luaran (harta, kedudukan,
pembantu, saudara-mara dan kawan-kawan).
Allah Ta'ala mengulangi ancaman demi ancaman dalam surah ini
untuk penekanan dan penegasan tentang kepastian azab kubur dan azab akhirat,
dan bahawa apa yang dijanjikan kepada kita tentang kebangkitan dan segala yang
berkaitan dengannya adalah benar dan pasti.
Kemudian Allah Ta'ala mengulangi teguran dan peringatan
bahawa jika manusia tidak melakukan amalan soleh dan meninggalkan perbuatan
berbangga dengan harta, anak-anak dan pengikut, mereka akan menyesal dan akan
mendapat hukuman.
Allah memperingatkan bahawa manusia akan menyedari kebodohan
mereka dan mengetahui kebenaran dengan pasti apabila melihat sendiri neraka
Jahannam kelak dengan penglihatan mata yang yakin, iaitu keyakinan yang
sebenar.
Surah yang mulia ini diakhiri dengan penjelasan bahawa
manusia akan ditanya tentang pelbagai nikmat yang mereka nikmati sewaktu di
dunia dahulu. Adakah dengan segala nikmat yang mengelilingi mereka dahulu
menjadikan mereka beriman, berbuat taat dan bersyukur kepada Allah Ta’ala atau
sebaliknya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan