Sabtu, 1 Ogos 2026

Bidaahkah Qunut Subuh?

Soalan: 

Adakah qunut dalam solat Subuh itu sunnah atau bidaah?

Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di (Mantan Mufti Iraq): 

Jika qunut itu dilakukan atas sebab musibah (nazilah) yang menimpa umat Islam atau orang yang bersolat itu sendiri, maka para fuqaha telah bersepakat akan pensyariatannya.

Namun, jika tidak berlaku musibah, maka telah berlaku perselisihan pendapat seperti yang berikut:

Pertama: Imam Malik, al-Syafi’i, Ibn Abi Laila, al-Hasan bin Soleh, Abu Ishaq al-Fazari, Abu Bakar bin Muhammad, al-Hakam bin Utaibah, Hammad, penduduk Hijaz, al-Awza'i, dan kebanyakan penduduk Syam berpendapat (al-Nawawi menyebutkannya di dalam kitab al-Majmu'):

“Ini ialah pendapat kebanyakan golongan Salaf dan golongan selepas mereka, iaitu ia adalah sunnah dalam solat Subuh pada setiap hari.”

Mereka berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas, beliau berkata:

مَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا

"Rasulullah SAW sentiasa membaca qunut pada solat Subuh sehinggalah baginda berpisah dengan dunia (wafat)."

Umar pernah membaca qunut pada solat Subuh yang dihadiri oleh para Sahabat dan selain mereka.

Berkenaan hadis Anas tersebut, al-Haithami berkata mengenainya: “Perawi-perawinya adalah dipercayai (thiqah).”

Al-Nawawi berkata: “Ia diriwayatkan oleh sekumpulan pakar hadis (Huffaz) dan mereka mensahihkannya. Status sahihnya telah dinyatakan secara jelas oleh al-Hafiz al-Balkhi, al-Hakim, dan al-Baihaqi. Al-Daraqutni pula meriwayatkannya melalui pelbagai jalur dengan sanad-sanad yang sahih.”

Kedua: Ibn Abbas, Ibn Umar, Ibn Mas'ud, Abu al-Darda', al-Thauri, Ibn al-Mubarak, Abu Ishaq dan pengikut-pengikutnya, Imam Ahmad, serta Abu Hanifah berpendapat:

“Qunut tidak disyariatkan dalam solat Subuh melainkan pada waktu berlakunya musibah (nazilah).”

Untuk pendapat tersebut mereka telah berdalilkan:

1 - Dengan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو عَلَى حَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ ثُمَّ تَرَكَهُ

"Nabi SAW membaca qunut selama sebulan mendoakan (keburukan) ke atas sebuah kabilah daripada kabilah-kabilah Arab, kemudian baginda meninggalkannya."

2 - Dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said daripada Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ إِلَّا إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ

“Nabi SAW tidak membaca qunut di dalam solat Subuh melainkan jika baginda mendoakan (kebaikan) untuk sesuatu kaum atau mendoakan (keburukan) ke atas sesuatu kaum."

Memandangkan hadis Anas - yang dijadikan dalil oleh golongan yang mensyariatkan qunut Subuh - adalah hadis yang sahih, maka mereka telah mentakwilkannya dengan berkata:

“Maksud ‘qunut’ (dalam hadis itu) adalah berdiri yang lama kerana ia dahulunya dinamakan sebagai ‘qunut’.”

Aku berkata: Tiada keperluan untuk takwilan ini selagi mana makna sebenar bagi qunut - iaitu doa - tidak terhalang di sini. Hal ini berlaku demikian kerana meletakkan sesuatu lafaz kepada makna hakikinya - jika tiada penghalang - adalah lebih utama daripada mentakwilkannya.

Begitu juga mereka turut mentakwilkan qunut Umar sebagai qunut disebabkan oleh musibah (nazilah).

Aku berkata: Kalaulah qunut itu hanya untuk musibah semata-mata, nescaya beliau akan berqunut pada waktu-waktu solat yang lain juga dan tidak akan mengkhususkannya dalam solat Subuh sahaja sepertimana yang disyariatkan dalam qunut nazilah, atau nescaya beliau akan berqunut juga dalam solat Maghrib sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW kerana berlaku musibah.

Meskipun begitu, tidak dibenarkan melabelkan qunut Subuh secara mutlak sebagai bidaah, dan orang yang berqunut bukanlah pelaku bidaah. Sesiapa yang mahu, dia boleh berqunut. Sesiapa yang tidak mahu, dia boleh meninggalkannya.

Tambahan pula, zaman kita ini penuh dengan pelbagai malapetaka dan musibah yang menimpa umat Islam, maka atas alasan apakah wujudnya pengingkaran dan tuduhan sesat ini?!

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan