Khamis, 23 Julai 2026

Sinopsis Surah al-Baqarah

Pengenalan dan Penamaan Surah

Surah al-Baqarah keseluruhannya ialah surah Madaniyyah (diturunkan selepas Hijrah), tanpa ada sebarang perbezaan pendapat ulama dan ia merupakan antara surah yang terawal yang diturunkan.

Surah ini dinamakan "Surah al-Baqarah" kerana ia mengandungi kisah lembu betina, yang mana Allah telah memerintahkan Bani Israel supaya menyembelihnya bagi membongkar identiti pembunuh seorang manusia. Perkara ini dilakukan dengan cara memukul mayat tersebut menggunakan sebahagian daripada anggota badan lembu berkenaan, lalu mayat itu hidup kembali dengan izin Allah, seterusnya memberitahu mereka tentang pembunuhnya.

Kedudukan dan Fokus Utama Surah

Surah al-Baqarah merupakan surah yang paling panjang di dalam al-Quran. Ia merupakan antara surah Madaniyyah yang menitikberatkan aspek perundangan (tasyri') - sama seperti surah-surah Madaniyyah yang lain - yang membincangkan tentang sistem dan undang-undang yang diperlukan oleh umat Islam dalam kehidupan mereka.

Surah yang mulia ini merangkumi sebahagian besar hukum-hakam perundangan merangkumi aspek:

1 – Akidah.

2 – Ibadat.

3 - Muamalat,

4 – Akhlak.

5 - Urusan perkahwinan, perceraian, idah, dan pelbagai hukum syarak yang lain.

Perbandingan Tiga Golongan Manusia

Pada permulaannya, ayat-ayat dalam surah ini membicarakan tentang sifat-sifat orang mukmin, orang kafir, dan orang munafik. Ia menjelaskan hakikat keimanan, serta hakikat kekufuran dan kenifakan, sebagai satu perbandingan antara golongan yang bahagia (orang mukmin) dengan golongan yang celaka (orang kafir dan munafik).

Kisah Penciptaan Bapa Manusia (Nabi Adam AS)

Kemudian, surah ini membicarakan tentang permulaan penciptaan makhluk lalu menyebutkan kisah bapa kepada manusia, iaitu Nabi Adam AS, serta peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku semasa penciptaannya, yang membuktikan kemuliaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat manusia. Juga disebutkan tentang perintah  Allah  SWT terhadap malaikat supaya sujud kepada Nabi Adam AS, serta ketentuan Allah SWT terhadap Baginda melalui peristiwa yang berlaku ke atas Baginda dan isterinya di syurga, sehinggalah mereka diturunkan ke bumi.

Pendedahan Sejarah dan Kejahatan Bani Israel

Seterusnya, surah ini membicarakan secara terperinci tentang Ahli Kitab, khususnya Bani Israel (kaum Yahudi) kerana mereka hidup berjiran dengan umat Islam di Madinah al-Munawwarah.

Perbincangan mengenai mereka telah mengambil ruang lebih daripada satu pertiga surah ini. Ia memberi peringatan kepada orang-orang mukmin tentang kejahatan dan tipu daya mereka, serta kebejatan yang tersembunyi di dalam jiwa mereka seperti sifat keji, khianat, belot, dan memungkiri janji serta perjanjian. Ini termasuklah pelbagai kenistaan dan jenayah lain yang dilakukan oleh golongan perosak ini, yang menjelaskan betapa besarnya ancaman dan kemudaratan mereka.

Mereka telah kufur terhadap nikmat Allah, tidak mensyukuri terselamatnya mereka daripada Firaun, lalu mereka mula menyembah anak lembu, dan mengemukakan pelbagai tuntutan kepada Nabi Musa AS kerana sikap degil dan sombong mereka, serta ingin mencabar Baginda. Walaupun tuntutan material mereka telah dipenuhi, mereka tetap kufur terhadap ayat-ayat Allah dan membunuh para Nabi tanpa sebab munasabah. Maka mereka layak ditimpa laknat dan kemurkaan Allah ke atas mereka, lalu Allah menjadikan mereka bangsa yang hina, tersisih, dan terusir daripada rahmat-Nya.

Perincian Undang-Undang dan Sistem Sosial Islam

Baki surah ini pula membicarakan tentang aspek perundangan. Ini kerana umat Islam pada ketika itu berada pada fasa awal pembentukan "Negara Islam", dan mereka amat memerlukan sistem Ilahi serta perundangan samawi untuk dijadikan panduan dalam kehidupan mereka, sama ada dalam hal ibadat mahupun muamalat. Oleh yang demikian, sebahagian besar surah ini merangkumi aspek perundangan, yang secara ringkasnya adalah seperti berikut:

1 - Hukum-hakam puasa yang dihuraikan dengan agak terperinci.

2 - Hukum-hakam haji dan umrah.

3 - Hukum-hakam jihad pada jalan Allah.

4 - Urusan kekeluargaan dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti perkahwinan, perceraian, susuan, idah, ila' (sumpah tidak menggauli isteri), pengharaman mengahwini wanita musyrik, amaran agar tidak menggauli isteri ketika haid dan pada selain tempat bercucuk tanam dan melahirkan zuriat, iaitu pada dubur, serta pelbagai hukum lain yang berkaitan dengan keluarga. Ini kerana keluarga merupakan asas utama bagi pembentukan masyarakat yang lebih besar.

Hukum hakam lain yang juga turut disebutkan adalah tentang penggunaan bulan-bulan qamari (bulan hijrah) dalam penentuan waktu keagamaan, keperluan berinfaq pada jalan Allah kerana ia merupakan cara untuk memelihara diri daripada kebinasaan, wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat, penjelasan tentang golongan yang berhak menerima nafkah, tatacara bermuamalat dan bergaul dengan anak-anak yatim dalam kehidupan, ketiadaan hukuman atas sumpah yang tidak disengajakan, pengharaman sihir, pengharaman pembunuhan tanpa sebab munasabah dan kewajipan qisas ke atas pembunuhan, pengharaman memakan harta manusia dengan cara yang batil, pengharaman arak, judi dan riba.

Pengharaman Riba dan Pengurusan Hutang

Kemudian, surah ini membicarakan tentang "jenayah riba" yang mengancam struktur masyarakat serta meruntuhkan asasnya. Terdapat kecaman keras lagi tegas ke atas golongan ceti, melalui pengisytiharan peperangan yang terang-terangan daripada Allah dan Rasul-Nya ke atas sesiapa sahaja yang berurusan dengan riba atau berani meneruskan tindakannya itu.

Selain itu, surah ini mengandungi ayat yang paling panjang di dalam al-Quran iaitu Ayat al-Dayn (ayat hutang), yang menjelaskan hukum-hakam berkaitan hutang-piutang dari sudut penulisan, penyaksian, syarat persaksian, syarat bagi saksi wanita dan lelaki, urusan gadaian, kewajipan menunaikan amanah, serta pengharaman menyembunyikan persaksian.

Peringatan Hari Kiamat dan Wahyu Terakhir

Ayat-ayat berkaitan riba dan hutang ini disusuli pula dengan amaran amaran tentang hari yang dahsyat kelak, hari di mana manusia akan diberi balasan ke atas amalannya, jika baik amalannya, maka baiklah balasannya, dan jika buruk malannya, maka buruklah balasannya:

وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

"Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (Kiamat), yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dizalimi atau dikurangkan balasannya sedikitpun." (Surah al-Baqarah: ayat 281)

Ia merupakan ayat al-Quran yang terakhir diturunkan, dan wahyu terakhir yang turun dari langit ke bumi. Dengan turunnya ayat ini terputuslah wahyu, dan Rasulullah SAW kembali bertemu dengan Tuhannya selepas menunaikan risalah dan menyampaikan segala amanah.

Penutup Surah: Tuntutan Bertaubat dan Doa Orang Beriman

Surah ini diakhiri dengan peringatan untuk bertaubat dan kembali merendah diri kepada Allah, serta disebutkan sebuah doa agung yang merangkumi permohonan kemudahan dan kelapangan serta diangkat segala kesempitan, bebanan dan belenggu, di samping permohonan pertolongan untuk mencapai kemenangan ke atas orang-orang kafir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan