Soalan:
Satu soalan yang sering terlintas di fikiran saya dan saya
tidak menemui jawapannya di dalam buku-buku. Ia berkaitan dengan bapa Nabi SAW
iaitu Abdullah bin Abdul Muttalib, adakah beliau seorang yang syirik kepada
Allah? Atau beliau seorang yang bertauhid? Bagaimana pula halnya dengan isteri
beliau, Aminah binti Wahb, ibu Rasulullah SAW?
Jawapan Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:
Pertama: Membangkitkan soalan-soalan sebegini tidak
memberikan apa-apa manfaat kepada umat Islam. Persoalan sama ada kedua ibu bapa
Nabi SAW berada di dalam syurga atau neraka tidak membina apa-apa hukum yang
memberi manfaat kepada umat Islam, melainkan ia hanya mencetuskan perdebatan
dan pertengkaran, yang mana kedua-duanya memudaratkan masyarakat Islam pada
hari ini.
Kedua: Bapa Nabi SAW adalah daripada kalangan Ahli
Fatrah. Fatrah bermaksud: Zaman yang kosong daripada pengutusan Rasul. Ahli
Fatrah pula terbahagi kepada dua jenis:
1 - Muwahhid (orang yang bertauhid).
2 - Musyrik.
Muwahhid: Iaitu orang yang beriman dengan kewujudan
Tuhan yang satu bagi alam semesta ini, dan beriman bahawa pasti akan ada hari Akhirat
di mana orang yang berbuat baik akan dibalas atas kebaikannya dan orang yang
berbuat jahat akan dibalas atas kejahatannya.
Begitu juga dia tidak pernah sujud kepada berhala dan tidak
menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, lalu dia mati di atas ajaran yang
Hanif (agama tauhid yang lurus), maka dia tidak akan diazab pada hari Kiamat
dan termasuk dalam kalangan orang-orang yang terselamat.
Musyrik: Para ulama berselisih pendapat mengenai terselamatnya
orang ini kepada dua pandangan:
1 - Sebahagian ulama berpendapat bahawa dia akan diazab.
Mereka berdalilkan dengan beberapa ayat yang menunjukkan
kekufuran orang musyrik dan kafir secara mutlak, sama ada dakwah telah sampai
kepadanya mahupun tidak.
Antaranya, firman Allah Taala:
إِنَّهُ مَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ
حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ
"Sesungguhnya sesiapa yang menyekutukan Allah, maka
sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga." [Al-Ma'idah: 72].
Dan firman-Nya:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَمَاتُوا وَهُمْ كُفَّارٌ فَلَن يُقْبَلَ مِنْ أَحَدِهِم مِّلْءُ الْأَرْضِ ذَهَبًا وَلَوِ افْتَدَىٰ بِهِ ۗ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ وَمَا لَهُم مِّن نَّاصِرِينَ
"Sesungguhnya orang-orang yang kafir dan mereka mati dalam keadaan kafir, maka tidak akan diterima dari seseorang di antara mereka emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu akan mendapat azab yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun." [Ali 'Imran: 91].
Mereka turut berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh
Muslim daripada Anas, bahawa seorang lelaki berkata:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النَّارِ، فَلَمَّا
قَفَّى دَعَاهُ فَقَالَ: إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
"Wahai Rasulullah, di manakah bapaku?"
Baginda menjawab: "Di dalam neraka."
Apabila lelaki itu berpaling, Baginda memanggilnya lalu
bersabda: "Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam neraka."
Dan mereka juga berdalilkan hadis yang diriwayatkan daripada
Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لِأُمِّي فَلَمْ يَأْذَنْ لِي،
وَاسْتَأْذَنْتُهُ أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأَذِنَ لِي
"Aku meminta izin kepada Tuhanku untuk memohon
keampunan bagi ibuku, namun Dia tidak mengizinkanku, dan aku meminta izin
kepada-Nya untuk menziarahi kuburnya, lalu Dia mengizinkanku."
2 - Sebahagian ulama yang lain - dan dalam kalangan mereka
ialah Imam Ibnu Taimiyyah di dalam al-Fatawa - berpendapat bahawa dia akan terselamat daripada azab.
Mereka berdalilkan dengan beberapa ayat al-Quran.
Antaranya, firman Allah Taala:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ
نَبْعَثَ رَسُولًا
"Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum
Kami mengutuskan seorang rasul." [Al-Isra': 15].
Dan firman-Nya:
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ الرُّسُلِ أَن تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِن بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ ۖ فَقَدْ جَاءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ
"Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad SAW) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Allah), ketika terputusnya (kedatangan) rasul-rasul, supaya kamu tidak berkata: "Tidak ada datang kepada kami seorang pembawa berita gembira dan tidak pula seorang pemberi amaran." Maka sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang pembawa berita gembira dan pemberi amaran." [Al-Ma'idah: 19].
Dan firman Allah Taala:
رُّسُلًا مُّبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ
لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَى اللَّهِ حُجَّةٌ بَعْدَ الرُّسُلِ
"(Kami utuskan) rasul-rasul sebagai pembawa berita
gembira dan pemberi amaran, supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau
alasan) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu."
[An-Nisa': 165].
Ayat-ayat ini dan seumpamanya menunjukkan bahawa sifat Adil
bagi Allah itu menetapkan agar Dia tidak menghukum mereka yang belum menerima
seruan dakwah Rasul, supaya tidak ada sebarang hujah/alasan yang boleh diberikan
kepada Allah, walhal bagi Allah jua hujah yang sempurna.
Mereka (ulama kumpulan kedua) telah menjawab hujah ayat-ayat
yang dijadikan dalil oleh golongan yang menyatakan bahawa Ahli Fatrah tidak
terselamat iaitu bahawa maksud ayat-ayat tersebut adalah kekufuran selepas seruan
dakwah telah disampaikan.
Ini kerana kekufuran itu berlaku atas dasar kedegilan dan sedar
akan kesalahan yang mereka lakukan. Manakala kekufuran yang disebabkan oleh
kejahilan, mereka diberikan kemaafan kerananya disebabkan tegahan daripada melakukan
kekufuran itu tidak sampai kepada mereka.
Turut dijawab mengenai hadis:
إِنَّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ
"Sesungguhnya bapaku dan bapamu di dalam
neraka."
Baginda SAW mengucapkan sedemikian kepada lelaki tersebut
sebagai satu pujukan kepadanya bagi meringankan penderitaannya berhubung nasib
bapanya. Sungguhpun begitu, ia hanyalah hadis ahad yang tidak boleh
menandingi ayat al-quran yang qat'i (pasti), iaitu firman Allah Taala:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ
نَبْعَثَ رَسُولًا
"Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum
Kami mengutuskan seorang rasul."
Barangkali Rasulullah SAW pernah mengucapkan sedemikian
berdasarkan pengetahuan Baginda sebelumnya bahawa sesiapa yang tidak beriman
dengan seruan dakwah para Rasul, maka dia termasuk ahli neraka, yakni sebelum
turunnya ayat-ayat yang menunjukkan ke atas terselamatnya Ahli Fatrah.
Turut dijawab mengenai keengganan Allah memberikan keizinan
kepada Nabi-Nya SAW untuk memohon keampunan buat ibunya iaitu tidak diizinkan
tersebut tidak bermaksud ibu Baginda termasuk dalam kalangan ahli neraka,
sebaliknya ketidakizinan itu mungkin disebabkan oleh ibu Baginda tidak
mempunyai sebarang dosa. Ini kerana beliau bukanlah seorang mukalaf, maka tiada
dosa yang dicatatkan ke atas beliau. Meskipun begitu, ia hanyalah hadis ahad
yang tidak boleh menandingi ayat-ayat al-Quran yang qat'i.
Selepas kita mengetahui perkara tersebut, kita berharap agar
pandangan kedua adalah pandangan yang diterima di sisi Allah Taala. Ini kerana pandangan
ini selaras dengan keadilan Allah Yang Maha Agung, lebih-lebih lagi mengenai
kedua ibu bapa Nabi SAW. Ini juga kerana tidak sabit bahawa mereka berdua pernah
melakukan perbuatan syirik dan menyembah berhala.
Sekiranya ditanya: Bukankah mereka terikat dengan
agama Ibrahim, iaitu al-Hanifiyyah? Atau terikat dengan agama Yahudi mahupun
Nasrani?
Kami menjawab: Tidak, mereka tidak dipertanggungjawabkan
untuk memeluk salah satu daripada agama-agama tersebut. Ini kerana ia merupakan
agama-agama yang tidak bersifat umum serta tidak mencakupi semua zaman dan
tempat. Menganut agama-agama tersebut bagi mereka yang tidak diturunkan agama
itu kepadanya, serta berada di luar ruang lingkup tempat dan zaman ia
diturunkan adalah berbentuk pilihan dan bukannya sesuatu yang wajib.
Sumber:
Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di


Tiada ulasan:
Catat Ulasan