Selasa, 21 Julai 2026

Hukum Menambah-Nambah Dalam Ibadah

Oleh: Syeikh Dr Abdul Malik al-Sa’di:

Jenis-Jenis Ibadah yang diriwayatkan daripada Nabi SAW:

Ibadah yang diriwayatkan daripada Nabi SAW terbahagi kepada dua bahagian:

Bahagian Pertama:

Ibadah yang diriwayatkan daripada Baginda SAW dalam keadaan terikat (muqayyad) dengan masa, tempat, bilangan, tatacara, atau keadaan tertentu.

Ibadah jenis ini wajib dilaksanakan sepertimana ia diriwayatkan tanpa sebarang penambahan, pengurangan, atau perubahan. Sesiapa yang mengubahnya sehingga bercanggah dengan apa yang telah disyariatkan, maka dia adalah seorang pelaku bidaah.

Contohnya seperti rukun-rukun bagi ibadah, bilangan rakaat, hari-hari tertentu untuk berpuasa dan waktunya, haji, kadar-kadar zakat, harta-harta yang diwajibkan zakat ke atasnya, isu-isu yang berkaitan dengan akidah, dan seumpamanya.

Bahagian Kedua:

Ibadah yang diriwayatkan daripada Baginda SAW berbentuk arahan, bimbingan, galakan, atau pesanan, namun ia tidak dihadkan dengan tatacara, masa, tempat, keadaan, atau bilangan tertentu, dan tidak terdapat pula sebarang larangan untuk melakukannya pada bila-bila masa sekalipun.

Oleh itu, umat Islam bebas untuk memilih masa dan tempat yang sesuai untuk melakukannya, serta tatacara yang mengiringi perbuatan tersebut, dengan syarat dia tidak menyandarkan perbuatannya mengikut tatacara, masa, atau tempat tersebut kepada Nabi SAW. Sebaliknya, dia melakukannya berlandaskan keizinan umum yang diberikan oleh Pembuat Syariat (Allah dan Rasul) untuk melaksanakannya.

Contohnya seperti solat sunat mutlak, puasa sunat mutlak, zikir, bacaan al-Quran, doa, selawat ke atas Nabi SAW, memberi makan, sembelihan dengan niat sedekah dan mendekatkan diri kepada Allah Taala, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar makruf nahi mungkar), dan seumpamanya.

Sekiranya seorang Muslim ingin melazimkan dirinya dengan suatu solat sunat pada waktu-waktu tertentu yang mana ia bukanlah waktu yang makruh, dan dia berterusan melakukannya, perbuatannya ini tidak dianggap sebagai bidaah.

Begitu juga, sekiranya dia melazimi doa yang tertentu pada waktu yang tertentu, atau membaca sebahagian daripada al-Quran setiap hari pada waktu yang tertentu, perkara tersebut juga tidak dianggap sebagai bidaah. Demikian juga halnya dengan amalan berselawat ke atas Nabi SAW, selagi mana dia tidak menyandarkan penetapan perbuatan tersebut kepada Rasulullah SAW. Namun, sekiranya dia menyandarkannya kepada Rasulullah SAW, maka ia menjadi bidaah kerana ia merupakan satu rekaan dan pembohongan ke atas Baginda SAW.

Pengurangan dan Penambahan dalam Perkara yang Telah Ditetapkan oleh Syarak:

Pengurangan dalam ibadah-ibadah yang telah ditetapkan oleh syarak adalah haram, satu bidaah, dan membatalkan ibadah tersebut. Contohnya seperti: mengurangkan jumlah rakaat, atau hari-hari berpuasa, atau bilangan pusingan tawaf, atau bilangan lontaran jamrah, atau memanipulasi kadar-kadar zakat dan nisabnya, atau mengurangkan rukun di dalam ibadah, dan seumpamanya.

Adapun berkaitan dengan penambahan, ia terbahagi kepada:

1 - Bersambung (mutassilah).

2 - Terpisah (munfasilah).

Atau dengan ungkapan lain:

1 - Penambahan di dalam ibadah.

2 - Penambahan ke atas ibadah.

Maka penambahan yang bersambung atau penambahan di dalam ibadah: Ia merupakan bidaah dan kesesatan. Seperti menambah rukuk, atau sujud, atau satu rakaat penuh secara sengaja. Atau menambah lafaz dalam sighah (bentuk) azan yang telah warid, atau lafaz yang mencacatkan susunan, gaya, dan alunannya, seperti menambah suatu ungkapan ke atas ungkapan-ungkapan azan, atau menambah perkataan "Sayyidina" sebelum nama Nabi SAW, kerana ia mencacatkan alunan dan gayanya.

Namun, sekiranya tidak berlaku sebarang kecacatan pada penambahannya, dan ia ditambah bukan dengan niat untuk menyempurnakan ibadah daripada sebarang kekurangan, sebaliknya demi penghormatan dan adab, seperti seseorang menambah lafaz "Sayyidina" sebelum menyebut nama Baginda SAW sebagai adab terhadap Baginda SAW dalam Selawat Ibrahimiyyah, maka tidak ada halangan pada perbuatan tersebut dan penambahan itu tidak dianggap sebagai bidaah.

Manakala penambahan yang terpisah atau penambahan ke atas ibadah, sama ada:

1 - Ia dilarang.

2 – Tidak dilarang.

Maka penambahan yang dilarang, perbuatannya menjadi bidaah. Seperti solat sunat selepas Subuh dan Asar, dan seperti kita mereka cipta suatu solat lalu kita jadikannya sebagai fardu (wajib) sedangkan tidak wujud dalil ke atas kewajipannya.

Sekiranya penambahan itu tidak dilarang, maka jika seorang Muslim melakukannya dengan iktikad bahawa ibadah tersebut tidak sempurna dan dia ingin menyempurnakannya dengan penambahan ini, maka perbuatannya adalah haram dan bidaah.

Namun, jika dia melakukannya dengan menganggapnya sebagai ibadah berasingan yang diizinkan secara umum, maka tiada halangan untuk menambahnya selepas ibadah atau sebelumnya, selagi mana dia tidak menyandarkannya bahawa Baginda SAW pernah melakukannya sedemikian rupa.

Contohnya seperti:

1 - Membayar sejumlah wang kepada fakir miskin lebih banyak daripada kadar yang telah ditetapkan untuk dibayar sebagai zakat.

2 - Seseorang solat dua rakaat selepas solat fardu dengan niat solat sunat dan ia bukanlah pada waktu yang makruh.

3 - Menambah selawat ke atas Nabi SAW selepas mengucapkan zikir:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

"Ya Allah, Engkaulah al-Salam (Yang Maha Sejahtera), dan daripada-Mu jua datangnya kesejahteraan. Maha Suci Engkau dan Maha Tinggi Engkau, wahai Tuhan Yang Memiliki Kebesaran dan Kemuliaan."

4 - Dia menambah zikir-zikir dan doa-doa lebih banyak daripada apa yang ma'thur (bersumberkan dalil).

5 - Seseorang melakukan tawaf sunat selepas tawaf fardu.

6 - Penambahan sebelum azan dan selepasnya berupa lafaz-lafaz peringatan tentang masuknya waktu solat, dan begitulah seterusnya.

Sumber:

Al-Bid’ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq oleh Syeikh Dr Abdul Malik bin Abdul Rahman al-Sa’di

Tiada ulasan:

Catat Ulasan