Isnin, 6 Julai 2026

Statu Hadis: Belajar Bahasa Suatu Kaum Selamat Tipu Daya Mereka


مَنْ تَعَلَّمَ لُغَةَ قَوْمٍ أَمِنَ مَكْرَهُمْ

"Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, nescaya dia akan terselamat daripada tipu daya mereka."

Jawapan Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari:

Ia bukanlah hadis (sabdaan Nabi SAW).

Namun, telah sabit bahawa Nabi SAW telah mengarahkan Zaid bin Thabit untuk mempelajari bahasa Yahudi kerana Baginda tidak mempercayai mereka untuk menulis surat-surat Baginda.

Mempelajari bahasa-bahasa asing merupakan fardu kifayah kerana ia adalah perantara untuk mencapai kewajipan-kewajipan kifayah yang lain, dan apa jua perkara yang membawa kepada sesuatu yang wajib, maka ia turut menjadi wajib.

Antaranya ialah:

1 - Menyampaikan dakwah Islam kepada orang bukan Islam.

2 - Mengetahui apa yang ditulis oleh golongan orientalis berupa tohmahan terhadap Islam dan membalas tohmahan tersebut.

3 - Mengetahui pelbagai ilmu dan perusahaan yang bermanfaat yang baharu dicipta oleh bangsa asing dalam pelbagai urusan kehidupan.

Namun, hal tersebut perlu dilakukan berserta dengan memelihara bahasa Arab dan menguasainya serta menjadikannya sebagai bahasa rasmi bagi setiap negara Islam kerana ia adalah bahasa al-Quran.

Pernah terjadi apabila Umar mendengar seseorang bercakap dengan bahasa ‘ajam (selain bahasa Arab), beliau akan memegang lengan orang itu seraya berkata kepadanya: "Carilah jalan mempelajari bahasa Arab." Kadangkala beliau akan memukul orang itu dengan cemeti.

Hal ini kerana perbuatan bercakap dengan bahasa ‘ajam sesama Muslim di dalam sebuah negara Islam tidak mempunyai maksud lain melainkan suatu bentuk perbuatan memperlekehkan bahasa Arab dan merendahkan martabatnya. Itu merupakan suatu kelakuan yang buruk di mana pelakunya berhak dikenakan tindakan disiplin.

Sumber:

Mausu’ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari: 17/190.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan