Jumaat, 7 Februari 2025

Doa Bila Susah Nak Bayar Hutang

Doa Pertama

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anhu:

Seorang hamba mukatab (hamba yang dapat menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) menemui beliau lalu berkata: “Aku tidak mampu membayar wang tebusanku. Bantulah aku.”

Ali bin Abi Thalib berkata: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu beberapa perkataan yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alahi wa sallam kepadaku. Jika engkau mempunyai hutang setinggi gunung sekalipun Allah akan membantu melunaskan hutang tersebut bagi kamu. Katakanlah:

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu."

(Riwayat al-Tirmizi dan kata beliau: "Hadis ini hasan gharib.")

Doa Kedua

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

"Suatu hari Rasulullah sallallahu alaihi wasallam masuk ke dalam masjid, tiba-tiba Baginda sollallahu alaihi wasallam terjumpa seorang Ansar yang bernama Abu Umamah. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bertanya: Wahai Abu Umamah, mengapa kamu duduk di masjid di luar waktu solat?"

Abu Umamah menjawab: "Kerana kebimbangan yang melanda hatiku dan beban hutangku wahai Rasulullah".

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: "Mahukah kamu aku ajarkan kepadamu beberapa bacaan, yang apabila kamu membacanya nescaya Allah akan menghilangkan rasa gelisah dari dirimu dan melunaskan hutang-hutangmu?"

Abu Umamah berkata: "Sudah tentu, wahai Rasulullah.”

Rasulullah bersabda: "Ucapkanlah di waktu pagi dan petang:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu daripada rasa dukacita dan keluh kesah. Aku mohon perlindungan-Mu daripada lemah dan sifat malas. Aku mohon perlindungan-Mu daripada perasaan takut dan bakhil. Aku mohon perlindungan-Mu daripada beban hutang dan penindasan orang.”

Abu Umamah berkata: “Kemudian aku melakukan perintah tadi, maka Allah menghilangkan rasa gelisah dari diriku dan melunaskan hutang-hutangku."

(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang daif)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan