"Barang siapa berpindah (keluar dari rumahnya)
kerana belajar ilmu iaini Ilmu Syar'ie (Agama), diampuni baginya dahulu
(sebelum) daripada bahawa melangkah ia (keluar) daripada tempatnya (rumahnya)
iaini jika mengkehendaki dengan belajar itu bagi Wajah (menuntut Redha) Allah
Taala".
Ulasan:
مَنِ انْتَقَلَ لِيَتَعَلَّمَ عِلْمًا غُفِرَ لَهُ
قَبْلَ أَنْ يَخْطُوَ
"Sesiapa yang berpindah (melakukan perjalanan) untuk
menuntut ilmu, diampunkan dosanya sebelum dia melangkahkan kakinya."
Hadis ini saya temui di Facebook Pengajian Kitab Kuning.
Sumber Hadis
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Syahin dalam al-Targhib
dan Ibnu al-Najjar dalam Zail Tarikh Baghdad melalui sanad:
Abdul Rahim bin Habib daripada Isma’il bin Yahya
al-Taimi daripada Sufyan al-Thauri daripada Mujalid daripada al-Sya’bi
daripada al-Aswad daripada Aisyah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.
Menurut al-Hafiz al-Suyuti dalam al-Jami' al-Kabir, hadis ini turut diriwayatkan
oleh al-Syirazi dalam al-Alqab dan al-Hakim dalam Tarikh Naisabur.
Penilaian Hadis
Hadis ini adalah palsu. Dalam sanadnya terdapat 3
orang perawi yang bermasalah.
Pertama, Abdul Rahim bin Habib.
Al-Zahabi dalam Mizan al-I’tidal berkata: “Dia
tidak boleh dipercayai.”
Yahya bin Ma’in berkata: “Dia tidak bermakna apa-apa.”
Ibnu Hibban berkata: “Berkemungkinan dia telah memalsukan
lebih daripada lima ratus hadis yang dikatakan daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi
wasallam."
Abu Nu'aim al-Asbahani berkata: “Dia meriwayatkan
hadis-hadis palsu daripada Ibn 'Uyainah dan yang lain.”
Al-Idrisi berkata: “Dalam hadishnya terdapat hadis-hadis
yang munkar (ditolak).”
Kedua, Isma’il bin Yahya al-Taimi.
Soleh Jazrah berkata: "Dia telah memalsukan hadis."
Al-Azdi pula berkata: "Dia adalah salah satu tonggak
pembohong, tidak halal meriwayatkan daripadanya."
Ibn 'Adi menyenaraikan dua puluh tujuh hadis yang
diriwayatkannya dan berkata: "Kebanyakan yang diriwayatkannya adalah
batil."
Abu Ali al-Naisaburi, al-Daraqutni dan al-Hakim berkata: "Dia
seorang pembohong."
Al-Zahabi berkata: "Semua bersepakat untuk
meninggalkannya."
Al-Hakim berkata: "Dia meriwayatkan hadis-hadis
palsu daripada Malik, Mis'ar dan Ibn Abi Zi'b."
Al-Daraqutni berkata: "Dia telah berbohong ke atas
Malik, al-Thauri dan lain-lain."
Ibnu Hibban berkata: "Dia meriwayatkan hadis-hadis
palsu daripada orang-orang yang thiqah (dipercayai), tidak halal sama sekali
untuk meriwayatkan daripadanya."
Ketiga, Mujalid.
Ibnu Hajar berkata dalam Taqrib al-Tahzib: “Dia
tidak kuat (dalam periwayatan hadis). Ingatannya berubah di akhir umurnya.”
Kesimpulan
Hadis ini adalah palsu. Oleh itu tidak boleh disebarkannya
melainkan untuk dijelaskan kepalsuannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan