Syeikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:
“Aku bertemu beberapa
kali di Baitulmaqdis pada tahun 1296 Hijrah dengan seorang yang diyakini
sebagai wali, Sayyidi Syeikh Hasan Abu Halawah al-Ghazzi, semoga Allah
merahmatinya. Beliau mendoakanku dan mengijazahkanku tarekat Qadiriyah dan lafaz
selawat ke atas Nabi sallahu ‘alaihi wasallam untuk melepaskan kesusahan. Jika
dibaca dengan banyak oleh orang yang ditimpa kesusahan, nescaya Allah akan
melepaskannya, iaitu:
اللَهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، اَلْحَبِيبِ الْمَحْبُوبِ، شَافِي الْعِلَلِ وَمُفَرِّجِ الْكُرُوبِ، وَعَلَی آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ.
"Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Muhammad, kekasih yang dikasihi, penyembuh penyakit dan pelepas kesusahan, dan ke atas keluarga dan para sahabatnya."
Menurut Syeikh Yusuf al-Nabhani, Syeikh Hasan Abu Halawah
ini merupakan salah seorang daripada wali-wali di Baitulmaqdis yang telah
disepakati kewaliannya dan banyak karamahnya.
Biliknya tidak pernah sunyi daripada pengunjung, dan setiap
seorang mengadu kepadanya tentang hajatnya, dan bertanyakan kepadanya tentang
urusan dunia dan akhiratnya. Lalu beliau menjawabnya dengan sesuatu yang
kemudiannya terbukti manfaat dan kebenarannya, seperti kesembuhan orang sakit,
kepulangan orang yang musafir, tertunainya hajat yang sukar bagi pemiliknya,
dan sebagainya.
Syeikh Hasan Abu Halawah meninggal dunia di Baitulmaqdis
beberapa tahun selepas Syeikh Yusuf al-Nabhani keluar daripadanya, iaitu sebelum
tahun 1310H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan