Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Nabi sallahu
‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى
إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ
"Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri, lalu dia
cenderung kepada salah seorang daripada keduanya, dia akan datang pada hari
kiamat dalam keadaan sebelah badannya senget."
Riwayat Abu Daud (hadis no. 2133), al-Tirmizi (hadis no. 1141),
al-Nasa’i (hadis no. 3942) dan Ibnu Majah (hadis no. 1969).
Lafaz riwayat al-Tirmizi:
إِذَا كَانَ عِنْدَ الرَّجُلِ امْرَأَتَانِ فَلَمْ
يَعْدِلْ بَيْنَهُمَا جَاءَ يَوْمَ القِيَامَةِ وَشِقُّهُ سَاقِطٌ
“Jika seorang lelaki mempunyai dua orang isteri, lalu dia
tidak berlaku adil antara kedua-duanya, dia akan datang pada hari kiamat dalam
keadaan sebelah badannya senget.”
Hadis ini disahihkan oleh Ibnu Hibban, al-Hakim, Ibnu Kathir
dalam Irsyad al-Faqih, Ibnu al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir
dan Ibnu Hajar dalam Bulugh al-Maram.
Kosa Kata Hadis:
1 - "Mempunyai dua orang isteri": Iaitu
sebagai contoh, atau dia mempunyai lebih daripada dua orang isteri.
2 - "Cenderung kepada salah seorang daripada
keduanya": Iaitu mengutamakan seorang isteri berbanding yang lain.
Pengajaran Hadis:
1 - Pembahagian giliran dan berlaku adil antara isteri-isteri ketika berpoligami itu adalah wajib. Dalil-dalil mengenai kewajipan berlaku adil ini adalah sangat banyak. Cukuplah nas al-Quran: "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja" (An-Nisa': 3).
Para ulama telah bersepakat bahawa sesiapa yang takut tidak
dapat berlaku adil, haram baginya untuk berkahwin dengan isteri lain dan ini
adalah ijmak umat Islam.
Akan tetapi, tidak disyaratkan berbuat adil antara
isteri-isteri itu adalah dengan mengkhususkan satu malam bagi setiap isteri sehingga
dia tidak bertemu langsung dengan isteri yang lain pada malam itu. Bahkan, dibolehkan
untuk dia duduk bersama dan berbual dengan isteri yang bukan gilirannya.
Oleh itu, isteri-isteri Nabi sallahu ‘alaihi wasallam
berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran, seperti yang
diriwayatkan oleh Anas: "Nabi sallahu ‘alaihi wasallam mempunyai
sembilan isteri. Apabila baginda membahagikan giliran antara mereka, baginda
tidak kembali kepada isteri pertama melainkan selepas sembilan hari, dan mereka
berkumpul setiap malam di rumah isteri yang mendapat giliran..."
Maka tidak disyaratkan tindakan berbuat adil di antara isteri-isteri itu dengan cara mengkhususkan satu malam bagi setiap seorang daripada mereka serta tidak
bertemu dengan isteri yang lain pada malam itu. Bahkan harus untuk dia duduk bersama
dan berbual dengan isteri yang bukan gilirannya.
Jika dia membahagikan giliran, tidak wajib baginya untuk
bersetubuh dengan isteri pada giliran tersebut dan tidak juga wajib menyamaratakan pada perkara tersebut. Bahkan harus baginya
untuk bermalam bersama mereka dan tidak bersetubuh dengan seorang pun daripada
mereka. Harus baginya untuk bersetubuh dengan sebahagian daripada mereka
pada gilirannya dan tidak dengan sebahagian yang lain.
Akan tetapi disunatkan agar dia tidak mengabaikan mereka dan hendaklah dia menyamaratakan antara mereka pada perkara tersebut. Dengan itu maka dia tidak akan dianggap telah mengabaikan
hak isteri-isterinya, demi untuk memelihara kehormatan mereka serta ia termasuk dalam
pergaulan yang baik dengan isteri-isterinya dan juga kerana meninggalkan persetubuhan itu
boleh membawa kepada perbuatan keji (zina).
2 – Haram berat sebelah kepada salah seorang isteri
berbanding isteri yang lain pada perkara yang berada dalam kawalan suami seperti
pembahagian giliran, makanan dan pakaian.
Suami tidak diwajibkan untuk berlaku adil di antara
isteri-isteri pada perkara yang tidak dapat dikawalnya seperti perasaan kasih
sayang dan seumpamanya.
Imam al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan berkata:
“Hadis ini menunjukkan penekanan terhadap kewajipan
pembahagian yang adil antara isteri-isteri yang merdeka (bukan hamba). Kecenderungan yang
dilarang itu adalah pada aspek layanan zahir yang menyebabkan pengabaian hak,
bukannya kecenderungan hati kerana hati tidak dapat dikawal.
Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam membahagikan giliran
dengan adil di antara isteri-isterinya dan baginda berdoa: Ya Allah, ini pembahagianku
pada perkara yang aku mampu kawal, maka jangan hukum aku pada perkara yang
aku tidak mampu kawal.
Berkenaan isu ini turun firman Allah: Dan kamu tidak akan
dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh
(hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat
sebelah kepada yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan yang lain seperti
tergantung." (An-Nisa': 129)
3 – Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-Zawajir
menganggap tindakan mengutamakan salah seorang isteri berbanding isteri yang lain sebagai dosa
besar. Ini kerana terdapat ancaman keras dalam nas-nas al-Quran dan hadis mengenainya dan juga kerana ia mengandungi
unsur penganiayaan dan melakukan kezaliman terhadap isteri yang tidak
bersalah.
4 - Wajib untuk menghadkan diri kepada seorang isteri sahaja jika dia takut tidak dapat berlaku adil antara isteri-isteri. Ini supaya dia dapat mengelakkan diri daripada hukuman yang berat ini dan supaya dapat mematuhi firman Allah: "Jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja." (An-Nisa': 3)
Rujukan:
1 - Fiqh Bulugh al-Maram Li Bayan al-Ahkam al-Syar'iyyah - Dr Muhammad al-Zuhaili.
2 - I'lam al-Anam Syarah Bulugh al-Maram Min Ahadith al-Ahkam - Dr Nuruddin 'Itr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan