Sabtu, 1 Mac 2025

Hadis Palsu: Rasullullah Melihat Wanita Diseksa Pada Malam Israk Mikraj

(Demikianlah) berbagai-bagai seksanya kerana berbagai- bagai derhakanya, (seperti) yang diceritakan oleh Saiyidina Ali Radhiyallahu 'anhu: "Adalah pada suatu hari masuk aku ke dalam rumah Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, dan ada sertaku isteriku, Siti Fatimah Radhiyallahu 'anha, maka tatkala menepuk (mengetuk) pintu, maka sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam: "Siapa yang di pintu itu?"

Maka sahut Siti Fatimah: "Kami dengan suami kami Ali, hamba datang mengadap akan dikau, ya Rasulullah."

Maka tatkala membuka pintu bagi kami, maka tiba-tiba kami dapat akan Nabi hal keadaannya menangis akan sebagai tangis yang sangat."

(Maka) kataku baginya: "Penebusmu aku, engkaulah bapaku, dan ibuku, ya Rasulullah. Apalah yang menangis- kan akan dia."

Maka sabdanya: "Bahawa sungguhnya telah aku lihat pada malam mikraj beberapa perempuan daripada umatku di dalam seksa yang amat sangat, maka sangatlah salah pekerjaan mereka itu kerana itulah yang menangiskan akan daku daripada sangat seksa mereka itu."

Berkata (Saiyidina Ali Radhiyallahu 'anhu: "Ya Rasulullah) betapa engkau lihat kepada mereka itu."

Maka (sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam): "Telah aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan api neraka yang sangat panas dituangkan ke dalam lehernya.

(Dan) aku lihat seorang perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otak kepalanya.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang ter- gantung dengan kakinya padahal terikat lagi terlipat telah mengeluarkan segala malaikat yang menyeksa ini dengan dua tangannya daripada pihak belakang dan minyak tanah itu dilumurkan pada badannya dan dituangkan air panas ke dalam lehernya.

(Dan aku lihat) seorang perempuan yang tergantung dengan dua susunya dan buah zaqqum itu dituangkan masuk di dalam lehernya, erti buah zaqqum itu, iaitu buah kayu di dalam neraka yang amat pahit, maka apabila memakan mereka itu akan zaqqum itu nescaya menggelegak segala isi perut mereka itu dan otak mereka itu dan gusi mereka itu dan keluar lidah apinya daripada mulut mereka itu.

(Dan ku lihat) pula seorang perempuan yang tergantung padahal memakan ia akan daging dirinya dan api neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang tergantung lagi menambat oleh segala malaikat akan dua kakinya kepada dua susunya dan ditambatkan dua susunya kepada ubun- ubunnya dan dijadikan atas badannya itu beberapa ular dan kala, hal keadaannya memakan ia akan dagingnya dan minum ia akan darahnya.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya buta dan tuli dan kelu di dalam kerongkongan api neraka, padahal keluar otak daripada kepalanya, dan lagi mengalir ke dalam hidungnya dan segala badannya itu amat busuk lagi terputar-putar seperti kena penyakit yang besar.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang ter- gantung hal keadaannya dipotong segala daging badannya daripada hadapannya hingga ke belakangnya daripada segala anggotanya dengan gunting api neraka.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang tergantung hal keadaannya hitam segala mukanya dan dua susunya dan api memakan isi perutnya.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang tergantung kepalanya seperti kepala babi, dan tubuhnya seperti tubuh keldai, dan di atasnya itu beribu-ribu warna daripada azab.

(Dan aku lihat) pula seorang perempuan yang ter- gantung atas rupa anjing dan api neraka itu masuk daripada bawah duburnya dan keluar ia daripada mulutnya dan segala malaikat itu memukul mereka itu akan kepalanya, dan badannya dengan pemukul api neraka."

(Kata) Saiyidina Ali: "Maka berdirilah Siti Fatimah Radhiyallahu 'anha kepada Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam, maka berkata Siti Fatimah: "Hai kekasihku dan cahaya mataku, khabarkan olehmu apa-apa dosa mereka itu hingga jatuh atas sekalian mereka itu dengan beberapa bagai-bagai seksa."

Maka sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam: "(Adapun) perempuan yang tergantung dengan rambutnya itu, maka bahawa sungguhnya ia tiada mahu menutup rambutnya daripada lelaki yang lain yang haram memandangnya.

(Dan adapun) perempuan yang tergantung dengan lidahnya dan air yang panas dituangkan di leher itu, maka bahawa sungguhnya ia menyakiti akan suaminya.

(Dan adapun) perempuan yang tergantung dua susunya itu, maka bahawa sungguhnya ia memberikan air susu suaminya tiada dengan izinnya.

(Dan adapun) perempuan yang tergantung dengan dua kakinya di dalam kerongkongan api neraka itu, maka bahawa sungguhnya ia keluar daripada suaminya dengan tiada izin daripadanya.

(Dan adapun) perempuan yang tergantung dan memakan ia akan tubuhnya dan api neraka dinyala-nyalakan daripada pihak bawahnya, maka bahawa sungguhnya ia memperhiasi tubuhnya kerana orang yang lain yang tiada memperhiasi bagi suaminya.

(Dan adapun) perempuan yang tergantung dengan dua kakinya yang tertambat kepada dua susunya bertambat pada ubun-ubun dan telah dijadikan kepadanya beberapa ular dan kala yang memakan ia akan dagingnya dan meminum ia akan darahnya bahawa sungguhnya ia di dalam dunia tiada hendak bersuci badannya dan tiada hendak mandi daripada junub dan haid dan daripada nifas dan meringan-ringan akan sembahyang.

(Dan adapun) perempuan yang tergantung hal keadaan kelu dan buta dan tuli yang ada ia di dalam kurungan daripada api neraka, maka bahawa sungguhnya ada ia mendatangkan daripada anak zina ditambatkan akan dia pada batang leher suaminya.

(Dan adapun) perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya itu seperti badan himar, yakni keldai bahawa sungguhnya ia adalah sangat mengadu-adu lagi amat dusta.

(Dan adapun) perempuan yang seperti rupa anjing dan api masuk ia daripada mulutnya dan keluar ia daripada duburnya, maka bahawa sungguhnya ia adalah sangat membangkit akan manusia lagi banyak dengki berdengki."

(Wahai anakku) jagalah bagi perempuan yang derhaka ia akan suaminya.

Ulasan:

Hadis panjang ini saya temui dalam kitab al-Muhimmah karya Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim Fathani.

Saya temui hadis yang hampir sama seperti di atas:

وَقَالَ عَلِيٌّ - كَرَّمَ اللَّهُ وَجْهَهُ -: دَخَلْت عَلَى النَّبِيِّ ﷺ أَنَا وَفَاطِمَةُ، فَوَجَدْنَاهُ يَبْكِي بُكَاءً شَدِيدًا، فَقُلْت: فِدَاك أَبِي وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الَّذِي أَبْكَاك؟ قَالَ: يَا عَلِيُّ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي إلَى السَّمَاءِ رَأَيْتُ نِسَاءً مِنْ أُمَّتِي يُعَذَّبْنَ بِأَنْوَاعِ الْعَذَابِ فَبَكَيْت لِمَا رَأَيْت مِنْ شِدَّةِ عَذَابِهِنَّ، رَأَيْت امْرَأَةً مُعَلَّقَةً بِشَعْرِهَا يَغْلِي دِمَاغُهَا، وَرَأَيْت امْرَأَةً مُعَلَّقَةً بِلِسَانِهَا وَالْحَمِيمُ يُصَبُّ فِي حَلْقِهَا، وَرَأَيْت امْرَأَةً قَدْ شُدَّ رِجْلَاهَا إلَى ثَدْيَيْهَا وَيَدَاهَا إلَى نَاصِيَتِهَا وَقَدْ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهَا الْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبَ، وَرَأَيْت امْرَأَةً مُعَلَّقَةً بِثَدْيَيْهَا، وَرَأَيْت امْرَأَةً رَأْسُهَا بِرَأْسِ خِنْزِيرٍ وَبَدَنُهَا بَدَنَ حِمَارٍ وَعَلَيْهَا أَلْفُ أَلْفُ لَوْنٍ مِنْ الْعَذَابِ، وَرَأَيْت امْرَأَةً عَلَى صُورَةِ الْكَلْبِ وَالنَّارُ تَدْخُلُ مِنْ فِيهَا وَتَخْرُجُ مِنْ دُبُرِهَا وَالْمَلَائِكَةُ يَضْرِبُونَ رَأْسَهَا بِمَقَامِعَ مِنْ نَارٍ، فَقَامَتْ فَاطِمَةُ الزَّهْرَاءُ - رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا - وَقَالَتْ: يَا حَبِيبِي وَقُرَّةَ عَيْنِي مَا كَانَ أَعْمَالُ هَؤُلَاءِ حَتَّى وَقَعَ عَلَيْهِنَّ هَذَا الْعَذَابُ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: يَا بُنَيَّةُ أَمَّا الْمُعَلَّقَةُ بِشَعْرِهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ لَا تُغَطِّي شَعْرَهَا مِنْ الرِّجَالِ، وَأَمَّا الْمُعَلَّقَةُ بِلِسَانِهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ تُؤْذِي زَوْجَهَا، وَأَمَّا الْمُعَلَّقَةُ بِثَدْيَيْهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ تُؤْذِي فِرَاشَ زَوْجِهَا، وَأَمَّا الَّتِي شُدَّ رِجْلَاهَا إلَى ثَدْيَيْهَا وَيَدَاهَا إلَى نَاصِيَتِهَا وَقَدْ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهَا الْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبَ فَإِنَّهَا كَانَتْ لَا تَغْتَسِلُ مِنْ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ وَتَسْتَهْزِئُ بِالصَّلَاةِ، وَأَمَّا الَّتِي رَأْسُهَا رَأْسُ خِنْزِيرٍ وَبَدَنُهَا بَدَنُ حِمَارٍ فَإِنَّهَا كَانَتْ نَمَّامَةً كَذَّابَةً، وَأَمَّا الَّتِي عَلَى صُورَةِ الْكَلْبِ وَالنَّارُ تَدْخُلُ مِنْ فِيهَا وَتَخْرُجُ مِنْ دُبُرِهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ مَنَّانَةً حَسَّادَةً. يَا بُنَيَّةُ الْوَيْلُ لِامْرَأَةٍ تَعْصِي زَوْجَهَا.

Ali bin Abi Talib — semoga Allah memuliakan wajahnya — berkata: “Aku masuk menemui Nabi bersama Fatimah dan kami mendapati Baginda menangis dengan tangisan yang sangat. Aku pun bertanya: Ayah dan ibuku sebagai tebusanmu, wahai Rasulullah, apakah yang membuatkan engkau menangis?

Baginda menjawab: Wahai Ali, pada malam aku diisra’kan ke langit, aku melihat wanita-wanita daripada umatku diseksa dengan pelbagai bentuk seksaan. Aku menangis kerana melihat betapa beratnya azab mereka.

Aku melihat seorang wanita yang digantung dengan rambutnya sementara otaknya menggelegak. Aku melihat seorang wanita digantung dengan lidahnya dan air panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Aku melihat seorang wanita yang kakinya diikat ke dadanya, tangannya diikat ke dahinya, dan Allah membiarkan ular dan kala jengking menyerangnya. Aku juga melihat seorang wanita yang digantung dengan payudaranya.

Aku melihat seorang wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya seperti badan keldai, sedangkan dia diseksa dengan pelbagai bentuk azab. Aku juga melihat seorang wanita dalam rupa anjing, api masuk ke mulutnya dan keluar dari duburnya, sementara malaikat memukul kepalanya dengan pemukul api.

Fatimah al-Zahra pun bangun dan berkata: Wahai kekasihku, penyejuk mataku, apakah yang mereka lakukan sehingga mereka mendapat seksaan yang sedemikian?

Nabi menjawab: ‘Wahai puteriku, wanita yang digantung dengan rambutnya adalah kerana dia tidak menutup rambutnya daripada pandangan lelaki. Wanita yang digantung dengan lidahnya adalah kerana dia menyakiti suaminya dengan kata-kata.

Wanita yang digantung dengan payudaranya adalah kerana dia menyakiti tempat tidur suaminya. Wanita yang diikat kaki dan tangannya sementara diserang ular dan kala jengking adalah kerana dia tidak bersuci daripada janabah dan haid, dan dia juga mempermainkan solat.

Wanita yang berkepala babi dan berbadan keldai adalah kerana dia seorang yang suka menyebarkan fitnah dan pendusta.

Manakala wanita yang dalam rupa anjing, dengan api keluar masuk ke tubuhnya, adalah kerana dia seorang yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan mempunyai sifat dengki.

Kemudian Nabi bersabda: Celakalah wanita yang derhaka kepada suaminya.”

Hadis ini disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitab al-Zawajir dan beliau tidak menyatakan sumbernya. Beliau hanya berkata:

"Itulah yang disebutkan oleh imam tersebut dan tanggungjawab (tentang riwayat) itu adalah atas dirinya."

Mungkin imam yang beliau maksudnya ialah al-Hafiz al-Zahabi kerana dalam sebahagian naskah kitab al-Kabair karangan al-Zahabi ada memasukkan hadis ini. Mungkin naskah kitab al-Kabair yang ada pada tangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami terdapat hadis ini.

Namun dalam cetakan al-Kabair yang disemak oleh Dr Muhyiddin Misto tidak dimasukkan hadis ini. Menurut Dr Muhyiddin Misto, terdapat sebahagian naskah kitab al-Kabair yang telah diubah oleh beberapa orang setelah al-Hafiz al-Zahabi dengan membuang sumber hadis yang dinyatakan oleh al-Hafiz al-Zahabi dan membuat penambahan hadis-hadis daif, kisah-kisah, penceritaan tentang mimpi dan syair-syair berbentuk nasihat. Oleh itu kemungkinan hadis ini bukanlah bersumber dari al-Hafiz al-Zahabi sendiri.

Menurut pentahqiq (penyemak) kitab al-Zawajir, mereka juga tidak menemui sumbernya berdasarkan rujukan-rujukan yang mereka ada.

Hadis ini turut disebutkan oleh Zainuddin al-Malibari dalam Irsyad al-Ibad. Pentahqiq kitab Irsyad al-Ibad juga hanya menyatakan hadis ini disebutkan oleh al-Zahabi dalam al-Kabair dan Ibnu Hajar dalam al-Zawajir. Lalu dibawakan ucapan Ibnu Hajar di atas.

Berdasarkan nukilan-nukilan di atas, berat pada sangkaan saya bahawa hadis di atas adalah palsu dan tidak ada asal usulnya dalam kitab-kitab hadis bersanad. Oleh itu tidak boleh disebarkannya melainkan untuk menyatakan kepalsuannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan