Ahad, 2 Mac 2025

Hadis Palsu: Allah Membebaskan Sejuta Orang Setiap Hari Pada Bulan Ramadan

 إذا كان أوَّلُ ليلةٍ من شهرِ رمضانَ نظر اللهُ إلى خلقِه الصِّيامِ، وإذا نظر اللهُ إلى عبدٍ لم يعذِّبْه أبدًا، وللهِ عزَّ وجلَّ في كلِّ يومٍ ألفُ ألفِ عتيقٍ من النَّارِ، فإذا كان ليلةُ النِّصفِ من شهرِ رمضانَ أعتق اللهُ فيها مثلَ جميعِ ما أعتق، وإذا كان ليلةُ إحدَى وعشرين أعتق اللهُ فيها مثلَ جميعِ ما أعتق، وإذا كان ليلةُ ثلاثٍ وعشرين أعتق اللهُ فيها مثلَ جميعِ ما أعتق في الشَّهرِ، فإذا كانت ليلةُ خمسٍ وعشرين أعتق اللهُ فيها مثلَ جميعِ ما أعتق في الشَّهرِ كلِّه، فإذا كانت ليلةُ تسعٍ وعشرين أعتق اللهُ فيها مثلَ جميعِ ما أعتق في الشَّهرِ كلِّه، فإذا كانت ليلةُ الفطرِ ارتجَّت الملائكةُ وتجلَّى الجبَّارُ جلَّ جلالُه معَ أنَّه لا يصِفُه الواصفون، فيقولُ للملائكةِ وهم في عيدِهم من الغدِ يُوحي إليهم: يا معشرَ الملائكةِ ما جزاءُ الأجيرِ إذا وفَّى عملَه ؟ فتقولُ الملائكةُ : يُوفَّى أجرَه. فيقولُ اللهُ تعالَى: أُشهِدُكم أنِّي قد غفرتُ لهم

“Apabila tiba malam pertama bulan Ramadan, Allah memandang kepada makhluk-Nya yang berpuasa. Apabila Allah memandang kepada seseorang hamba, Dia tidak akan mengazabnya selama-lamanya.

Allah Azza wa Jalla membebaskan sejuta orang dari api neraka setiap hari. Apabila tiba malam pertengahan bulan Ramadan, Allah membebaskan sebanyak jumlah semua yang telah dibebaskan-Nya. Apabila tiba malam kedua puluh satu, Allah membebaskan sebanyak jumlah semua yang telah dibebaskan-Nya. Apabila tiba malam kedua puluh tiga, Allah membebaskan sebanyak jumlah semua yang telah dibebaskan-Nya dalam bulan itu. Apabila tiba malam kedua puluh lima, Allah membebaskan sebanyak jumlah semua yang telah dibebaskan-Nya dalam seluruh bulan itu. Apabila tiba malam kedua puluh sembilan, Allah membebaskan sebanyak jumlah semua yang telah dibebaskan-Nya dalam seluruh bulan itu.

Apabila tiba malam Hari Raya, para malaikat tercengang dan Allah Yang Maha Perkasa menampakkan diri-Nya, meskipun Dia tidak dapat disifatkan oleh para penyifat. Maka Dia berfirman kepada para malaikat yang berada dalam keadaan berhari raya keesokan harinya, Dia mewahyukan kepada mereka: Wahai para malaikat, apakah balasan bagi seorang pekerja apabila dia telah menyempurnakan pekerjaannya? Para malaikat menjawab: "Dia diberikan upahnya dengan sepenuhnya. Maka Allah Ta'ala berfirman: Aku mempersaksikan kepada kamu bahawa Aku telah mengampuni mereka.”

Sumber Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Asbahani dalam al-Targhib Wa al-Tarhib dan Ibnu al-Jauzi dalam al-Maudhu’at melalui sanad:

‘Uthman bin Abdullah al-Syami daripada Malik daripada Abu al-Zinad daripada al-A’raj daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Penilaian Hadis

1 – Ibnu al-Jauzi berkata: “Ini adalah hadis palsu yang direka-reka atas nama Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam. Di dalamnya terdapat perawi-perawi yang tidak dikenali dan yang dituduh (memalsukannya) ialah Uthman bin Abdullah. Ibnu 'Adi berkata: Dia meriwayatkan hadis-hadis mungkar daripada perawi-perawi yang dipercayai dan dia mempunyai hadis-hadis palsu. Ibnu Hibban berkata: Dia memalsukan hadis atas nama perawi-perawi yang dipercayai."

2 – Penilaian Ibnu al-Jauzi ini diterima tanpa bantahan oleh al-Suyuti dalam al-Laali al-Masnu’ah dan Ibnu ‘Arraq dalam Tanzih al-Syari’ah al-Marfu’ah.

3 – Al-Zahabi dalam kitab Talkhis Kitab al-Maudhu’at berkata: “Dipalsukan oleh ‘Uthman bin Abdullah”

4 – Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari berkata: “Ini adalah hadis palsu yang dalam sanadnya terdapat Uthman bin Abdullah al-Qurashi yang dituduh memalsukan hadis ini dan dia memang seorang pemalsu hadis.” (Mausu’ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, 17/205)

Ganti Hadis Di Atas

Terdapat beberapa hadis yang lain yang boleh digunakan untuk mengantikan hadis di atas.

Hadis Pertama

Daripada Jabir, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ عِنْدَ كُلِّ فِطْرٍ عُتَقَاءَ، وَذَلِكَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ.

 "Sesungguhnya Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan (dari neraka) pada setiap berbuka puasa, dan itu berlaku pada setiap malam."

Riwayat Ibnu Majah (no. 1643) dengan sanad yang hasan.

Hadis Kedua

Daripada Abu Hurairah, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ، وَفُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ، وَيُنَادِي مُنَادٍ: يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ، وَذَلِكَ كُلَّ لَيْلَةٍ.

"Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan, syaitan-syaitan dan jin yang derhaka dibelenggu, dan pintu-pintu neraka ditutup sehingga tidak ada satu pun yang dibuka, dan pintu-pintu syurga dibuka sehingga tidak ada satu pun yang ditutup, dan seorang penyeru menyeru: Wahai pencari kebaikan, datanglah! Dan wahai pencari kejahatan, berhentilah! Dan Allah membebaskan orang-orang dari neraka, dan itu berlaku setiap malam."

Riwayat al-Tirmizi (no. 682) Ibnu Majah (no. 1642) dengan sanad yang hasan.

Hadis Ketiga

Daripada Abu Hurairah atau Abu Said, beliau berkata: Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ لِلَّهِ عُتَقَاءَ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ، لِكُلِّ عَبْدٍ مِنْهُمْ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ

"Sesungguhnya Allah mempunyai orang-orang yang dibebaskan pada setiap hari dan malam, dan bagi setiap hamba daripada mereka ada doa yang dimakbulkan."

Riwayat Imam Ahmad (no. 7450) dengan sanad yang sahih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan