Isnin, 3 Mac 2025

Hadis Palsu: 1500 Pahala Dan Sebuah Rumah Di Syurga Bagi Sujud Di Bulan Ramadan

 إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فُتِحَتْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ فَلَا يُغْلَقُ مِنْهَا بَابٌ حَتَّى يَكُونَ آخِرُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ مُؤْمِنٍ يُصَلِّي فِي لَيْلَةٍ مِنْهَا إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ أَلْفًا وَخَمْسَمِائَةِ حَسَنَةٍ بِكُلِّ سَجْدَةٍ، وَبَنَى لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ مِنْ يَاقُوتَةٍ حَمْرَاءَ لَهَا سِتُّونَ أَلْفَ بَابٍ لِكُلِّ بَابٍ مِنْهَا قَصْرٌ مِنْ ذَهَبٍ مُوَشَّحٌ بِيَاقُوتَةٍ حَمْرَاءَ، فَإِذَا صَامَ أَوَّلَ يَوْمٍ مِنْ رَمَضَانَ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ إِلَى مِثْلِ ذَلِكَ الْيَوْمِ، وَمَنْ شَهِدَ رَمَضَانَ اسْتَغْفَرَ لَهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ مِنْ صَلَاةِ الْغَدَاةِ إِلَى أَنْ تَوَارَى بِالْحِجَابِ، وَكَانَ لَهُ بِكُلِّ سَجْدَةٍ سَجَدَهَا فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِلَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ شَجَرَةٌ يَسِيرُ الرَّاكِبُ فِي ظِلِّهَا خَمْسَ مِائَةِ عَامٍ.

"Apabila tiba malam pertama Ramadan, pintu-pintu langit dibuka dan tidak ditutup satu pintu pun sehingga malam terakhir Ramadan.

Tidak ada seorang hamba mukmin yang solat pada malam-malam Ramadan melainkan Allah menulis baginya seribu lima ratus kebajikan bagi setiap sujud dan Allah membina untuknya sebuah rumah di syurga daripada yakut merah yang mempunyai enam puluh ribu pintu. Setiap pintu mempunyai istana daripada emas yang dihiasi dengan yakut merah.

Apabila dia berpuasa pada hari pertama Ramadan, diampunkan dosanya yang telah lalu sehingga hari yang sama.

Sesiapa yang menyaksikan Ramadan, tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan untuknya setiap hari dari solat Subuh sehingga matahari terbenam.

Bagi setiap sujud yang dilakukannya dalam bulan Ramadan sama ada pada waktu malam atau siang, dia memperoleh sebatang pokok yang penunggang kuda boleh berjalan di bawah naungannya selama lima ratus tahun."

Hadis ini saya temui telah disebutkan oleh Ustaz Nazrul Nasir.

Sumber Hadis

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Fadhail al-Awqat dan Syu’ab al-Iman dan al-Asbahani dalam al-Targhib Wa al-Tarhib melalui sanad:

Muhammad bin Marwan al-Suddi, daripada Daud bin Abi Hind, daripada Abi Nadhrah al-Abdi, dan daripada 'Atha' bin Abi Rabah, daripada Abu Sa'id Al-Khudri daripada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Penilaian Hadis

Hadis ini dihukumkan sebagai palsu oleh Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari namun beliau tidak menyebutkan sebabnya. (Mausu’ah Syeikh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, 17/208).

Dalam sanadnya terdapat perawi bernama Muhammad bin Marwan al-Suddi.

Penilaian ulama hadis terhadapnya seperti berikut:

1 - Jarir bin Abdul Hamid berkata: “Pendusta.”

2 - Yahya bin Ma'in berkata: “Dia tidak boleh dipercayai.”

3 - Muhammad bin Abdullah bin Numair berkata: “Dia tidak bernilai langsung.”

4 - Ya'qub bin Sufyan al-Farisi berkata: “Lemah dan tidak boleh dipercayai.”

5 - Salih bin Muhammad al-Baghdadi al-Hafiz berkata: “Dia lemah dan dia juga memalsukan hadis.”

6 - Abu Hatim berkata: “Hadisnya ditolak, hadisnya ditinggalkan dan hadisnya sama sekali tidak boleh ditulis.”

7 - Al-Bukhari berkata: “Hadisnya sama sekali tidak boleh ditulis.”

8 - Al-Nasa'i berkata: “Hadisnya ditinggalkan.” Di tempat lain beliau berkata: “Dia tidak dipercayai dan hadisnya tidak boleh ditulis.”

9 - Al-Hafiz al-Zahabi berkata dalam Mizan al-I’tidal: “Ahli hadis meninggalkannya dan sebahagian mereka menuduhnya berdusta.”

10 – Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani berkata dalam Taqrib al-Tahzib: “Dituduh berdusta.”

Kesimpulan

Hadis ini adalah hadis yang palsu. Oleh itu ia tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan