Doa Pertama
Diriwayatkan daripada Abu Musa
Al-Asy'ari, bahawa Nabi sallahu ‘alaihi wasallam apabila takut
kepada sesuatu kaum, Baginda berdoa:
اللَّهُمَّ إنَّا نَجْعَلُكَ فِي
نُحُورِهِمْ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ شُرُورِهِمْ
"Ya Allah, sesungguhnya
kami menjadikan Engkau di leher-leher mereka dan kami berlindung
kepada-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka."
(Riwayat
Abu Daud dan al-Nasa’i dengan sanad yang sahih)
Penjelasan:
Maksud ‘Kami menjadikan
Engkau di leher-leher mereka’ adalah kiasan tentang bertawakal kepada
Allah dalam menolak tipu daya musuh kepada mereka sendiri dan menjadikan
keburukan itu berbalik kepada mereka.
Doa
Kedua
Diriwayatkan daripada Anas,
beliau berkata:
“Kami bersama Nabi sallahu
‘alaihi wasallam dalam satu peperangan lalu bertempur dengan musuh, maka aku
mendengar Baginda berdoa:
يَا مَالِكَ يَوْمِ الدِّينِ،
إيَّاكَ أَعْبُدُ، وَإِيَّاكَ أَسْتَعِينُ
Wahai Pemilik Hari Pembalasan,
hanya kepada-Mu aku menyembah dan hanya kepada-Mu aku memohon pertolongan.
Maka aku benar-benar melihat
musuh-musuh itu jatuh tersungkur, dipenggal oleh para malaikat dari hadapan dan
belakang mereka.”
(Riwayat Ibnu al-Sunni dengan
sanad yang daif)
Doa
Ketiga
Abdullah bin Mas’ud (sahabat
Nabi) berkata:
Apabila seseorang di antara kamu
berada di bawah pemerintah yang dia takut akan kesombongan dan kezalimannya,
maka hendaklah dia mengucapkan:
اللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ
وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، كُنْ لِي جَارًا مِنْ فُلَانٍ وَأَحْزَابِهِ
وَأَشْيَاعِهِ، أَنْ يَفْرُطُوا عَلَيَّ، وَأَنْ يَطْغَوْا، عَزَّ جَارُكَ،
وَجَلَّ ثَنَاؤُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
"Ya Allah, Tuhan langit dan
Tuhan Arasy yang Agung, jadilah Engkau pelindungku daripada si fulan dan
pengikut-pengikutnya serta penyokong-penyokongnya, daripada mereka melampaui
batas dan berlaku zalim terhadapku. Maha Mulia perlindungan-Mu, Maha Agung
pujian kepada-Mu, dan tiada Tuhan selain Engkau."
(Diriwayatkan
oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)
Doa
Keempat
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas
(sahabat Nabi), beliau berkata:
“Apabila kamu menghadap seorang
penguasa yang menakutkan, yang kamu takut dia akan mencederakanmu, maka
ucapkanlah:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ
أَعَزُّ مِنْ خَلْقِهِ جَمِيعًا، اللَّهُ أَعَزُّ مِمَّا أَخَافُ وَأَحْذَرُ،
أَعُوذُ بِاللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْمُمْسِكُ السَّمَاوَاتِ
السَّبْعِ أَنْ يَقَعْنَ عَلَى الْأَرْضِ إِلَّا بِإِذْنِهِ، مِنْ شَرِّ عَبْدِكَ
فُلَانٍ وَجُنُودِهِ وَأَتْبَاعِهِ وَأَشْيَاعِهِ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ،
اللَّهُمَّ كُنْ لِي جَارًا مِنْ شَرِّهِمْ، جَلَّ ثَنَاؤُكَ وَعَزَّ جَارُكَ
وَتَبَارَكَ اسْمُكَ، وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ
Allah Maha Besar, Allah lebih
Mulia daripada seluruh makhluk-Nya, Allah lebih Mulia daripada apa yang aku
takuti dan aku waspadai. Aku berlindung kepada Allah yang tiada Tuhan selain
Dia, yang menahan tujuh petala langit daripada jatuh ke bumi melainkan dengan
izin-Nya, daripada kejahatan hamba-Mu si fulan dan tenteranya dan
pengikut-pengikutnya dan penyokong-penyokongnya daripada kalangan jin dan
manusia. Ya Allah, jadilah Engkau pelindungku daripada kejahatan mereka. Maha
Agung pujian kepada-Mu, Maha Mulia perlindungan-Mu, Maha Suci nama-Mu, dan
tiada Tuhan selain Engkau.
Ucapkanlah tiga kali.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi
Syaibah dalam al-Musannaf)
Doa
Kelima
Diriwayatkan daripada
al-Sya’bi (seorang tabi’in), beliau berkata:
“Aku sedang duduk bersama Ziyad
bin Abu Sufyan (seorang gabenor) ketika dibawa seorang lelaki dalam keadaan
diusung yang kami tidak ragu bahawa dia akan dibunuh.
Aku melihat lelaki itu
menggerakkan bibirnya untuk mengatakan sesuatu yang kami tidak tahu apa dia.
Kemudian Ziyad membebaskannya.
Sebahagian orang mendatanginya
dan berkata: Engkau telah dibawa dalam keadaan yang kami tidak ragu bahawa
engkau akan dibunuh. Lalu kami melihat engkau menggerakkan bibir mengatakan
sesuatu yang kami tidak tahu, kemudian engkau dibebaskan.
Lelaki itu berkata: Aku
mengucapkan:
اللَّهُمَّ رَبَّ إِبْرَاهِيمَ
وَرَبَّ إِسْحَاقَ، وَرَبَّ يَعْقُوبَ، وَرَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ،
وَإِسْرَافِيلَ، وَمُنَزِّلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالزَّبُورِ
وَالْقُرْآنِ الْعَظِيمِ، اِدْرَأْ عَنِّي شَرَّ زِيَادٍ
Ya Allah, Tuhan Ibrahim, Tuhan
Ishak, Tuhan Yaakub, Tuhan Jibril, Mikail dan Israfil, yang menurunkan Taurat,
Injil, Zabur dan Al-Quran yang Agung, hindarkan daripadaku kejahatan
Ziyad."
(Diriwayatkan
oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)
Doa
Keenam
Diriwayatkan daripada 'Alqamah
bin Marthad, beliau berkata:
“Apabila seseorang itu termasuk
dalam kalangan orang terdekat dengan al-Sha'bi (seorang tabi’in), beliau akan
memberitahu orang itu doa ini:
اللَّهُمَّ إِلَهَ جِبْرِيلَ،
وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، وَإِلَهَ إِبْرَاهِيمَ، وَإِسْمَاعِيلَ،
وَإِسْحَاقَ، عَافِنِي وَلَا تُسَلِّطَنَّ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ عَلَيَّ بِشَيْءٍ
لَا طَاقَةَ لِي بِهِ
Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail,
dan Israfil, dan Tuhan Ibrahim, Ismail, dan Ishak, berilah kesejahteraan
kepadaku dan janganlah Engkau biarkan sesiapa pun dari makhluk-Mu menguasai
diriku dengan sesuatu yang aku tidak mampu menahannya."
Diceritakan bahawa ada seorang
lelaki datang kepada seorang pemimpin, lalu dia membaca doa ini, maka pemimpin itu
membebaskannya.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi
Syaibah dalam al-Musannaf)
Doa
Ketujuh
Daripada Abu Mijlaz (seorang
tabi’in) berkata:
“Sesiapa yang takut akan
kezaliman daripada seorang pemimpin, lalu dia mengucapkan:
رَضِيتُ بِاللَّهِ رَبًّا،
وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا، وَبِالْقُرْآنِ حَكَمًا
وَإِمَامًا
Aku redha Allah sebagai Tuhan,
Islam sebagai agama, Muhammad sebagai Nabi, dan Al-Quran sebagai hakim dan
pemimpin.
Allah akan menyelamatkannya
daripada pemimpin tersebut.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi
Syaibah dalam al-Musannaf)
Doa
Kelapan
Daripada Al-Hasan bin Al-Hasan,
bahawa Abdullah bin Ja'far (sahabat Nabi) ingin mengahwinkan anak perempuannya
dan sewaktu beliau duduk bersendirian bersama anaknya beliau berkata:
“Apabila kematian atau perkara
yang mengerikan daripada urusan dunia menimpamu, maka hadapilah dengan
mengucapkan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ
لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang
Maha Penyantun lagi Maha Mulia, Maha Suci Allah Tuhan Arasy yang Agung, segala
puji bagi Allah Tuhan sekalian alam."
Al-Hasan bin Al-Hasan (cucu
Saidina Ali) berkata:
"Al-Hajjaj (seorang
pemimpin yang zalim) telah menghantar utusannya kepadaku, lalu aku mengucapkan
kalimah-kalimah tersebut. Aku tidak sempat berdiri di hadapannya melainkan dia
berkata: Demi Allah, aku telah menghantar utusan kepadamu dengan niat untuk
memenggal lehermu, tetapi kini tiada seorang pun dari ahli keluargamu yang
lebih mulia bagiku daripada kamu. Mintalah apa hajatmu."
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan