Isnin, 5 Oktober 2015

Kelebihan Selawat Tafrijiah

Sheikh Yusuf al-Nabhani (meninggal 1932M) menyebutkan dalam kitab Afdal al-Salawat ‘Ala Sayyid al-Sadat:

1 - Selawat Tafrijiah ini disebutkan oleh Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli dalam Khazinatul Asrar. Beliau memetik dari Imam al-Qurtubi bahawa sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 141 kali atau lebih, Allah akan:

- Melepaskan kesedihan dan kesusahannya.

- Menghilangkan kesulitan dan kemudaratannya.

- Memudahkan urusannya.

- Menerangi hatinya.

- Meninggikan darjatnya.

- Memperbaiki keadaannya.

- Meluaskan rezekinya.

- Membuka pintu-pintu kebaikan dan kebajikan dengan bertambah-tambah.

- Kata-katanya akan diterima jika dia seorang pemimpin.

- Melindunginya dari zaman musibah dan kejahatan kelaparan dan kemiskinan.

- Mencampakkan kecintaan kepadanya dalam hati-hati manusia.

Apa sahaja yang diminta dari Allah Ta'ala akan dikurniakan, tetapi faedah-faedah ini hanya akan tercapai dengan syarat mengamalkannya secara berterusan. Selawat ini adalah satu perbendaharaan dari perbendaharaan Allah dan mengamalkannya adalah kunci kepada khazanah Allah. Allah akan membuka (khazanah itu) kepada sesiapa yang mengamalkannya di kalangan hamba-hamba-Nya dan menyampaikannya kepada apa yang dikehendaki-Nya.

2 - Sheikh al-Arif Billah Muhammad Haqqi Effendi al-Nazilli berkata di tempat lain dalam kitabnya yang disebutkan itu: Antara selawat yang telah terbukti mujarab ialah Selawat Tafrijiah al-Qurtubiyyah, yang dikenali di kalangan orang Maghribi sebagai Selawat Nariyyah, kerana apabila mereka ingin mencapai sesuatu hajat atau menolak sesuatu yang ditakuti, mereka berkumpul dalam satu majlis dan membacanya sebanyak 4,444 kali, lalu mereka akan mencapai hajat mereka dengan cepat.

3 - Di kalangan Ahl al-Asrar (orang yang mengetahui rahsia-rahsia Ilahi), ia dikenali sebagai 'Kunci Perbendaharaan Yang Meliputi Untuk Mencapai Hajat Para Hamba'.

4 – Sheikh Muhammad al-Sanusi  berkata: “Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 11 kali, seolah-olah rezeki turun dari langit dan tumbuh dari bumi.”

5 - Imam al-Dinawari berkata: “Sesiapa yang membaca selawat ini selepas setiap solat sebanyak 11 kali dan menjadikannya sebagai wirid, rezekinya tidak akan terputus dan akan mencapai pangkat yang tinggi dan kekayaan yang banyak.

Sesiapa yang mengamalkannya selepas solat Subuh setiap hari sebanyak 41 kali juga akan mencapai hajatnya.

Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 100 kali akan memperolehi apa yang dihajati dan mencapai tujuannya melebihi apa yang diinginkan.

Sesiapa yang mengamalkan bacaannya setiap hari sebanyak bilangan para rasul iaitu 313 kali, untuk penyingkapan rahsia, maka dia akan melihat setiap apa yang diinginkannya.

Sesiapa yang mengamalkannya setiap hari sebanyak 1,000 kali, dia akan memperolehi sesuatu yang tidak dapat disifatkan oleh para penyifat, yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di hati manusia.

6 - Imam al-Qurtubi berkata: “Sesiapa yang ingin mencapai sesuatu perkara yang penting dan besar atau menolak bala yang sedang menimpa, maka hendaklah dia membaca Selawat Tafrijiah ini dan bertawassul melaluinya kepada Nabi yang memiliki akhlak yang agung sebanyak 4,444 kali, maka sesungguhnya Allah Ta'ala akan memudahkan apa yang dihajati dan dimaksudkannya selaras dengan niatnya.

Begitu juga Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan keistimewaan bilangan ini, kerana ia adalah umpama eliksir dari segi keberkesanannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan