Menjadi
kebiasaan di sesetengah masjid di Malaysia selepas solat Jumaat imam akan
membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas sebanyak tujuh kali.
Amalan ini adalah berdasarkan hadis Nabi
sallahu’alaihiwasallam:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَرَأَ بَعْدَ
صَلَاةِ الْجُمُعَةِ قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ،
وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ سَبْعَ مَرَّاتٍ؛ أَجَارَهُ اللَّهُ بِهَامِنَ
السُّوءِ إِلَى الْجُمُعَةِ الْأُخْرَى.
“Sesiapa yang membaca selepas solat Jumaat Qul Huwallahu Ahad, Qul A’uzu
Bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu Bi Rabbin Nas sebanyak tujuh kali, Allah akan
melindunginya daripada segala keburukan sehingga Jumaat yang seterusnya.”
Hadis
riwayat Ibnu Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (no. 375).
Dalam
riwayat yang lain disebutkan bahawa dibaca surah-surah
tersebut sebelum berkata-kata (yakni sejurus selepas salam) dan dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa dia membacanya dalam keadaan membengkokkan kakinya (yakni dalam keadaan duduk tasyahud akhir).
Sanad hadis ini daif kerana dalam
sanadnya terdapat perawi yang daif bernama al-Khalil bin Murrah. Ibnu Hajar
al-Asqalani turut mendaifkan sanad hadis ini namun
menurut beliau hadis ini mempunyai syahid (penguat) daripada hadis mursal Makhul yang
dikeluarkan oleh Sa’id bin Mansur dalam Sunannya.
Oleh itu berkemungkinan hadis ini dapat
meningkat menjadi hasan lighairih atau jika kekal daif sekaipun ia masih
boleh diamalkan dalam bab fadhail a’mal (kelebihan amalan).
Hadis mursal Makhul tersebut
terdapat sedikit penambahan di bahagian awal dan akhir lafaz hadisnya. Di awal
lafaz hadisnya terdapat penambahan surah al-Fatihah di samping tiga Qul
tersebut. Di bahagian akhir pula disebutkan bahawa sesiapa membaca empat surah
berkenaan sebanyak tujuh kali maka diampunkan dosa-dosanya di antara dua
Jumaat.
Berdasarkan
hadis-hadis ini, al-Imam al-Ghazali dalam Bidayah al-Hidayah berpendapat
bahawa sunat dibacakan surah-surah tersebut selepas solat Jumaat sebagaimana
kata beliau:
“Jika kamu telah selesai dan telah memberi salam (daripada solat Jumaat), maka bacalah surah al-Fatihah sebelum kamu bercakap-cakap sebanyak tujuh kali, surah al-Ikhlas sebanyak tujuh kali dan al-Mu’awwizatain tujuh kali. Perkara tersebut akan menghapuskan dosa kamu daripada Jumaat itu sehingga Jumaat seterusnya dan akan menjadi pelindung bagi kamu daripada syaitan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan