Soalan Pertama:
Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti ditanya tentang
tarekat sufi secara umum dan tarekat Naqsyabandiah secara khusus. Adakah disyorkan
untuk mengikuti salah satu daripada tarekat ini?
Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:
Pada zaman ini di mana ramai penipu dan dan mereka yang
menjadikan bimbingan sebagai profesion semata-mata kerana tamakkan habuan
duniawi, saya tidak menasihati anda untuk terlibat dengan tarekat-tarekat sufi,
yang pada asalnya adalah kaedah pendidikan agama yang bermanfaat.
Sudah memadai bagimu sebagai ganti kepada penglibatan dengan
tarekat, anda boleh memiliki kitab al-Azkar oleh Imam al-Nawawi dan lihat di
dalamnya zikir-zikir yang Rasulullah selalu amalkan pada waktu pagi dan petang
serta selepas solat lima waktu. Amalkanlah apa yang anda mampu daripadanya,
sambil memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah.
Jika anda melakukan ini, Rasulullah akan menjadi pembimbing
anda. Ini adalah cara terbaik yang akan menghubungkan anda kepada Allah.
Soalan Kedua:
Apakah hukum syarak terhadap tarekat-tarekat yang diikuti
oleh ramai orang seperti tarekat Syaziliyah dan Qadiriyah dan adakah wajib bagi
seorang Muslim untuk mempunyai pembimbing (mursyid) dan tarekat?
Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:
Mengenai pertanyaan anda sama ada wajib bagi seorang Muslim
untuk mempunyai pembimbing dan tarekat yang perlu diikuti, jawapannya ialah
kita tidak mengetahui bahawa syariat Islam mewajibkan seorang Muslim dengan
sesuatu seperti ini.
Apa yang saya yakin adalah bahawa ini adalah propaganda yang
disebarkan hari ini oleh mereka yang mengaku sebagai syeikh yang menjadikan
"pembimbing dan penunjuk jalan" sebagai profesion untuk mencari
keuntungan dan jawatan. Pembimbing yang sebenar mestilah seorang yang berilmu
dan orang yang berilmu tidak akan mereka-reka perkara seperti ini atas nama
syariat.
Mengenai soalan anda tentang tarekat-tarekat sufi seperti
Syaziliyah dan Qadiriyah dan sebagainya, masalahnya bukan berkaitan dengan
asal-usul tarekat ini tetapi berkaitan dengan syeikh-syeikh mereka atau
kebanyakan syeikh mereka pada hari ini.
Jika syeikh yang memimpin salah satu daripada tarekat ini
adalah seorang yang berilmu tentang hukum-hukum syariat Islam, teguh dalam
melaksanakan perintah Allah, dan tidak terpengaruh dengan godaan duniawi, maka
tidak mengapa untuk mengambil tarekat di bawah bimbingannya. Diharapkan bahawa
pengikut tarekat akan bertambah dalam bertaubat, beristiqamah, berilmu tentang
perintah Allah dan menjauhi bidaah dan perkara-perkara yang diharamkan.
Tetapi jika syeikh itu sebaliknya, maka jauhilah dia. Sebagai
ganti kepada tarekat dalam keadaan ini, carilah saudara-saudara yang soleh yang
membantu anda untuk beristiqamah dan mematuhi perintah Allah. Tetapkan untuk
diri anda wirid membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah, kerana itu adalah
jalan yang terbaik.
Sumber:
Ma’a al-Nas oleh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan