Khamis, 15 Mei 2025

Tak Sebar Mesej Berantai Kena Bala?

Soalan:

Apakah hukum bagi seseorang yang memberikan kamu sehelai kertas dan meminta kamu mengedarkannya, dan jika tidak diedarkan kamu akan ditimpa musibah pada harta dan anak-anakmu?

Jawapan Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti:

Risalah yang sampai kepadamu ini adalah satu bentuk yang diulang-ulang, dipelihara dan digunakan dalam kempen promosi atau media untuk menyebarkan mazhab, pemikiran, atau khurafat tertentu. Tidak syak lagi bahawa kesedaran budaya (keupayaan seseorang untuk mengenal pasti dan menolak unsur-unsur yang bercanggah dengan logik, ilmu, dan ajaran agama) memberikan seseorang perlindungan penuh daripada taktik khurafat seperti ini.

Jangan sekali-kali percaya akan kandungan risalah yang sampai kepadamu itu. Ia hanyalah satu cara untuk menyebarkan pembohongan dan khurafat. Agama Islam amat jauh daripada cara paksaan yang menipu sebegini.

Orang yang terjerat dengan helah seperti ini hanyalah mereka yang cetek ilmunya dan berhati polos. Bahkan ada yang sanggup meninggalkan pekerjaan dan banyak urusannya, semata-mata untuk duduk dan menyalin omongan kosong ini yang diminta oleh seseorang yang tidak dikenali sebanyak sepuluh atau dua puluh kali, kemudian dihantar melalui pos berbayar kepada sesiapa sahaja — sama ada yang dikenalinya atau tidak — agar masing-masing pula melaksanakan tugas yang sama!

Semua ini berlaku, manakala penipu utama yang licik itu duduk bersembunyi di tempatnya sambil ketawa terbahak-bahak melihat deretan manusia yang tertipu, yang jangkitan penipuannya tersebar sesama mereka dan berkembang secara berantai.

Sumber:

Ma’a al-Nas oleh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan