Ahad, 11 Mei 2025

Orientalis dan Sejarah Pengkajian Hadis

Para orientalis telah menghabiskan banyak masa mereka dalam mengkaji tentang sastera, sejarah dan bidang-bidang lain, tetapi perhatian mereka terhadap kajian hadis Nabi hanya bermula pada masa yang lewat.

Ignaz Goldziher

Mungkin percubaan pertama yang penting ialah usaha yang dilakukan oleh orientalis terkenal: Ignaz Goldziher[1] yang menerbitkan hasil penyelidikannya pada tahun 1890 dalam bahasa Jerman bertajuk Muhammedaniche Studein (Kajian Islam) dan bukunya telah menjadi ‘Injil Suci’ dalam bidang orientalisme sejak masa itu hingga sekarang dan menjadi panduan kepada para pengkaji.


Selepas enam puluh tahun penerbitan buku tersebut, Profesor Schacht[2] pula telah menghabiskan lebih daripada sepuluh tahun dalam membuat penyelidikan dan pengkajian mengenai hadis-hadis berkaitan fiqh, lalu menerbitkan hasil kajiannya dalam buku The Origins of Muhammadan Jurisprudence (Asas-asas Perundangan Muhammad). 

Joseph Schacht

Kesimpulan hasil kajian beliau adalah bahawa tidak ada satu pun hadis yang sahih, terutamanya hadis-hadis berkaitan fiqh. Sejak itu buku ini  menjadi ‘Injil Kedua’ bagi dunia orientalisme.

Schacht telah mendahului pendahulunya - Goldziher - dengan mengubah pandangan skeptikalnya tentang kesahihan hadis, kepada pandangan yang meyakini akan ketidaksahihannya. 

Bukunya ini telah meninggalkan kesan mendalam dalam pemikiran pengkaji tamadun Islam sehingga Profesor Gibb meramalkan dengan berkata: “Ia - iaitu buku Schacht - akan menjadi asas pada masa hadapan untuk semua kajian tentang tamadun dan perundangan Islam, sekurang-kurangnya di Barat.”

Selepas kedua-dua buku ini, para orientalis tidak banyak menerbitkan kajian baru tentang hadis Nabi dalam tempoh tiga perempat abad, melainkan beberapa artikel atau buku yang membincangkan topik hadis secara umum.

Alfred Guillaume

Terdapat sebuah buku dalam bahasa Inggeris oleh Alfred Guillaume[3] bertajuk  The Traditions of Islam (Hadis-hadis Islam) di mana penulisnya membincangkan tentang hadis-hadis Nabi, namun beliau bergantung sepenuhnya kepada tulisan-tulisan Goldziher, sehingga pembaca tidak akan menemui apa-apa kajian yang baharu dalam topik tersebut lalu menyebabkan buku ini kehilangan nilai ilmiahnya.

Profesor Robson[4] pula telah menterjemahkan kitab Mishkat al-Masabih dan al-Madkhal karya al-Hakim ke dalam bahasa Inggeris serta membetulkan beberapa pandangan yang salah daripada para orientalis, namun beliau juga terpesona dengan tulisan-tulisan Profesor Schacht, sehingga menjauhkannya daripada memahami topik tersebut dengan sebenarnya.

Kesimpulannya, orientalis pertama yang melakukan usaha besar untuk meragukan hadis Nabi yang mulia adalah orientalis Yahudi, Goldziher, yang dianggap oleh para orientalis yang lain sebagai pakar paling mendalam pengetahuannya tentang hadis Nabi. Penulis entri ‘Hadis’ dalam Dairah Ma’arif al-Islamiyyah (Ensiklopedia Islam) mengatakan tentang beliau: “Ilmu pengetahuan sangat berhutang budi kepada apa yang ditulis oleh Goldziher dalam topik hadis.”

Pengaruh Goldziher terhadap perjalanan orientalis dalam mengkaji Islam adalah lebih besar daripada mana-mana orientalis lain sezaman dengannya. Ini kerana beliau telah menentukan secara pasti arah dan perkembangan penyelidikan dalam kajian-kajian ini. Orientalis lain, Snouck Hurgronje[5] juga telah mengikuti pendekatan yang sama.

Snouck Hurgronje

Rujukan:

Al-Mustasyriqun Wa al-Hadith al-Nabawi oleh Muhammad Bahauddin.

_________________________

[1] Ignaz Goldziher (1850-1921) adalah seorang Yahudi yang dilahirkan di Hungary. Beliau belajar di sekolah-sekolah orientalisme terkenal di Berlin, Leipzig dan Budapest, kemudian beliau pergi ke Syria pada tahun 1873 di mana beliau berguru dengan ulama terkenal, Sheikh Tahir al-Jazairi. Kemudian beliau berpindah ke Palestin dan Mesir di mana beliau mendalami bahasa Arab dengan sheikh-sheikh di al-Azhar. Para sarjana Barat mengakui kepakarannya yang mendalam dan pandangannya yang jauh. Beliau mempunyai banyak karya tentang mazhab-mazhab Islam dan fiqh.

[2] Joseph Schacht (1902-1969) adalah seorang orientalis Jerman yang pakar dalam bidang fiqh Islam dan dianggap sebagai pakar utama dalam bidang Syariah Islam. Beliau menulis banyak kajian dan menyunting serta menterjemahkan banyak buku Arab terutamanya dalam bidang fiqh, dan turut menyumbang dalam penyuntingan Dairah Ma’arif al-Islamiyyah (Ensiklopedia Islam). Beliau pernah menjadi profesor di Universiti Leiden, Oxford, Kaherah, dan Columbia. Beliau dipilih sebagai anggota Akademi Bahasa Arab di Damsyik pada tahun 1955 dan mempunyai beberapa buku, yang paling terkenal ialah kitab al-Hiyal fi al-Fiqh oleh Ibn Hatim al-Qazwini, tetapi bidang sebenar di mana beliau menonjol adalah sejarah fiqh Islam dan karya terpentingnya dalam bidang ini ialah buku utamanya, The Origins of Muhammadan Jurisprudence.

[3] Seorang orientalis Inggeris yang dilahirkan pada tahun 1888, berkelulusan dari Universiti Oxford dan bekerja di Perancis dan Mesir. Beliau dilantik sebagai pensyarah di Institut Diraja di London dan mengajar di pelbagai institut dan universiti. Beliau juga menerima beberapa pingat dan dipilih sebagai anggota beberapa akademi termasuk Akademi Saintifik Arab di Damsyik dan Akademi Iraq. Beliau mempunyai banyak karya termasuk: Warisan Islam, Pengenalan kepada Ilmu Hadis dan Pengaruh Yahudi dalam Islam.

[4] James Robson adalah seorang orientalis Inggeris yang dilahirkan pada tahun 1890. Beliau berkelulusan dalam bidang bahasa-bahasa Timur dari Universiti Glasgow dan dilantik sebagai profesor di sana. Kemudian beliau berpindah-randah antara Iraq dan India. Beliau mempunyai banyak karya dan kajian tentang hadis dan telah menterjemahkan banyak buku ke dalam bahasa Inggeris.

[5] Snouck Hurgronje (1857-1936) adalah seorang orientalis Belanda yang dianggap sebagai pakar utama bahasa Arab selepas Goldziher dan merupakan perintis kajian fiqh Islam, usul fiqh, hadis dan tafsir di Eropah. Beliau mempunyai banyak karya dan kajian.

Baca juga: 

Orientalisme dan Orientalis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan