Ahad, 25 Mei 2025

Ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (4) –Syarat-Syarat Pemuji dan Pengkritik Perawi

 

Al-Hafiz al-Zahabi berkata dalam al-Muqizah: "Perbincangan tentang perawi-perawi hadis memerlukan sifat warak yang sempurna, bebas dari hawa nafsu dan kecenderungan, serta pengalaman yang mendalam dalam hadis, ilal-ila;nya dan para perawinya."

Beliau juga berkata: "Tiada jalan bagi seseorang yang arif yang menilai para perawi hadis dan mengkritik mereka untuk menjadi pakar melainkan dengan sentiasa menuntut ilmu, menyelidik dalam bidang ini, banyak mengulangkaji, berjaga malam, kewaspadaan, memahami dengan mendalam, disertai ketakwaan, pegangan agama yang kukuh, bersikap adil, sering menghadiri majlis-majlis ilmu, teliti dan tekun. Jika tidak, maka jangan lakukan:

Tinggalkanlah penulisan kerana engkau bukan ahlinya,

Walaupun engkau menghitamkan wajahmu dengan dakwat.

Allah Ta'ala berfirman: Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui. [An-Nahl: 43]

Maka jika engkau, wahai orang ini, mendapati dalam dirimu kefahaman, kejujuran, pegangan agama, dan sifat warak, (maka teruskanlah). Jika tidak, janganlah memaksa diri. Jika engkau dikuasai hawa nafsu dan fanatik kepada sesuatu pendapat dan mazhab, maka demi Allah janganlah penatkan dirimu! Jika engkau tahu bahawa engkau seorang yang mencampuradukkan perkara, tidak teratur dan mengabaikan batasan-batasan (yang ditetapkan oleh) Allah, maka rehatkanlah kami daripadamu. Tidak lama lagi yang palsu akan terdedah dan penipuan akan tersungkur. Dan tipu daya yang jahat tidak akan menimpa melainkan kepada ahlinya. [Fatir: 43]

Sesungguhnya aku telah menasihatimu. Ilmu hadis itu sukar, maka di manakah ilmu hadis? Di manakah ahlinya? Hampir-hampir aku tidak melihat mereka melainkan dalam kitab atau di bawah tanah (telah meninggal dunia).”

Syarat-syarat yang disebutkan oleh al-Zahabi boleh diringkaskan dalam perenggan-perenggan berikut:

1. Pengkritik (al-Jarih) mestilah seorang yang sentiasa dalam keadaan berwaspada dan berkeadaan sedar.

2. Hendaklah dia meneliti kata-kata para ulama.

3. Hendaklah dia memastikan ketepatan penilaian perawi yang keluar daripadanya agar tidak jatuh dalam percanggahan.

4. Hendaklah dia mengetahui sebab-sebab al-jarh (kritikan) dan al-ta'dil (penilaian baik).

5. Hendaklah dia mengetahui definisi-definisi dalam percakapan Arab, agar tidak mengubah percakapan orang sehingga menjadi bertentangan dengan apa yang dimaksudkan oleh penutur.

6. Hendaklah dia jauh dari fanatik mazhab seperti tuduhan al-Juzajani terhadap Sa'id bin Amr al-Kufi dengan Syiah dan katanya tentangnya: "Dia seorang yang menyeleweng dan melampau dalam Syiah." Sedangkan Ibn Ma'in, al-Nasa'i, al-'Ijli dan Ishaq bin Rahawaih telah menilainya thiqah (dipercayai).

Sa'id bin Amr al-Kufi adalah salah seorang fuqaha Kufah dan al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi telah meriwayatkan hadis daripadanya.

Oleh itu al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Al-Juzajani melampau dalam sikap Nasb (anti Ahli Bait), maka kedua-duanya (penilaian al-Juzajani dan yang menthiqahkannya) bertentangan."

7. Jangan sampai permusuhan peribadi mendorongnya untuk mengkritik seseorang.

8. Hendaklah dia bersifat penyantun dan penyabar, agar tidak marah dengan kata-kata orang terhadapnya lalu menuduh mereka dengan perkara yang tidak mereka layak.

9. Jangan sampai hubungan kekeluargaan menghalangnya daripada berlaku adil dalam menyatakan kebenaran tentang perawi.

Muhammad bin Abi al-Sari pernah berkata tentang saudaranya Husain bin Abi al-Sari: "Jangan kamu menulis daripadanya kerana dia seorang pendusta."

Abu 'Arubah al-Harrani pula berkata: "Dia bapa saudara kepada ibuku dan dia seorang pendusta."

Imam Ali bin al-Madini berkata tentang bapanya: "Bapaku adalah daif."

Inilah sebahagian syarat-syarat yang mesti ada pada sesiapa yang menceburi  bidang al-jarh dan al-ta'dil.

Al-Hafiz Ibnu Hajar telah menyebut sebahagiannya dalam al-Nukhbah, maka rujuklah kepadanya jika mahu.

Sumber:

Al-Muyassar Fi 'Ilm al-Jarh Wa al-Ta'dil oleh Sayyid Abdul Majid al-Ghauri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan